Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Hati & Nikmat Kehidupan 12:56 PM


"Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka, maka ia banyak berdoa." Surah al-Fushshilat: 51

Ayat di atas diperoleh tatkala tadabbur al-Quran lewat hari itu. Sifat manusia yang mudah lupa. Lalai dengan kehidupan dunia yang seketika. Apabila muhasabah diri kembali, hati yang rindu pada kesyahduan kasihNya dicari. Indahnya kalamullah, memperingatkan kembali hati yang lalai dan leka.

Imam Ghazali ada berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak engkau temui, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika engkau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!

Nasihat dan peringatan di bawah diberi oleh seorang teman blogger. Syukron jazilan atas kata-kata nasihat ini. Cukup terkesan di hati.

"Sudah menjadi sejarah.
Hari Ini: Apa yang sedang kita lakukan. Esok: Hari yang belum pasti.
Hisablah hari pertama, semoga hari kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.
Hidup cuma dalam 2 nafas: Nafas Naik. Nafas Turun. Hargailah nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhaanNya dalam menggunakannya. Bertaubatlah dalam nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.
Hidup cuma ada 2 pilihan: Hidup dalam keredhaan Allah. Hidup dalam kemurkaan Allah.
Hidup yang abadi cuma ada 2 tempat: Syurga atau neraka.
Alangkah susahnya mendidik hati, sedangkan ia adalah pandangan Tuhan."

Cinta, Mujahadah & Perkahwinan 4:51 PM

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan nama Allah yang menciptakan segala kehidupan di dunia. Dengan nama Allah yang mewujudkan segala perasaan di relung hati. Dengan nama Allah yang mengetahui betapa hati sedaya upaya melawan gelojak 'fitrah' yang diciptakan. Cinta.

Hmm...bukan senang melawan perasaan yang wujud. Baru-baru ini ana disoal melalui SMS oleh seorang adik di UTHM, “Apa pandangan akak tentang cinta dalam Islam di mana kedua-duanya menjaga pergaulan dan saling nasihat-menasihati ke arah kebaikan?”. Ana tersenyum lantas menjawab, apabila belum sampai masanya, tidak perlulah terjebak dengan perasaan itu. Dibimbangi hilang cinta Allah dan pelajaran terganggu lantaran teringat segala kata-kata nasihat yang diberi atau yang lebih tepat, orangnya. Hati. Hati itu yang paling penting dijaga, takut terjebak dalam zina hati. Malam itu juga terus ana emelkan jawapan panjang lebar daripada seorang ustaz yang ada dalam folder tazkirah, semoga jawapan itu menjawab segala persoalan yang timbul di fikirannya.
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." Surah Al-Baqarah: 216.


Benar. Apabila kita telah terjatuh, kita akan bangkit kembali. Dan benar, apabila kita sedar daripada dosa yang telah dilakukan, kita bertaubat dan menjaga diri daripada mengulangi kembali apa yang pernah dilakukan. Istiqamah dalam menjaga ibadat dan mujahadah melawan hawa nafsu bagi mengikis noda hitam yang berkarat di hati. Hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa terkadang hati hampir kalah dalam berperang dengan perasaan, tetapi alhamdulillah, kalimah kesyukuran yang wajib diucapkan. Adalah satu kejayaan peribadi apabila kita berjaya dalam melawan perasaan. Ingatlah, jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu.

Kebetulan, pagi tadi di satu saluran radio terkenal ada seorang pemanggil yang mengutarakan masalah perkahwinannya. Apabila ana mendengar perbualan telefon antara deejay dengan kedua-dua pasangan suami isteri itu, ana lantas teringat pada artikel Ustaz Hasrizal. Kata Ustaz Hasrizal dalam dua artikel berasingan:

Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya. Bahawa cinta dan rumahtangga kita indah semuanya. Tidak akan diuji sedemikian rupa. Sebagaimana semasa melihat kematian, kita sering melihat kematian itu kematian orang lain, tanpa pernah meletakkan diri di ketentuan itu. Biar pun mati itu pasti, kita yakin ia bukan giliran kita. Masih punya masa, masih punya ketika. Tidak membuat persediaan, itulah kematian sebelum mati. Membiarkan diri dibius cinta, itulah racun pemusnah cinta, apabila cinta realiti, diterbangkan ke langit impian, hingga kaki tak jejak bumi, tangan gagal menggapai awan. Sebelum anda dibius cinta…soallah diri sejauh mana anda bersedia?


Terimalah rumahtangga sebagai sebuah medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang bakal melanda. Namun sekurang-kurangnya dengan persediaan yang baik di sebuah permulaan, doa kita kepadaNya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas usaha. Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan…

Ya Allah, semaikan kami dengan ikhlasnya cinta. Marilah kita bersama dalam meraih cinta dan redhaNya!

