Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Selamat Tinggal 2010 9:29 PM

31 Disember 2010. Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk 2010 melabuhkan tirainya. 2011 pula bakal menjelma bersama berjuta harapan bagi sesiapa yang sentiasa memperbaharui azamnya. Tanyalah pada sesiapa sahaja, pasti ada azam, impian dan keinginan yang mahu diraih atau dicapai dengan jayanya.



1 Muharam 1432H lalu yang telah kita sambut bersama doa awal tahun adalah satu landasan untuk kita turut berhijrah dan membina azam atau membuat perubahan baru dalam kehidupan. Usia yang bertambah hari demi hari mendekatkan kita dengan detik kematian. Betapa kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang iaitu 70 kali dalam masa 24 jam. Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, ramai remaja yang membuat perancangan menyambut 'New Year 2011' bersama teman masing-masing. Hari ini, seorang jemputan dalam sebuah rancangan tengah hari di stesen televisyen terkenal mengatakan para remaja ini tidak boleh dihalang untuk bersuka-ria bersama teman-teman mereka. Namun pastinya sambutan yang ingin mereka lakukan tetap terhad dalam batas agama dan norma masyarakat setempat.

Dalam merenung 1432H yang telah hampir sebulan disambut oleh kita, pastinya pelbagai perkara telah terjadi. Di mana kejayaan kita, di mana kegagalan kita. Muhasabah dan koreksi diri itu harus sentiasa dilakukan agar kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Jika sebelum ini kita adalah seorang pemarah, maka berubahlah untuk menjadi seseorang yang lebih sabar.

Berbicara tentang sabar, kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:
  • tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah
  • menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran
  • memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan
  • tenang atau teguh hati menghadapi cubaan atau musibah
Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan. Dalam segala lapangan juga, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya.
[Bahan tazkirah]


Buka buku baru dan tutup kisah negatif yang lama. Apa yang baik, kita tingkatkan kebaikannya. Apa yang buruk, kita tinggalkan dan benam dalam-dalam. Selamat datang 2011.

Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

Tuhan...Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

Tuhan...Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak ku tepati
Tuhan...Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit ku bersyukur

Kini ku kembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna ku yakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya...
[Epilog Silam, Haikal]

Belajar Sesama Manusia 2:25 PM

"Adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah." [Imam Wahab bin Munabih]

Hati seorang pendidik itu pernah terluka. Bukan sekali, bahkan berkali-kali. Matanya juga pernah mengalirkan air mata kerana sikap dan kelakuan anak didiknya. Air mata yang mampu diempang, akan ditahan daripada keluar. Namun, saat tindakan anak didik melampaui had kesabaran dalam hatinya, air mata yang menitis bagaikan hujan yang tiada hentinya.


Lemahkah dia? Tidak mampukah dia menghadapi cabaran yang mendatang?


'Dalam hidup, terkadang kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita inginkan.'

Walau apa jua pun perkara yang terjadi, dia tidak berputus asa. Dia akan terus berjuang kerana perjuangan ilmu itu bukan hanya di situ. Tanggungjawab dan amanah yang digalas akan terus dilaksanakan dengan izin Allah jua, insyaAllah.

"Manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya!" [Ustaz Pahrol Mohd Joui]


Hatinya tetap berdoa agar anak didiknya berubah, menjadi pelajar yang baik, beradab dan berakhlak mulia. Dia belajar untuk lebih mengenali sikap dan sifat manusia, agar dia menjadi lebih positif dalam melayari kehidupan kecilnya. Dan apa yang lebih utama, perkara yang terjadi menjadikannya lebih sabar, sabar dan sabar. Innallaha ma'as sobiriin.


Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuat kamu bahagia,
cukup cubaan untuk membuat kamu kuat,
cukup penderitaan untuk membuat kamu menjadi manusia yang sesungguhnya,
dan cukup harapan untuk membuat kamu positif terhadap kehidupan.

Tahniah, Sayang. 2:44 PM

Bahagia itu bersama tenang di jiwa. Walaupun kata-kata tidak mampu menzahirkan perasaan di jiwa, cukuplah bahagia itu terserlah melalui tindakan dan perbuatan.

Tahniah untuk adik tersayang atas konvokesyen pada 15 Oktober lalu. Sesungguhnya bahagia di hati ini melihat kegembiraanmu, sayang. Semoga Allah merahmati dan memberkati perjalananmu di dunia. Amin.

Selamat menempuh alam pendidikan kelak, menjadi pendidik yang berjiwa kental, bersemangat waja dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah besar yang digalas. Semoga semangat Abah sebagai pendidik mengalir dalam darah kita, insyaAllah.

Semoga Allah merahmati dan memberkati keluarga kita, amin.

Salam Aidilfitri 1431H 2:41 PM

Alhamdulillah, hari ini sudah menginjak 5 Syawal 1431H. Hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Pelbagai kenangan baru pastinya tercatat dan tercoret pada catatan hidup kita selagi bergelar khalifah Allah di muka bumi yang fana ini. Langkah hidup kita akan terus berjalan meniti hari, menanti detik kematian yang memisahkan segala nikmat dan kurniaan Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Bagaimana ibadat puasa yang telah kita jalani? Apakah kita beroleh 'antivirus' bagi menjamin istiqamah kita pada ibadat dan akidah? Adakah tahap keimanan kita bertambah seiring dengan ketaqwaan diri? Persoalan diasak bertubi-tubi bagi diri sendiri agar sentiasa bermuhasabah, mengingati dua pengakhiran di akhir usia kelak.

