Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Arah & Buat 1:02 PM

Perbuatan yang semudah-mudahnya ialah mencela, kerana mudahnya selalu dikerjakan orang. Pekerjaan yang sesulit-sulitnya ialah memperbaiki diri, kerana sulitnya sentiasa ditinggalkan orang.

Kata-kata mukadimah bagi meredakan fikiran dan hati yang ligat berfikir serta berbicara tentang bagaimana langkah yang paling sesuai dalam menangani persoalan yang membelenggu diri.

Suatu hari yang agak memenatkan, bukan sahaja untuk fizikal luaran tetapi juga mental di mana otak keras berfikir jawapan sebenar kepada keadaan yang berlaku. Bukan semua perkara mudah diucapkan, apatah lagi apabila ia melibatkan orang lain yang lebih berkuasa dan punya keupayaan untuk mengarahkan sesuatu.

Sebagai pemimpin, pastinya tidak semua perkara yang diarahkan dapat memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Sudah pasti ada kata-kata yang mempertikaikan justifikasi atau arahan yang diberikan. Namun begitu, perasaan segan, takut dikatakan lebih sudu daripada kuah menjadikan sesuatu cadangan untuk mempertingkatkan hasil kualiti sesuatu perkara terbantut.

Jadi, apa yang harus dilakukan bagi orang yang menerima arahan? Arahan yang diberi dilakukan sebaik mungkin, namun pandangan yang dirasakan baik untuk mempertingkatkan kualiti sesuatu perkara terpaksa disimpan, bahkan mungkin hilang lantaran sifat manusia yang mudah lupa.

Dalam sistem pengurusan dan pentadbiran yang baik, syumul mengikut Islam, konsep musyawarah adalah yang terbaik dalam menentukan sesuatu keputusan. Lihatlah konsep musyawarah yang digunakan di mana Amirul Mukminin dilantik daripada mesyuarat jemaah Islam selepas kewafatan Rasulullah. Dapatkah para pemimpin ini mengaplikasikan perkara yang sama dalam jemaah pentadbirannya?

Jangan ikut hati dan perasaan kerana akal yang lebih utama untuk didahulukan. Fikir-fikirkan dan semaikan ikhlas di dalam hati.

Muhasabah Diri 9:36 PM

"Cikgu, kenapa seseorang suka bersedih dan muram?"

"Kenapa dia sedih dan muram? Mesti ada punca dan sebab kenapa dia berubah laku."

"Dia seorang yang periang dulu, tapi sekarang dah berubah, jadi muram berpanjangan dan panas baran."

"Cuba selidik kenapa dia berubah laku. Tapi step-by-step. Bukan straight forward, tanya begitu saja. Secara psikologinya, seseorang suka berkongsi perasaannya apabila dia percaya kepada orang tersebut. Bina kepercayaan dan beri semangat padanya."

"InsyaAllah. Tapi cikgu, kenapa perasaan sedih dan muram harus ada dalam diri kita?"

"Sesungguhnya perasaan sedih itu sendiri ditiupkan oleh syaitan. Cikgu sarankan buku La Tahzan, cubalah baca. Buku itu sangat bagus, penuh motivasi untuk diri. Tapi, Al-Quran itu lebih utama dibaca kerana hati kita sendiri mendapat ketenangan daripada ayat-ayatnya. Kalau boleh, amalkan membaca Al-Mathurat kerana ada doa memohon dijauhkan daripada perasaan sedih dan resah gelisah."

Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.” Surah Ali-Imran: 139

Sekadar diskusi ringkas bersama salah seorang pelajar. Teringat ana pada pesanan seorang teman. Katanya, ‘Platform sebagai guru sangat membantu dalam dakwah sesama Islam. Guru bertindak sebagai dai’e, berdakwah kepada pelajar-pelajarnya (mad’u).

Namun begitu, salah faham dan silap meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya menjadikan salah satu tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah terabai. Bukankah kita harus saling nasihat menasihati ke arah kebaikan, mendoakan kesejahteraan sesama saudara di samping mengeratkan ikatan silaturrahim yang telah terjalin?

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi)

Buntu, Kaku dan Beku 7:38 AM

Buntu.

