Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Muhasabah Sepanjang Usia 3:59 PM

Rasulullah S.A.W. bersabda, “Tidak akan berganjak tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia peroleh dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” Hadis Riwayat Tirmidzi.

Mesej tazkirah yang dihantar oleh seorang sahabat menimbulkan keinsafan. Setelah diri diperingatkan dengan dekatnya kematian, kini alam misteri selepas kematian pula menimbulkan pertanyaan. Apakah destinasi akhir pertanyaan Malaikat Munkar dan Nakir selepas tujuh langkah terakhir yang meninggalkan kita di alam barzakh?

Sekiranya dikenang kembali ke dalam diri, muhasabah diri yang faqir di sisiNya, pasti tidak terhitung segala maksiat dan dosa yang telah dilakukan. Saban hari, pasti ada kelalaian dan kelekaan yang berlaku, yang menjauhkan diri daripada rahmat Allah. Tatkala diri melawan lalang lalai dan leka, terasa hati segar kembali, membisikkan tasbih dan tahmid kepada Allah.


Apakah malam pertama kita di alam kubur nanti asyik dan nikmat atau penuh derita dan sengsara? Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan dunia yang amat berbeza.

Ana teringat pada satu kisah yang dibaca dalam sebuah buku, dihadiahkan oleh Abah tersayang pada 22 Ramadhan lalu. Buku yang bertajuk Penenang Jiwa ini diterjemahkan daripada Mukashafah Al Qulub hasil karya Imam Ghazali.

Wahab bin Munabbah bercerita:
Ada seorang nabi telah menyembah kepada Allah selama lima puluh tahun.
Kemudian dia mendapat wahyu dari Allah mengatakan, “Aku telah mengampunimu.
Dia bertanya, “Mengapa Engkau mengampuniku sedangkan aku tidak pernah berdosa?” Kemudian Allah memerintahkan agar sebatang pokok menimpanya sehingga dia kesakitan dan tidak tidur semalam suntuk. Kemudian dia mengadukan perihalnya ini kepada Allah.
Maka pohon itu berkata, “Sesungguhnya Allah berkata kepadamu bahawa ibadah lima puluh tahun itu belum cukup untuk menebus keluhan itu.

"...Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampal hari mereka dibangkitkan.” Surah Al-Mu’minuun: 99 -100.

Kita beramal di dunia untuk hasil tanaman di akhirat kelak. Namun, apabila zon horizontal diri dilihat kembali, banyak perkara yang tidak dapat ditimbang sama dengan ibadat serta amal yang telah dilakukan. Wallahualam.

Dekatnya Kematian... 7:34 PM

Kehidupan di sini bukan suatu khayalan tetapi ia sebenar kejadian.

Menanti Di Barzakh terngiang di telinga, terdengar dinyanyikan kumpulan Far East. Tatkala diri diselubungi rasa takut terhadap segala maksiat yang telah dilakukan, apakah daya kita sebagai hambaNya? Taubat dipohon, istighfar diucapkan. Semoga taubat diterima dan kehidupan pada hari ini serta akan datang lebih baik daripada dahulu.

Sewaktu dalam perjalanan menghantar adik bongsu ke sekolah, ana akan melalui kawasan perkuburan yang berada di belakang rumah. Kebetulan dalam minggu terakhir Ramadhan yang telah berlalu, tiga kematian berasingan berlaku di kawasan ana. Terkejut tatkala melihat tanah perkuburan yang biasanya sepi tetapi pada minggu terakhir Ramadhan itu seperti ada ‘keraian’. Maksud ana ialah tentang majlis pengebumian yang berturut-turut pada minggu itu. Terasa dekatnya kematian dengan diri, sedangkan amal diri hanya sedikit cuma.

Bukankah Imam Al-Ghazali pernah bertanya kepada anak muridnya, "Apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah ‘mati’. Sebab itu sudah janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” Surah Ali Imran: 185.