Semoga peningkatan usia kita pada setiap hari menjadikan kita sentiasa sedar diri, sedar diuntung, sedar segala. Manusia yang 'sedar' sentiasa diintai Malaikat Maut pastinya mengingati Dia, menyedari segala amal perbuatan ada ganjarannya, pahala ataupun dosa.

Mari muhasabah diri, apakah Aidilfitri yang dirai ini adalah ibadat atau adat semata? Apakah kita kembali kepada cara hidup sebelum berpuasa Ramadhan atau ada perubahan yang hanya kita tahu kewujudannya? Wallahualam.

Selamat hari raya Aidilfitri buat semua pengunjung Mujahadah Muslimah.
Mohon ampun dan maaf atas segalanya andai ada salah dan silap.

Berjuanglah Wahai 'Dia'! 10:08 PM


Bagaimana seseorang itu ingin menyatakan isi hati dan fikirannya?

Andai buah fikirannya itu diterjemahkan dalam kalimah kata-kata, ia ibarat pepatah Melayu lama, diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Seseorang pernah berpesan pada jiwanya, semangat akan jatuh apabila apa yang diperjuangkan tidak mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan.

Lantas, setelah dia terasa lama berjuang, dia jatuh. Namun dia tidak biarkan ia menguasai dirinya.

Aah! Sukarnya menyatakan kesukaran dan kesulitan.

Kadang-kadang, dia ingin saja menghamburkan kata-kata yang barangkali pedas dan pedih pada pandangan mereka. Namun, dia terus bersabar.

'Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.'

Pesanan Luqman al-Hakim itu terlintas tatkala muhasabah dan refleksi diri dilakukannya.

'Manusia semuanya tidur, apabila mati baru terjaga (tersedar)’, Saidina Ali.


Biarlah apa jua kesukaran dan kesulitan yang terjadi. Apa yang penting adalah usaha dan harapan yang ingin dibina. Berjuanglah wahai ‘dia’!

Pedoman Ingatan 10:31 PM


Setiap hari KUBUR menyeru manusia sebanyak lima kali;
  1. Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.
  2. Aku rumah yang gelap, maka teranglah aku dengan selalu solat malam.
  3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.
  4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.
  5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka perbanyakkanlah bacaan "Laa ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah" supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya;
  1. Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya.
  2. Harta itu racun, zakat itu ubatnya.
  3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya.
  4. Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya.
  5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya.

Melodi Hati 12:18 PM


Ke arah mana halanya, bagi insan yang terleka
Mengejar nikmat dunia, bagaikan hidup selamanya
Tak peduli dosa noda, seksa azab neraka
Hidup jauh dari rahmat-Nya.


Terpedaya pada dunia, pentas ciptaan manusia
Terlupa pada segala, mengikut nafsu semata

Membiar syaitan beraja, di hati dan juga jiwa
Mengejar dunia penuh debu dosa.

Remembering those story about abortion and leaving the babies that appears in newspaper everyday? Remembering the big story about killing, raped, and corruption? Not only the way of life that far from Allah and Islam, but also the lifestyle that not appropriate with Rasulullah’s akhlak.

Telah ku mungkiri janjiku lagi, walau seribu kali
Ku ulang sendiri, aku takkan tempuh lagi

Apakah Kau terima cintaku lagi, setelah ku berpaling

Dari pandangan-Mu, yang kabur kerana jahilnya aku.

Mengapa cinta-Mu tak pernah hadir

Subur dalam jiwaku, agarku tetap bahagia

Tanpa cintaku tetaplah Kau di sana

Aku tanpa cinta-Mu, bagai layang-layang terputus talinya.

Heart and mind keep thinking. Pray for Allah’s love.

Tuhan layarkanku ke arah cinta-Mu, tuntuniku menggapai redha-Mu

Rimbunan kasih-Mu ku berteduh, kepada-Mu ya Tuhan

Berikan secebis keinsafan, bekalan sepanjang perjalanan

Mencari ketenangan.

Keep pray to Allah. Allah listening to all prays.

Teguhkanlah iman dalam diri, moga dikau akan merasai
Betapa indah nikmat Ilahi, dan yakin kau akan dirahmati


Harus kau percaya dengan pasti, dunia tidak kekal abadi

Hanya menguji cekalnya hati, sebagai khalifah yang sejati


Tak perlu kau meragui, andai teguh keimananmu

Pasti bahagia menanti, di akhirat yang abadi

Allah will answer your prayer someday, insyaAllah. Just be patient, and get through your life with calm.

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Surah Al-Baqarah: 216

[Credit to: Debu-debu Dosa, Hijjaz; Aku Tanpa Cinta-Mu, Mirwana & Jay Jay and Layar Keinsafan, Mestica]

Kehilangan Itu Berkat? 6:41 PM

Setiap sesuatu yang terjadi itu ada hikmahnya.

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia.” Surah Yaasin: 82

Sesuatu perkara itu akan tetap terjadi walaupun seseorang telah mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati. Contoh paling mudah, kemalangan jalan raya.

A merupakan seorang pemandu yang cekap dan cukup berhati-hati di jalan raya. Namun, malang tidak berbau tatkala kereta yang dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu laju oleh B. Kereta B cuba memotong kenderaan lain di hadapannya tetapi terbabas ke laluan kereta A. A tidak dapat mengelak kereta B lantas berlakulah sebuah kemalangan ngeri yang mengakibatkan kematian ahli keluarga A yang turut berada bersamanya dalam kereta tersebut.

Begitu juga dengan setiap perkara yang terjadi dalam hidup kita. Kita mengambil tindakan yang terbaik bagi setiap input yang ada, mengkaji setiap pro dan kontra input tersebut dengan cukup berhati-hati. Namun begitu, tadbir kita itu bergantung kepada takdir yang ditentukan Allah.

dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.” Surah Alam Nasyrah: 8

Setelah kita berusaha mentadbir kehidupan kita, kita tetap perlu berpaling kepada takdir Allah yang Maha Esa. Rezeki yang kita perolehi bukanlah milik kita selagi ia tidak termaktub menjadi darah dan daging, harta dan benda.