Tatkala fikiran melayang jauh mengimbas kembali peristiwa di bilik darjah, pasti minda sarat berfikir tindakan dan cara yang paling berkesan dalam mengambil perhatian pelajar. Bagaimana ingin menarik perhatian pelajar yang kurang motivasi dan keinginan untuk berjaya lantaran sifat malas yang ada?

Satu cabaran yang penuh persoalan untuk dijawab.

Kaku.

Pembelajaran psikomotor berlaku tatkala anggota badan turut bertindak dalam proses pembelajaran. Mata melihat, telinga mendengar dan mulut ikut berbicara. Namun anggota lain seperti tangan dan kaki turut bertindak agar objektif tercapai. Bukan semua aktiviti pembelajaran menggunakan pendekatan psikomotor, namun apabila perlu pastilah ia membantu pelajar untuk lebih memahami sesuatu.

Beku.

Apabila segala usaha telah dilakukan, jangan biarkan semangat terhenti di situ, beku tindakan. Dalam sesuatu program, pasti satu post mortem dilakukan bagi mencari kelemahan dan kesilapan dalam segala urusan. Begitu juga dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Refleksi perlu dilakukan apabila kelas berakhir, cari kelemahan dan perbaikinya. Kelebihan yang ada digunakan sepenuhnya, tambah baik dan tingkatkan kemampuan diri.

Di samping mengaplikasi kembali ilmu psikologi yang telah dipelajari, bergurulah dengan pengalaman guru-guru lama. Pasti banyak ilmu berguna yang boleh diamalkan dan diaplikasikan dalam bilik darjah kerana realiti tidak semudah teori yang dipelajari.

Zaman berubah. Dari sebesar-besar televisyen hingga menjadi senipis TV plasma. Begitu juga peredaran masa yang berlalu merubah setiap generasi yang ada.

Waktu mak dulu, pergi sekolah jalan kaki je. Sekarang ni dah boleh naik motosikal untuk ke sekolah.

Begitulah kemudahan yang diberikan oleh ibu bapa hari ini bagi mengelakkan anak-anak daripada mengalami kesulitan yang pernah dialami sewaktu mereka kecil dahulu. Tidakkah anda bersyukur wahai setiap anak yang dididik oleh seorang insan bernama guru?

Belajarlah menghargai setiap saat yang ada. Syukurilah segala nikmat yang telah Allah berikan sehingga dapat anak-anak menuntut ilmu dalam suasana aman dan harmoni berbanding saudara seagama kita yang penuh kekacauan dan huru-hara di negara masing-masing.

Positif dan Negatif 8:40 AM

Positif dan negatif. Dua perkataan berbeza yang memberi banyak erti. Mungkin membawa kita kepada dua rentetan kisah yang berbeza. Barangkali ia juga membawa kita menyoroti pahit dan manis dalam rencah kehidupan kita sebagai hamba Allah yang tidak akan sunyi daripada dugaan dan ujian.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji?" Surah Al-Ankabut: 2.

Ujian pula mempunyai pelbagai cara duganya kepada kita. Ada ujian kebahagiaan, sebagai contoh kebahagiaan pasangan suami isteri yang baru diakad nikahkan, namun diuji pula dengan kesukaran memahami hati dan jiwa masing-masing dalam menempuh kehidupan baru bersama. Ada pula yang diuji dengan harta kekayaan, namun Allah timpakan pula kemiskinan lantaran perintah zakat yang wajib ditunaikan tidak dilaksanakan. 

"yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya." Surah Al-Humazah: 2-3.

Tetapi, beruntunglah mereka yang sentiasa ingat kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Menentukan ke atas sesuatu. Bacalah qalamullah, Al-Quran kerana di situ hati-hati yang bersih akan ditemukan. Pasti terpancar suatu aura yang berseri lantas mewujudkan seorang insan yang sentiasa gembira, redha dan pasrah kepada apa yang telah ditentukan Allah buatnya.  

Bukan mudah untuk melawan hawa nafsu serta bisikan syaitan terhadap perkara-perkara yang dirasakan buruk menimpa diri. Namun, muhasabahlah diri dan tingkatkan amal ibadat. Jangan biarkan diri dirundung kesedihan dan hadapilah setiap pagi hari dengan hati yang lapang, setelah zikir diucapkan atas nikmat-nikmat Allah yang tiada taranya.