Semalam sekali lagi kematian terjadi akibat kemalangan yang berlaku beberapa meter sahaja dari rumah ana. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Ajal tiada siapa yang tahu. Allah jualah yang Maha Mengetahui pengakhiran kehidupan kita. Agak tragis kemalangan yang berlaku, dahulu pun pernah berlaku kemalangan di tempat yang sama sewaktu ana masih di sekolah menengah. Sedekahkan al-Fatihah bagi mereka yang telah meninggal dunia. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa.


"KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda maut dalam keadaan mengerikan selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Wira Aeroback di Jalan Kampung Batu Rakit, di sini, pagi semalam. Pemuda berkenaan maut serta-merta apabila sebahagian otaknya berkecai dikatakan dalam perjalanan dari Batu Rakit menuju ke Merang, Setiu, sebelum terbabas ke dalam gaung di bawah jambatan Kampung Batu Rakit.Sinar Harian difahamkan, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke tepi jalan sebelum merempuh saluran paip pada bahagian tepi jambatan dan jatuh terjunam ke dalam gaung." Sumber: Sinar Harian, 28 September 2009

Ops Sikap ke-20 yang bermula 12 September lalu berakhir semalam. Hari ini kita akan tahu jumlah sebenar korban di jalan raya. Setakat semalam, angka yang dikeluarkan ialah seramai 238 orang. Berbanding tahun lalu, jumlah kematian yang dicatatkan dalam tempoh Ops Sikap Ke-19 ialah 170 orang. Ops Sikap kali ini berjaya atau gagal? Tidak perlulah kita membuat kesimpulan berjaya atau gagal kerana yang penting sejauh manakah kesedaran yang wujud di kalangan pemandu apabila mereka berada di jalan raya. Dengan jumlah kenderaan yang saban hari semakin meningkat, jumlah pemandu yang terus bertambah dan jalan raya pula tidak banyak yang berubah, maka sukar untuk mengukur tahap sebenar kejayaan atau kegagalan Ops Sikap ini. Kemalangan dan kematian di jalan raya akan terus berlaku sama ada Ops Sikap wujud atau tidak.” Sumber: Utusan Malaysia, 28 September 2009

Salam Aidilfitri 1430H 8:28 AM



Salam Aidilfitri 1430 Hijrah buat sahabat-sahabat, rakan-rakan yang mengenali, teman-teman blogger, dan semua yang sudi mengunjungi teratak ini. Mohon ampun dan maaf andai di sepanjang blog ini bernafas, terdapat kesilapan atau kesalahan yang tidak disengajakan. Semoga kita bertemu lagi selepas Aidilfitri disambut pada Ahad ini, insyaAllah.

Andai jemari tak sempat berjabat, Andai raga tak dapat bertatap,
Seiring beduk yang bergema, Seruan takbir yang berkumandang,
Salam Hari Raya Idul Fitri dihulurkan,
Sekiranya ada kata serta khilaf yang membekas lara,
Mohon maaf zahir dan batin...

Syarat Hidup 12:16 AM

Nanti abah dengan mak nak pergi bandar, cari baju raya Iman dan abang Izul. Kalau Iman nak ikut, ade syaratnya.” Kata abah pada adik bongsu, Iman yang telah berusia enam tahun. Kata-kata ini sebagai usikan dan ‘syarat’ bagi adik ana lantaran sifat kanak-kanaknya yang selalu bergaduh dengan si abang, Izul. Kanak-kanak memang sifatnya begitu, bermain, bergaduh dan berbaik semula. Apabila si abang tiada, si adik tercari-cari. Apabila bersama berdua, sekejap bermain dengan baik, sekejap bergaduh dan berbalah. Namun, ini hanyalah salah satu coretan dalam kehidupan setiap kita yang pernah mengalami zaman kanak-kanak.

Berbalik kepada syarat yang telah ditetapkan; “Iman tidak boleh bergaduh dengan abang Izul. Kalau bergaduh, Iman kena tinggal di rumah bersama kak Nur dan abang chik (Razi).” Bagi kanak-kanak yang baru berusia enam tahun, syarat tersebut pastinya dipenuhi kerana keinginannya untuk mendapat hasil yang diingini.

Namun begitu, pernahkah kita terlintas tentang ‘syarat’ yang telah Allah S.W.T tetapkan kepada kita?