Saya pernah kehilangan RM 50 yang diberi oleh kawan abah sewaktu ingin memasuki Kolej Matrikulasi. Duit itu tercicir sewaktu saya membeli barang-barang untuk dibawa ke hostel. Besar jumlah itu, namun sudah termaktub ia bukan rezeki saya.

Semalam, saya menerima kiriman daripada sebuah syarikat pelancongan. Akibat terpedaya dengan tutur kata seorang eksekutif wanitanya melalui panggilan telefon sahaja, saya kehilangan hampir RM 500. Astaghfirullahal azim. Hasil pekerjaan yang saya simpan hampir 10 bulan perlu digunakan untuk membayar pakey yang tidak saya gunakan kerana ia telah dikreditkan ke dalam akaun bank. Nak tak nak, saya perlu membayarnya walaupun saya telah menyatakan keengganan saya daripada terlibat dengan pakej syarikat tersebut.

Muhasabah diri terjadi. Alhamdulillah, hati tetap tenang. Saya tidak mahu berasa sedih dengan kehilangan itu. Duit boleh dicari, namun ketenangan hati itu bukan mudah diperolehi. Semoga Allah mengampunkan segala dosa diri ini, barangkali saya ada berlaku tidak adil kepada anak didik. Mungkin tiada keberkatan dalam masa-masa kerja yang telah dilakukan. Terlalai dari tanggungjawab yang diamanahkan dan sebagainya.

Ada rakan sekerja mengatakan bahawa dia turut kehilangan jumlah yang sama kerana melibatkan diri dengan skim cepat kaya. Katanya, sebaik sahaja dia dan dua temannya menceburkan diri dalam skim tersebut, dalam masa seminggu sahaja skim itu diharamkan kerana Bank Negara telah membekukan operasi syarikat tersebut. Sekelip mata, semudah ABC.

Pensyarah saya sewaktu di universiti dahulu pun ada bercerita perkara yang sama. Dia turut kehilangan jumlah yang sama akibat membayar bil melalui online banking. Rupa-rupanya, laman web yang telah digunakannya adalah satu skim penipuan. Kata pensyarah saya, kehilangan itu barangkali bagi menjadikan rezeki yang diperolehnya saban bulan menjadi berkat.

Semoga rezeki yang telah diperoleh dan bakal diperoleh selepas ini adalah rezeki yang berkat dan halal. Semoga kehilangan yang banyak itu akan diganti oleh Allah dengan kesabaran dan rezeki yang lebih berkat. Amin…


Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Ampunkanlah kelalaian, kelekaan dan kekhilafan kami dalam melayari kehidupan sebagai hamba-Mu. Amin…

Ihsan Dalam Lagenda 1:30 PM

Ihsan yang menjadi lagenda dalam hikayat keburukan dan kefakiran.

"Ihsan itu ialah hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu." Hadis Riwayat Muslim.

Apakah ihsan?

Ihsan ialah berbuat baik atau berbuat sebaik mungkin. Manakala dalam pengertian istilah, ihsan dapat didefinisikan sebagai ajaran atau konsep yang mendukung etika kerja yang baik.

Hmm... mari kita selusuri sedikit tentang ibadat kepada Allah, adakah Rukun Islam itu sahaja yang termasuk dalam ibadat kepada Allah yang Maha Esa?

Ibadat kepada Allah terbahagi kepada dua jenis iaitu ibadat khusus dan ibadat umum. Solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, dan mengeluarkan zakat merupakan antara ibadat khusus yang utama, ditentukan cara dan syaratnya.

Apakah pula ibadat umum?

Ibadat umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita lakukan setiap hari. Andainya semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah kehendaki, maka ia akan menjadi ibadat di mana kita akan diberi pahala. Sebaliknya andai kita cuai dalam mengatur hidup, tidak mengikut syariat, maka berdosalah kita. Menuntut ilmu, bekerja mencari rezeki, dan berpolitik adalah contoh ibadat umum yang dapat kita laksanakan dalam kehidupan kita.

'Work at work.'

Kata-kata ini merupakan antara seratus kata-kata nasihat dalam sebuah buku Inggeris, 100 Action Principles. Apakah yang dapat kita faham daripada kata-kata ini?

Kerja di tempat kerja. Bukan sambil lewa, mengambil mudah semua perkara, memandang remeh masa kerja yang kita lakukan. Bagaimana dengan rezeki yang kita perolehi andai tiada kejujuran dan amanah dalam kerja yang kita lakukan? Pasti hilang keberkatannya, bukan?

Dengan ihsan, kita bawa etika kerja yang baik. Indahnya Islam yang syumul, melengkapi kehidupan kita sebagai muslimin dan muslimat, memberi panduan dalam kita mengerjakan ibadat khusus dan umum. Beruntunglah kita andai kita sentiasa muhasabah diri, koreksi diri, membaiki dan menambah potensi diri.


Namun begitu sebagai manusia biasa, insan lemah di sisi Allah, adalah lumrah perasaan malas datang menguasai diri. Oleh itu, bermujahadahlah melawan anasir-anasir ini daripada menguasai diri. Jangan biarkan ia menjadi raja kerana ada pendapat yang mengatakan malas itu adalah dosa. Mengapa?

Apabila malas, pasti segalanya menjadi serba tidak kena, tidak sempurna. Sedangkan, kita dituntut untuk menyempurnakan segala perkara yang kita lakukan.

Ahmad dah solat?

Belum lagi, umi.

Kenapa lambat solat pula ni?

Nantilah, malas nak bangun.

Sekiranya malas itu terus menguasai Ahmad, pasti solat tidak didirikan. Bukankah dosa meninggalkan solat dengan sengaja?

Sekadar contoh, misalan ringkas yang dapat diberi. Seperti mana yang pernah saya kongsikan dahulu, terdapat pelajar yang malas menunaikan solat Jumaat. Lebih suka tidur di rumah daripada mendengar khutbah Jumaat di masjid kariahnya.

Astaghfirullahal azim... semoga Allah mengampunkan segala dosa, kelalaian dan keterlanjuran kita.

Ihsanlah kita pada setiap kerja yang kita lakukan. Jangan biarkan ia hilang, menjadi lagenda dalam hikayat kehidupan kita. Jangan biarkan ilmu yang kita ada terbiar tanpa amal, menjadikan kita fakir di akhirat kelak tatkala menanti hisab di Padang Mahsyar.

Astaghfrullahal azim... ya Allah, ampunkanlah hamba-Mu ini...

Damba Keampunan-Mu 1:21 PM

'Kenapa ada hitam apabila putih menyenangkan?'


Jangan ditanya kenapa dan mengapa. Jangan persoalkan apa yang telah Allah ciptakan dan wujudkan. Jangan pernah mengungkit apa yang telah diberi dan diterima.

Dialah Yang menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu), dan ada lagi suatu ajal yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah mengetahuinya), kemudian kamu masih ragu-ragu (tentang berbangkit itu).” Surah Al-An’aam: 2

Segala langkah perjalanan dan perpisahan pada pertemuan yang ada telah ditetapkan dan ditentukan Allah. Takdir-Nya mengatasi segala.

Tadbir kita pada usaha dan langkah mujahadah yang dilakukan tetap bergantung kepada keredhaan Allah dan berbalik kepada keizinan-Nya jua. Panjatkan doa memohon keberkatan dan maghfirah Allah, Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.” Ustaz Hj Zaharuddin bin Hj Abd. Rahman.

Pulanglah kepada Allah. Pintu taubat sentiasa terbuka bagi hamba yang sedar dan menyesali akan dosa-dosanya. Tuhan tidak lupakan kita. Buktinya, segala nikmat yang kita ada sekarang adalah rahmat daripada kasih sayang-Nya.

Bukankah kita masih bernafas manakala Malaikat Maut saban waktu mengintai kita?

Bukankah kita masih mampu melihat apa yang terbentang luas di bumi Allah?

Bukankah kita masih mampu mendengar kalimah mengagungkan Allah pada seruan lima waktu itu?


Bersabarlah menghadapi apa jua, sama ada yang telah terjadi atau yang bakal dihadapi. Hakikat kebaikan yang ada di sebalik keburukan itu sendiri adalah suatu hikmah bagi mendidik diri dalam pentarbiyahan hati mencari cahaya Ilahi.

...Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Kepunyaan Allah." Dia telah menetapkan atas Diri-Nya kasih sayang. Dia sungguh akan menghimpun kamu pada hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya...” Surah Al-An’aam: 12

Ya Allah, kami dambakan keampunan dan kerinduan kepada-Mu. Ampunkanlah segala dosa-dosa, keterlanjuran dan kelekaan serta kealpaan kami. Amin...

Bahagia dan Membahagiakan 8:04 PM

Bahagia. Suka. Damai dirasa.

Bagaimana membina hati yang bahagia? Tenangnya datang dengan damai dan tenteram. Tanpa sukar dan susah.

Ironinya, menjadikan diri bahagia juga bukanlah suatu perkara yang mudah. Kadang-kadang dalam musibah itu, bahagia tetap kita rasakan.

Bagaimana? Pelikkah? Janggal barangkali untuk mereka yang ditimpa musibah merasa bahagia. Ya, bagaimana pula kita rasa bahagia andai orang yang kita sayang mendapat musibah, ditimpa kecelakaan dan dirundung kesedihan.

Namun, bukanlah itu maksud sebenar kata-kata ini. Kita bahagia, kerana dapat berkongsi rasa dan perasaan dengannya. Menjadi pendengar yang setia, memberi semangat dalam kekuatan kata-kata nasihat.

Benar kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Gunakan moto Ustaz Hasrizal, ‘Erti Hidup dalam Memberi’ dalam menjadi seorang insan yang bahagia dan membahagiakan. Kita memberi dengan senyuman, nasihat bahkan kritikan kerana itu juga tanda kita sayang dan kasih, enggan orang yang kita kenal hati dan budinya terjebak dalam perkara yang tidak diingini.

Selain itu, kita juga dapat memberi dengan mendengar setiap luahan hati dan perasaannya. Lend a shoulder to cry if that person need too, to release her/his feeling.


Ada satu mesej yang pernah saya terima, menjadikan saya sentiasa berjaga-jaga dalam tingkah-laku dan adab.

...Semoga terus menjadi anak yang menyenangkan hati mak dan abah...’ Amin.. insyaAllah...

Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian daripada Allah juga.

Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya ini harus dijadikan peringatan agar kita sentiasa berlapang dada dalam memberi dan menerima nasihat serta kritikan.

Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

Mari! Kita bina diri menjadi insan yang bahagia dan membahagiakan.

Guru dan Pendidik 12:21 AM


Guru merupakan insan mulia kerana menurunkan ilmu kepada anak-anak muridnya dengan sepenuh hati, walau bagaimanapun keberkesanan penyampaian ilmu bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan niatnya yang baik.