Muhasabah diri. Renungkan amal dan perbuatan kita yang telah dilakukan selama ini.

Allah S.W.T telah memberi dua tempat pengakhiran yang selayaknya bagi hamba-hambaNya. Syurga dan neraka. Titian Sirat akan dilalui setiap kita dengan pelbagai cara yang telah kita sedia maklum. Berlari sepantas kilat, merangkak dan sebagainya. Tahap kelajuan seseorang mukmin meniti titian itu pula bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing.

Allah mewujudkan neraka, namun sedari awal lagi Allah yang Maha Pengasih telah melarang kita daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang ditegah. Nabi Adam tewas pada godaan syaitan dengan memakan buah pokok khaldun yang telah ditegah oleh Allah S.W.T daripada didekati. Bagaimana pula manusia biasa seperti kita yang saban hari disajikan dan dihidangkan dengan pelbagai hiburan yang melalaikan dan melekakan? Godaan hawa nafsu ditambah pula bisikan syaitan yang sejak azali lagi dengan matlamatnya untuk menyesatkan manusia memberi satu pertentangan hebat dengan iman di dada.
dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya." Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” Surah An-Nisa’: 119

Sekiranya kita sedari, kebanyakan perkara yang dilarang adalah perkara yang menyeronokkan. Ya, menyeronokkan untuk jiwa yang haus dengan iman. Menyeronokkan untuk mereka yang malas solat. Menyeronokkan untuk mereka yang enggan berpuasa. Menyeronokkan untuk mereka yang tidak mahu membayar zakat yang menjadi kewajipan ke atas mereka. Perasaan ‘seronok’ yang dialami melampaui batas sehingga mereka tidak takut lagi untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang kerana tiada lagi perasaan takut dan gerun pada balasan api neraka.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal.
dan kamu menjadi tiga golongan. Yaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu.” Surah Al-Waqi’ah: 7-9

You Came To Me 11:06 PM

Berjuta lidah sentiasa menyebut dan menyeru namanya tanpa henti di sepanjang longitud bumi, berjuta manusia bersilih ganti menuruti sunnahnya, dan berjuta hati sentiasa mencintainya di seluruh pelusuk dunia. Baginda sentiasa diberi ucapan selawat dan salam oleh Allah S.W.T, para malaikat dan oleh kaum muslimin. Kaum muslimin mengingati dan menyebut nama Baginda lebih kerap daripada menyebut dan mengingati nama ibu bapa sendiri.

Baginda diingati kerana Baginda Nabi Allah, penghulu dan penutup segala nabi dan rasul terdahulu sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s, kekasih Allah dan kekasih malaikat. Bagindalah satu-satunya insan teladan yang dapat dijadikan panduan dan ikutan dalam serba-serbi lapisan dan lapangan kehidupan. Beriman kepada Allah tidak lengkap tanpa beriman kepada Baginda kerana Bagindalah yang menyampaikan perintah Allah.

Nama baginda sentiasa seiring dengan nama Allah dalam kalimah syahadah. Seseorang yang beriman dengan Allah tetapi menolak kerasulan Baginda, sama ada menolak sepenuh atau sebahagian daripada ajarannya, adalah kufur. Pengakuan dan penyaksian kepada Nabi Muhammad S.A.W. inilah yang membezakan kaum muslimin dengan penganut-penganut agama lain.

~ Sumber: HarakahDaily_Net ~



"YOU CAME TO ME"
Sami Yusuf

You came to me in that hour of need
When I was so lost, so lonely
You came to me, took my breath away
Showed me the right way, the way to lead

You filled my heart with love, showed me the light above
Now all I want is to be with you
You are my one true love, taught me to never judge
Now all I want is to be with you

Chorus
allahuma salay alla saedeena mustafa
ala habibika nabeeka mustafa

You came to me in the time of despair
I called onto you, you were there
Without you what would my life be
Not know the unseen?, the worlds between

For you I'd sacrifice, for you I'd give my life
Any thing just to be with you
I feel so lost at times of all the hurt and lies
Now all I want is to be with you