Islam sentiasa memberi panduan kepada para guru agar memperkasa dan memperbaiki diri supaya menjadi golongan pendidik yang betul-betul memenuhi tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” Surah At-Taubah: 122

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menekankan dua perkara utama kepada golongan guru (yang menuntut ilmu) bagi mencapai keberkesanan penggarapan ilmu yang dipelajari:
  • Arahan Allah untuk memperdalami dan bukannya sekadar belajar.
  • Arahan Allah selepas proses penggarapan ilmu, menyedarkan masyarakatnya dengan memberi peringatan dan bukannya mengajar.
Kedua-dua konsep itulah yang meletakkan seseorang yang menuntut ilmu itu mencapai status pendidik iaitu satu kedudukan yang lebih tinggi daripada seorang guru. Ini kerana, pendidik bukan sekadar mengajar atau mencurahkan ilmu kepada pelajarnya, malah memastikan para pelajarnya benar-benar mempraktikkan segala ilmu yang digarap, ditambah pula peranan pendidik mampu menjiwai permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya serta mengadakan program susulan jangka panjang (long-term follow up planning).

Berbeza dengan tugas seorang guru, ada di antara mereka hanya sekadar mengajar dan mungkin juga tidak mempedulikan aspek program susulan, baginya yang penting mereka telah menyampaikan ilmu, tetapi sebenarnya keberkesanan sesuatu ilmu itu bergantung kepada lima perkara untuk mencapai status pendidik yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya seperti yang pernah dilontarkan persoalan ini oleh Syeikh Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang bertajuk "Rasul dan Ilmu Pengetahuan".

Beliau ada menegaskan, bahawa apabila seorang pendidik itu mampu merealisasikan lima perkara berikut, nescaya dia melonjakkan kedudukan sebagai pendidik atau pewaris nabi-nabi. Lima perkara itu adalah seperti berikut :

  • Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.
  • Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, dia akan mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, bukan sebaliknya, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.
  • Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam yang dicerobohi oleh tangan-tangan pengkhianat dan perosak Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.
  • Ada perasaan tawadhu' (rendah diri) terhadap orang lain.
  • Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu.

Baginda Rasulullah ada bertanya kepada Malaikat Jibril, “Siapakah golongan pendidik (ahli ilmu sebenar)?” Jibril menjawab. “Sesungguhnya mereka ibarat pelana umatmu di dunia dan akhirat, beruntunglah mereka yang mengenali dan menghormati mereka dan nerakalah bagi mereka yang membenci serta menyanggah mereka (ahli ilmu/pendidik).

~ Guru, dalam ajarnya ada harapan. Dalam tegurnya ada doa. Dalam marahnya ada sayang. Dalam tawa ada mesranya. Dalam diam ada bijaksana. Berbahagialah menjadi guru... ~

[From Islam ad-Din's folder]

Pandangan, Persepsi atau Andaian? 9:20 PM

"Abah, kasihan pak cik tu. Dah tua, tapi tetap kerja."

"Dunia, ada yang senang, ada yang susah. Kalau semua orang nak jadi bos, tak ada pula yang akan buat kerja-kerja bawahan."

"Sedih rasanya tatkala melihat pak cik tu. Anak-anak dia tak tolong ke?"

"Tolong barangkali. Bersangka baiklah. Mungkin dia suka bekerja, jenis orang yang tak boleh duduk diam."

"Emm, mungkin."

Dua pandangan. Dua persepsi. Dua andaian.

Pendapat kita banyak bergantung kepada sikap, sifat serta didikan yang kita terima sama ada secara formal ataupun tidak formal. Kebergantungan ini mempengaruhi minda kita untuk menjadi kritis dan kreatif.


Soroti kisah setiap pelajar, anak murid yang dididik. Pasti kita temui seribu satu kisah di sebalik kenakalan mereka. Ada yang berpakaian kemas, ada yang kelihatan selekeh. Ada yang sentiasa menjadi bahan usikan rakan-rakan dan ada yang mendapat pujian guru sehingga menimbulkan rasa iri hati di kalangan pelajar.

Motivasi yang diberi melalui peneguhan nilai-nilai murni itu sekadar ingin dijadikan satu batu loncatan agar pelajar-pelajar sedar bahawa laluan hidup yang mereka lalui hari ini cuma sedikit. Jauh lagi perjalanan mereka, penuh liku dan ranjau lantaran kehidupan di dunia ini hanyalah persinggahan sementara sahaja.

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." Surah Al-‘Ankabuut: 64

Untuk mendapat hasil yang baik, permulaan yang baik juga perlu dimulai di awalnya. Sekiranya malas berusaha sedari awal, lihatlah kesannya di akhir kelak. Bukan mudah untuk menjadi senang, namun bukan juga sukar untuk menjadi susah. Pilihan berada di tangan sendiri.

'Leteran itu sebenarnya sayang, sikap dingin itu sebenarnya sayang, melebihkan orang lain itu hakikatnya sayang, marah dan rotan itu juga sebenarnya sayang.' Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Murabbi Cinta.

Sayang sebenarnya kepada pelajar-pelajar. Potensi yang ada pada diri mereka perlu digilap kerana mereka masih mencari rentak untuk membina kehidupan mereka. Sifat malas yang ada membantutkan perkembangan mereka sendiri lantaran mereka tidak nampak kesan dan bahana sifat malas berusaha dalam kehidupan mereka.


Semoga ‘pak cik’ di awal cerita ini adalah mereka yang tergolong dalam mereka yang rajin berusaha, mencari sesuap nasi demi mengisi perut anak dan isteri tercinta. Jangan pula ‘pak cik’ itu dalam kalangan ibu bapa yang ditinggalkan anak-anak lantaran kesan dosa silam, mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga kerana what you give, you get back!

Berjuanglah! 11:21 AM


Ya Allah,
Rasa ini berat sekali,
Bagaimana untuk diri ini terus berjuang,

Bukan patah semangat,
Bukan juga buntu akal,
Tetapi jauh di relung hati,

Terasa kalah dalam pencarian langkah dan rentak.


Murobbi,
Gelaran yang agung buat seorang muallim,

Muaddib,
Bukan sedikit tanggungjawab yang diamanahkan,

Pentarbiyahan diri berlaku,
Namun sering juga diri yang fakir,
Kalah dalam istiqamah pada jalan-Nya.


Ya Rahman Ya Rahim,
Ya ‘Arif Ya Mutakabbir,

Bekalkanlah kami dengan kekuatan,

Agar mampu kami berjuang,

Dan terus bertahan,

Di medan ilmu bernama pendidikan.

Penghujung Yang Dicari... 12:28 PM

Tarbiyah diri diiringi mujahadah pada jalan yang berliku. Bertemukah penghujung yang dicari?

Hati meronta-ronta, mencari. Kelu lidah, tidak terungkap dengan kata-kata perasaan yang mencengkam hati nurani. Sakit, betapa jauhnya rasa ini dengan rasa yang pernah hadir dahulu. Jauh sekali, namun muhasabah dan mujahadah perlu dilakukan. Wajib!

Ibn Qayyim menyebutkan, “Apabila jiwa itu mula tenteram daripada syak kepada yakin, daripada jahil kepada ilmu, daripada lalai kepada ingat, daripada khianat kepada taubat, daripada sia-sia kepada ikhlas, daripada dusta kepada benar, daripada lemah kepada cergas, daripada angkuh kepada merendah diri, daripada bongkak kepada tawaduk, daripada malas kepada bertenaga, maka ketika itulah ia telah mencapai roh tomakninah.


Diceritakan bahawa Rasulullah S.A.W mendatangi seorang pemuda yang hendak meninggal. Baginda bertanya, ‘Bagaimanakah keadaan engkau sekarang?
Pemuda itu menjawab, ‘Wahai Rasulullah, aku berharap kepada Allah S.W.T dan aku takut akan dosaku.
Rasulullah S.A.W bersabda, 'Bila dalam hati seseorang telah berkumpul dua hal itu, tentu Allah akan memberi apa yang diinginkannya dan menghindarkan dari apa yang ditakutinya.'

Jangan bersedih, beristighfarlah. Allah itu Maha Pengampun.

dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya...” Surah Huud: 3

Jalan berliku itu pasti akan terus ditempuh selagi nikmat tenaga dan nyawa terus diberi oleh yang Maha Esa. Namun pengakhirannya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui, kerana hakikatnya permulaan kepada kehidupan ini adalah hidup selepas mati!

Secebis Catatan di Bilik Darjah 11:18 AM

Cikgu, tengok Mawi ni. Suka sangat kacau saya.

Mawi, kenapa dengan awak? Ada yang tak kena ke?

Dia start dulu cikgu. Kita tak layan pun.

Dialog ini adalah perkara rutin di kelas. Saling salah-menyalahkan, saling tuduh-menuduh. Tiada semangat setiakawan, cuma mewujudkan suasana perbalahan di kelas.

Kadang-kadang kami sebagai guru hampir hilang idea untuk membantu pelajar-pelajar ini. Sedangkan, boleh dikatakan setiap pelajar itu kami ketahui latar belakang keluarga dan hidupnya. Ini bukanlah helah bela diri namun secara realitinya, kami cuma mampu menasihatkan pelajar-pelajar yang bermasalah untuk berubah ke arah kebaikan. Mereka dinasihatkan untuk memikirkan nasib diri dan keluarga sekiranya tiada ilmu di dada, sama ada duniawi dan ukhrawi.

Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” Surah Al-Ankabut: 64


Balik rumah nanti, cuba fikirkan. Muhasabah diri. Adakah anda seorang Muslim yang baik? Adakah anda seorang pelajar yang baik? Adakah anda seorang anak yang soleh dan solehah?

Persoalan-persoalan ini biasa saya tuliskan di papan hijau pada akhir kelas. Soalan-soalan dan kata-kata nasihat ini kadang-kadang lebih berkesan apabila dibaca berbanding diucapkan secara lisan. Bak kata pepatah, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Apabila saya mula menulis, pelajar-pelajar akan berkata, ‘Cikgu nak tulis apa pula tu?’.

Tanyalah kepada semua guru di luar sana, apakah yang mereka inginkan pada anak-anak murid mereka. Pasti semua akan menjawab bahawa mereka hanya ingin melihat anak-anak murid berjaya dalam hidup dan menjadi insan yang cemerlang akhlaknya.

Dalam era globalisasi kini, dibimbangi mereka tidak dapat bersaing dan seterusnya tercicir dalam kehidupan. Kemiskinan terus diwarisi sedangkan mereka sebenarnya berupaya untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

"...Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." Surah Ar-Ra'd: 11


Sungguh, apabila teori ingin diaplikasikan dalam amali, segalanya akan berubah menjadi sukar dan susah. Pelbagai gangguan wujud, menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran terbantut. Motivasi dan nasihat sentiasa diberi namun benarlah, untuk mendapat sesuatu yang baik pasti sulit dan sukar. Semoga perjuangan yang baru bermula ini terus membara hingga ke akhirnya. Wallahualam.

Happy 25th Anniversary! 5:37 PM

Kagum.

Bangga.

Sesungguhnya hati ini bahagia.