Chorus
allahuma salay alla saedeena mustafa
ala habibika nabeeka mustafa

Showed me right from wrong
Told me to be strong
Need you more than ever ya Rasulallah
You came to me in that hour of need

Need you more than ever ya Rasulallah
You filled my heart with love, showed me the light above
Now all want is to be with you
You are my one true love, taught me to never judge
Now all I want is to be with you

Chorus
allahuma salay alla saedeena mustafa
ala habibika nabeeka mustafa

Perihal Iman 6:40 AM

Di penghujung Ramadhan ini, pasti ramai yang sudah memulakan persiapan untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Ada yang mengecat rumah, membersihkan halaman rumah, menukar perabot baru, tidak termasuk membuat biskut raya dan membeli pakaian baru. Namun begitu, terlintaskah kita tentang sesuatu? Kita mahu semua benda baru pada hari lebaran. Tetapi, bagaimana iman kita? Adakah kita tidak mahu ‘memperbaharui’ iman kita? Mahukah kita tetap berada di takuk yang lama? Kata Ustaz Hasrizal, alangkah ruginya seseorang yang berusia 40 tahun namun pemahaman puasanya tetap sama seperti ketika berusia 15 tahun.

Bagaimana mahu meningkatkan keimanan kepada Allah? Kata orang, bercakap itu mudah, namun dalam merealisasikan dan melaksanakannya adalah satu perkara yang berbeza. Susah dan sukar serta memerlukan kepada mujahadah yang tinggi. Ya, ana sendiri sedang menyeru diri sendiri untuk membina iman yang teguh kepada Allah. Keimanan yang dibina daripada kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala perkara yang kita lakukan. Sebagai contoh, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa kerana percaya bahawa setiap perbuatan kita diperhatikan. Dua malaikat di sebelah kita sentiasa mencatat amal baik dan buruk kita.

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, mereka itu penghuni surga; mereka kekal di dalamnya.” Surah Al-Baqarah: 82

Sesungguhnya kalau mereka beriman dan bertakwa, (nescaya mereka akan mendapat pahala), dan sesungguhnya pahala dari sisi Allah adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.” Surah Al-Baqarah: 103

Namun, kadang kala tetap diri tersasar daripada hala tuju yang sebenar. Alpa dengan perkara lagha yang melekakan dan melalaikan. Sukarnya diri menjaga taman hati lantaran terkadang perasaan ‘fitrah’ datang mencengkam. Tetapi, mujahadah tetap perlu dilakukan agar hati tidak terus tercemar daripada dosa dan noda kerana kerasnya hati akan membinasakan diri. Bersihkanlah hati dengan nur al-Quran setiap hari kerana tanpa kita sedari, hati kita sentiasa diracuni sehinggakan hal yang dilarang menjadi perkara biasa dan hal yang patut menjadi amalan berubah kepada beban pula. Lembutkanlah hati dengan zikir serta istighfar kepadaNya. Istighfar itu dapat membersihkan diri daripada dosa disamping memperbaharui taubat dan iman. Istighfar itu juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” Surah Ali Imran: 135


Ya Allah, tunjukkanlah penglihatan ini menuju cahayaMu, bimbinglah kesesatan ini ke arah jalanMu dan pimpinlah orang yang tergelincir menuju petunjukMu..Ya Allah, sejukkan gelora hati dengan salju keyakinan dan padamkan gelojak jiwa dengan air keimanan. Ya Allah, lenyapkan segala keraguan dengan cahaya mentari di ufuk timur, hancurkan segala kebatilan yang bersarang di dalam perasaan dengan secerah sinar kebenaran, hapuskan segala tipu daya syaitan dengan pertolongan bala tenteraMu..Ya Allah, hindarkan kami dari segala kesedihan, hilangkan kesengsaraan dan jauhkan segala kegelisahan daripada jiwa-jiwa kami. Amin...