Kadang-kadang perasaan sebak itu datang, lantas diiringi air mata yang bergenangan. Sungguh! Aku menjadi pengagummu yang setia. Kagum dengan cinta dan kasih sayang yang dicurahkan. Terasa jiwa kecil ini sarat dengan tulus ikhlasnya kasihmu. Alhamdulillah, Maha Suci Allah yang telah mengurniakan perasaan sehebat ini!

Jauh di lubuk hati ini tetap ada lafaz yang tersimpan. Namun cuba dizahirkan melalui kata-kata dan perbuatan. Kekoknya langkah tanpa kata-kata, sukarnya tingkah tanpa susulan bicara.

…hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” Surah Al-Israa’: 23

Nota hati ini tidak terhenti di sini. Ustaz Pahrol berkata, “Cintailah ibu bapa kerana mencari cinta Allah!

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." Surah Al-Israa’: 24


Buat Abah dan Mak, selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-25. Sudah suku abad rupanya Abah dan Mak melayari kehidupan bersama. Semoga redha dan kasih sayang Allah sentiasa bersama diiringi kebahagiaan dan keberkatan dalam nikmat serta hikmah di sebalik setiap ujian-Nya jua.

Terima Kasih Abah dan Mak! 4:57 PM

Beruntungnya kita kerana mempunyai ibu dan bapa!

Bertuahnya kita kerana penuh kasih sayang sejak dari kecil hingga dewasa. Kasih sayang Allah melalui segala pemberian dan nikmat yang tidak terhitung. Kasih sayang ibu bapa pula melalui tindakan melindungi dan mendidik anak-anak serta tanggungjawab lain yang tergalas di bahu setiap ibu bapa.

Kadang-kadang hati ini tertanya-tanya. Apakah akan ada seorang pelindung yang berjaya melindungi dan menjaga diri ini sebagaimana Abah bertindak?

Teringat pada kata-kata Mama, ibu sahabat tersayang tatkala kami berbicara soal teman hidup (insyaAllah, semua orang mempunyai keinginan untuk membina 'rumah dan tangga').

Susah nak jumpa orang macam Abah.

Wani jangan cakap begitu. Semua orang merasakan ayah mereka adalah lelaki terbaik dalam hidup mereka, but for sure Wani takkan jumpa lelaki yang sama sikap dan sifatnya.

Nota Hati Seorang Ayah dalam tulisan Ustaz Pahrol benar-benar menyentuh hati ini. Ingin saja dicanangkan kepada semua betapa bertuahnya diri ini, punya seorang ayah yang sangat penyayang dan melindungi. Sungguh, dalam perlindungan itu ada kebebasan namun sekatan dan batasan itu tetap ada sebagai had kawalan diri dalam melayari kehidupan sehari-hari.


“Perlu banyak meraikan.” Begitu kata Tok Wan apabila ditanya tentang tip mendidik anak perempuan.

“Meraikan bagaimana?”

“Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya.”

“Maksudnya?”

“Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan kegagalannya. Selalu ucapkan tahniah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah.”

"Kenapa Tok Wan?"

“Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan.”

“Apa tip Tok Wan untuk Sang Gembala?”

“Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah cucu kita bakal mendapat ibu yang mithali?”

“Lagi Tok Wan?”

“Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mestilah menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya!”

“Lagi Tok Wan?”

“Last but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!”

Nota Hati Seorang Lelaki, Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Sewaktu adik dirawat di hospital kerana kemalangan pada tahun lepas, Mak tetap teguh berdiri di sebalik kelembutan kasih sayangnya. Sedangkan diri ini tahu, betapa runsingnya hati seorang ibu apabila melihat keadaan anak yang dikandung sembilan bulan, dilahirkan dengan penuh susah dan payah, apatah lagi sakit menanggung perasaan duka melihat anak terlantar kesakitan. Sungguh, diri ini sangat bertuah lahir dari rahim Mak, kekuatan yang Mak ada itulah sumber kekuatan dan contoh terbaik bagi diri ini.


Dedikasi kepada Abah dan Mak, ibu bapa terbaik buat Nur dan adik-adik! Terima kasih yang tidak terhingga atas kasih sayang, jasa dan pengorbanan Abah dan Mak membesarkan Nur dan adik-adik. Semoga redha dan kasih sayang Allah sentiasa bersama kita jua hingga akhirnya. Amin...

Kalau... 12:16 PM

Banyak versi ‘kalau’ dalam hidup kita. Kalau itu, kalau ini. Pelbagai cerita ‘kalau’ keluar sekiranya ada sesuatu yang tidak diingini.

Namun begitu, tidak semua perkara menjadi negatif dengan ‘kalau’. Ada perkara positif dan kebaikan yang tersirna selepas minda meninjau semula laluan liku-liku kehidupan.

"Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah, apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan." Nota Hati Seorang Lelaki, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

"Apa agaknya yang akan terjadi kalau Alif tidak dengar cakap ibu?"

"Alif kena marah dengan ibu. Kalau ibu marah, mesti Allah pun marah pada Alif."

Kanak-kanak di usia muda sudah dapat menjawab soalan ‘kalau’. Didikan awal yang berteraskan agama sangat penting untuk kanak-kanak kerana sejak dari kecillah mereka dapat dibentuk agar memiliki hati yang suci bersih, supaya tidak lalai daripada melaksanakan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi.

"Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi." Hadis Bukhari dan Muslim.

Apa yang akan anda lakukan sekiranya mengetahui ada orang yang anda kenali tidak menunaikan kewajipannya kepada Allah? Solat tiang agama yang lima itu pun tidak mencukupi, tergamak pula meninggalkan solat Jumaat tanpa perasaan berdosa. Apa perasaan anda? Marah? Geram? Sakit hati? Apakah pula tindakan yang akan anda ambil agar mereka berubah?