Istiqamah Dalam Kehidupan 6:21 AM

Semua manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa. Pada bulan Ramadhan ini pun, pahala amalan berpuasa turut berkurang tatkala kita hanya dipengaruhi tuntutan hawa nafsu yang membelenggu tanpa godaan syaitan yang telah diikat sebaik tibanya Ramadhan al-Mubarak ini. Teringat ana pada kata-kata abah sewaktu kami dalam perjalanan pulang dari hospital dahulu.
Masalah nak keluar rumah bulan puasa ni, kat rumah maybe 90% pahala yang ada. Bila dah keluar rumah ni, rasanya dah kurang banyak. Entah-entah 30% je. Manakan tidak, macam-macam fesyen pakaian yang dipakai.

Betul kata-kata abah itu. Walaupun kita sudah menginjak penghujung Ramadhan sekarang, roh Ramadhan itu tetap tidak dapat dihayati sepenuhnya. Apatah lagi dengan kesibukan aktiviti seharian, bekerja ataupun belajar. Namun, bagi yang mengetahui kelebihan bulan Ramadhan, pastinya mereka berlumba-lumba untuk mencari ganjaran pahala yang dijanjikan Allah S.W.T.

Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi.

Di sinilah kita dapat melihat peranan istiqamah dalam kehidupan. Apakah selepas bulan Ramadhan berakhir, ibadat-ibadat sunat seperti bertadarus al-Quran, solat sunat atau sedekah yang dilakukan akan tamat di situ sahaja kemudian dilakukan kembali apabila bertemu Ramadhan yang seterusnya? Bagaimana kita ingin menjana istiqamah dalam kehidupan dengan berkesan?


Istiqamah boleh dimaksudkan sebagai berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk tanpa ragu-ragu. Tetapi, istiqamah ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh seseorang itu, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah cukup teguh.

Kita haruslah mempunyai kekuatan untuk mempertahankannya, apatah lagi sekiranya sesuatu yang kita ingin pertahankan itu bukan kegemaran ramai, ataupun sesuatu itu kelihatan asing bagi orang ramai. Tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan istiqamah ini dalam kehidupan seharian. Ana sendiri kagum kepada muslimat yang memakai purdah. Cukup kuat pendirian mereka untuk melaksanakan salah satu perintah dalam menutup aurat itu.

Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Ianya menjana kuasa yang berterusan dalam segala perbuatan yang dilakukan. Istiqamah merupakan sikap jati diri yang teguh dan tidak luntur oleh apa jua pengaruh dan cabaran. Sikap ini membolehkan seseorang itu terus berusaha untuk mencapai matlamat daripada usaha dan pengorbanannya. Akhirnya sikap inilah yang menjadi faktor utama kejayaan.
"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu." Surah Al-Fushshilat: 30

17 Ramadhan 1430H 7:33 AM

Salam 17 Ramadhan 1430H. Salam keinsafan dan kesyukuran, salam penuh rasa rindu dilafazkan untukNya. Berpeluangkah lagi kita dipertemukan dalam Ramadhan yang akan datang? Masih adakah ruang dan waktu untuk kita menyatakan perasaan kasih dan cinta padaNya? Adakah kita telah menggunakan sepenuhnya bulan yang telah dikurniakan Allah, Ramadhan yang ertinya panas terik sebagai tanda kasih Allah kepada hamba-hambaNya?

Ana ingin meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal dalam artikel ‘Selamatkan Rumahtangga Dengan Hikmah Puasa’: "Sayangnya Allah kepada kita, diberikanNya satu bulan dalam setahun, untuk kita belajar mencapai taqwa. Bekalan untuk kesejahteraan hidup, kesejahteraan perkahwinan dan rumahtangga. Apakah yang diajar oleh puasa, agar meningkat nilai taqwa? Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran. Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan. Tetapi ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah, itulah latihan. Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya kita dapat tingkatkan daya kawalan diri!"

Peristiwa Nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Al-Quran mula diturunkan dengan turunnya ayat pertama hingga kelima surah Al-‘Alaq kepada Rasulullah SAW semasa baginda berada di gua Hira’ melalui perantaraan malaikat Jibril.
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."


'Nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ini adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Al-Quran juga dikenali sebagai al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. Uslub bahasa yang indah, menggetarkan hati yang merasakan keagungan Allah melalui firmanNya.
"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." Surah Yusof : 111

Sahabatku, Jangan Bersedih 3:40 PM

Alhamdulillah, petang 31 Ogos itu telah ana habiskan sebentar di Perpustakaan Desa Batu Rakit. Rasa puas di hati apabila dapat mencari bahan bacaan terkini bagi mengisi masa lapang. Mata ini tertancap pada buku, Change, Berubahlah karya Rhenald Kasali. Tetapi ada buku lain yang terlebih dahulu menduduki carta pilihan hati iaitu, Jangan Bersedih, Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia. Buku La Tahzan telah ana miliki, namun rasa di hati meronta-ronta untuk membaca karya Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni ini.


Kebetulan, ana baru berbual di laman maya bersama seorang sahabat. Perbualan kami yang melangkau masuk alam kehidupannya benar-benar menyentuh hati ini untuk bersamanya, tawa dan tangis bersama seperti waktu belajar dahulu. Bait kata-kata nasihat di bawah ini ana tujukan khas buat sahabat nun jauh di sana. Sabar sahabatku sayang, semoga Allah memberimu kekuatan dalam menjalani kehidupan yang penuh ujian dan dugaan.

Sesungguhnya kebahagiaan yang hakiki terletak pada kepuasan hati, kesenangan perasaan, ketenangan jiwa, kegembiraan rohani, kelapangan dada, budi pekerti yang baik, akhlak mulia yang diiringi dengan sifat menerima dan merasa cukup dengan anugerah yang diberikan.

Sebenarnya ubat anda terdapat dalam wahyu, baik yang terhasil dari al-Quran mahupun as-Sunnah. Kesenangan anda berada pada iman; penyejuk hati anda berada dalam solat; keselamatan kalbu anda berada dalam sikap redha; dan keteduhan perasaan anda berada dalam perasaan qana’ah anda. Sesungguhnya kecantikan wajah anda berada dalam senyuman; terpeliharanya kehormatan anda berada dalam hijab; dan ketenangan hati anda terletak pada zikir.

Waspadalah dari sikap tidak berterima kasih. Sebelum engkau melihat duri dalam bunga, perhatikan dahulu keindahannya. Sebelum engkau mengeluhkan teriknya sinar matahari, nikmatilah cahaya indahnya. Sebelum engkau menyesali gelapnya malam, ingatlah keteduhan dan ketenangannya. Jadi, kenapa harus ada pandangan-pandangan penyesalan terhadap segala sesuatu? Kenapa kenikmatan harus berubah dan menyimpang dari jalurnya?

Pandanglah kehidupan dengan pandangan cinta dan optimis, sebab kehidupan adalah hadiah dari Allah untuk seluruh manusia. Terimalah hadiah dari Allah yang Maha Esa dengan gembira dan senang hati. Sapalah pagi ini dengan kecerahan dan senyumannya yang indah. Sambutlah malam dengan keheningan dan ketenangannya. Jemputlah siang dengan dengan keindahan dan kehangatan sinarnya. Teguklah air yang segar sambil memuji dan bersyukur kepada Allah. Hiruplah udara dengan penuh kegembiraan dan kesenangan. Ciumlah semerbak harum bunga dan bertasbih. Dan renungkanlah alam raya sambil mengambil pelajaran yang berharga darinya.

Seandainya tangan kita boleh menggapai apa yang telah terjadi di masa lalu, boleh mengubah apa yang tidak kita sukai menjadi sesuatu yang kita senangi, maka kita harus kembali ke masa lalu dan kita mungkin akan berebut menjemputnya. Kemudian kita menghapus segala perkara yang kita sesali, dan melipatgandakan kebaikan kita yang masih kurang. Namun, sesungguhnya perkara itu menjadi mustahil maka yang terbaik bagi kita adalah memulai hari-hari dan malam-malam yang baru kerana di dalamnya kita dapat mengganti yang telah lampau.

Allah pasti akan memberikan jalan keluar dari kegelisahan, menghilangkan bencana dan memudahkan kesulitan.
Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari pada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” Surah Al-Anbiya’: 88

Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.” Surah An-Nahl: 53