Cerita ‘kalau’ ini masih belum berakhir. Barangkali ‘kalau’ itu wujud sebagai seseorang, mudah saja dipamerkan di khalayak umum.

"Kalau saya tidak melanjutkan pelajaran ke sana, pasti saya tidak akan bertemu dengan sahabat yang baik seperti dia. Mujur juga ada sahabat yang memahami dan sentiasa bersama saat susah dan senang."

"Kalau saya tidak pernah mempunyai perasaan yang satu itu, saya tidak akan jadi begini. Takut untuk terjebak kembali dalam kelekaan dan kelalaian walaupun sudah sedaya upaya menjaga diri daripada perasaan itu. Syukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk saya meraih dan mencari kembali cinta Allah yang Maha Esa."

Kalau, kalau dan kalau...

Galau di hati siapa yang tahu. Hanya Allah jua tempat berserah dan memohon pertolongan. Sesungguhnya kita milik Allah yang akan kembali juga akhirnya. Raihlah kasih sayang-Nya, dengan kesyukuran atas segala nikmat dan hikmah di sebalik segala ujian dan dugaan. Semoga kita dalam lindungan redha dan kasih sayang-Nya jua. Amin...


"Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: “KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah: “Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan." Riwayat Muslim.

Ilmu 9:17 AM

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya.” Surah Al-Isra’ : 36

Dalam dunia digital, ilmu merupakan faktor terpenting untuk menguasai semua bidang kehidupan. Tanpa ilmu, akan menyebabkan manusia ketinggalan dan sentiasa bergelumang dalam kerugian.

Dalam ayat di atas, Allah mengarahkan umat manusia supaya tidak mengikut membabi buta tanpa disandarkan penguasaan ilmu. Seluruh pancaindera memerlukan ilmu untuk digerakkan. Telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan hati untuk memilih, memerlukan bantuan ilmu supaya ianya menjurus ke arah kebaikan dan keredaan Allah. Oleh kerana di akhirat kelak Allah akan mempersoalkan tentang pendengaran, penglihatan dan hati di mana ianya diguna dan dilakukan, maka tidak dapat tidak, manusia perlu memanfaatkan seluruh pancainderanya untuk keredaan Allah.


Manusia akan diperalatkan oleh kawan atau lawan, apabila ianya tidak memiliki sesuatu ilmu. Perumpamaan manusia yang suka menurut atau mengikut tanpa ilmu, diibaratkan seperti lalang yang melentuk ke kiri dan kanan apabila ditiup angin. Kehidupan akan musnah apabila ditiup angin. Kehidupan akan musnah apabila individu itu tidak dapat berdikari dengan ilmunya sendiri.

Koleksi Hadis-Hadis Terpilih, JAKIM

Kejutan 5:35 PM

Episod baru sentiasa tercatat dalam kehidupan dengan perubahan siang dan malam, hari dan minggu serta bulan dan tahun. Sekiranya setiap rentetan peristiwa yang berlaku itu dirakamkan oleh lensa video, pastinya dapat kita tatap setiap riak wajah yang ada; gembira, bahagia, suka, duka, sedih dan lara.

Minggu ketiga Februari mencatat episod kejutan dalam kehidupan. Awal pagi itu, ana tersedar dari lena, namun dikejutkan dengan mesej yang diterima.

“Salam. Izdihar Mohd telah meninggal dunia pada pukul 10 malam tadi. Doakan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.”

Arwah merupakan pelajar yang pernah ana didik untuk beberapa bulan di SMT Tanah Merah, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Baik orangnya, berita pemergiaannya ke rahmatullah benar-benar mengejutkan. Namun begitu, siapalah kita untuk menghalang takdir, qada’ dan qadar yang telah ditentukan Allah. Allahyarham yang masih muda telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini, namun bagaimana kita yang masih tidak tahu pengakhiran kehidupan kita?


Sesungguhnya Allah memiliki kekuasaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.” Surah At-Taubah: 116

Tadbir Diri 12:59 AM


Salam ukhwah buat sahabat dan teman yang setia menantikan pengisian terbaru dalam laman 'Mujahadah Muslimah' ini. Setelah sekian lama sepi dan sunyi menyelubungi teratak ini, baru kini ana berpeluang menekan papan kekunci lantaran kesibukan bekerja di samping kekangan-kekangan lain yang tidak dapat dielakkan.

Kita berusaha mentadbir diri, mengurus kehidupan yang fakir di sisi Allah namun Allah jualah yang Maha Menentukan segala perancangan yang telah ditetapkan kepada kita.

Tahun 1431 Hijrah telah bermula sebelum tahun 2010 Masihi menjengah tiba. 1431H telah masuk bulan yang kedua iaitu Safar manakala 2010M baru sahaja berada di pertengahan Januari. Tetap punya perbezaan dan kelainan, bukankah begitu?

Rintis akal dan minda, terobos dalam jiwa perbezaan yang hanya sirna bagi mereka yang berfikir. Usia bertambah, namun seiringkah dengan apa yang kita tanam, apa yang bakal kita tuai di akhirat kelak?

Persoalan ikhlas dan memberi masih berlegar-legar tatkala tautan ukhwah bertemu temannya. Alhamdulillah, doa sentiasa dipanjatkan agar hati terus kekal teguh pada niatnya, tekal dan tegar walaupun ada anasir luar yang cuba membuahkan ingkar.

Manusia, sifatnya mempunyai hati yang berbolak-balik. Lantaran itulah, usaha mentadbir diri dimulai dari hati seiring akal yang tunduk akur pada kehendak raja diri, wujud daripada seketul darah.

"Dan orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka mereka (adalah) menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". Surah At-Taubah: 71