Ingat Kembali! 1:43 PM

Hari ini 27 Rejab 1430H, antara tarikh penting bagi umat Islam. Israk Mikraj merupakan peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW. Peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaanNya. Walaupun peristiwa luar biasa yang terjadi itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Rasulullah SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku pencipta dan pentadbir alam semesta.
"Maha Suci Allah Yang di tanganNyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu." Surah Al-Mulk: 1.


Sewaktu membaca dan meneliti kembali rangkaian tazkirah yang disimpan, ana tertarik untuk meletakkan perbualan Rasulullah dengan iblis ini. Semoga menjadi peringatan kembali untuk diri sendiri dan teman-teman agar menjauhkan diri daripada menjadi teman setia iblis laknatullah.

Telah diceritakan bahawa Allah S.W.T telah menyuruh iblis datang kepada Nabi Muhammad S.A.W agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan padanya. Pada suatu hari Iblis pun datang kepada baginda dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang di tangannya memegang tongkat.
Bertanya Rasulullah S.A.W, "Siapakah kamu ini?"
Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis."
"Apa maksud kamu datang berjumpa aku?"
Orang tua itu menjawab, "Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku."
Baginda Rasulullah S.A.W lalu bertanya, "Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umat-umatku?"
Iblis menjawab, "Lima belas."
1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam dan pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang merendah diri.
4. Pedagang yang jujur dan amanah.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang Mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang Mukmin yang berkasih-sayang.
8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
9. Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang Mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang Mukmin yang banyak bersedekah dan berderma.
12. Orang Mukmin yang baik budi dan akhlaknya.
13. Orang Mukmin yang bermanfaat kepada orang.
14. Orang yang hafal al-Quran serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur.


Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku?"
Jawab iblis, "Sepuluh golongan"
1. Hakim yang tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
10.Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tidak ada faedah.
"Mereka semua itu adalah sahabat-sahabatku yang setia."


Itulah di antara perbualan Rasulullah dan iblis. Sememangnya kita sedia maklum bahawa sesungguhnya iblis itu adalah musuh Allah dan manusia. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati jangan sampai kita menjadi kawan iblis, kerana sesiapa yang menjadi kawan iblis bermakna menjadi musuh Allah. Demikianlah sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis bererti menjadi kawan kekasih Allah. Wallahualam.

Terapi Menangis 6:52 PM


Tiada siapa yang pernah terlepas daripada menangis di dunia ini. Seorang bayi yang dilahirkan ke dunia pasti menangis sebaik sahaja keluar dari alam rahim. Setiap insan pasti menangis apabila kematian orang tersayang. Setiap yang berjaya pasti pernah menangis kerana kesusahan atau kesukaran yang pernah dialami. Dan setiap manusia yang mengesakan Allah pasti menangis kerana perasaan bersyukur terhadap segala nikmat dan kurnianNya.

Air mata dan tangisan. Tiada yang salah dengan menangis, baik seorang lelaki mahupun wanita. Menangis dapat melepaskan tekanan yang menyesakkan hati. Menangislah dengan rasa bersyukur kepada Allah, kerana dalam keadaan apapun pada saat ini, kita masih hidup, bernafas dengan nikmat pancaindera yang dikurniakanNya. Ungkapkanlah segala kekhuatiran dan permintaan kepadaNya, dan terimalah jawapan doa itu dengan ucapan syukur alhamdulillah.

Air mata yang keluar dengan cara menangis, mampu memberi kesan positif bagi kesihatan. Para ilmuwan dan pengkaji telah meneliti hal ini. Menangis bukan merupakan bukti atas kelemahan atau tiadanya kematangan diri, namun ia merupakan satu bentuk terapi kesihatan yang sangat bermanfaat.

Menahan air mata bererti membiarkan pertumbuhan racun sedikit demi sedikit. Ini kerana air mata boleh mengeluarkan unsur-unsur racun dari dalam tubuh. Dengan demikian, menahan air mata bererti membiarkan pertumbuhan racun sedikit demi sedikit. Oleh kerana kepekaan perasaan fitrah wanita untuk menangis lebih tinggi daripada kaum lelaki, maka secara jelas usia mereka lebih panjang daripada usia lelaki.

Al-Quran kalamullah telah menyebut perihal menangis pada banyak tempat dan memuji orang yang selalu menangis yang disebabkan sampai tahap makrifatullah kepada Allah dan kerana takut kepadaNya. FirmanNya dalam Surah Al-Israa' ayat 109 yang bermaksud: "Dan mereka menyungkur di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” Dalam Surah Maryam ayat 58 pula: "…Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis."

Marilah kita sama-sama mengungkapkan rasa keyukuran kepada Allah, semoga tangisan keinsafan membantu membersihkan hati kita yang dipenuhi noda dan dosa serta maksiat yang tidak lepas dilakukan setiap hari. Wallahualam.

Baik, Benar, Bagus 12:19 AM


Sesuatu yang baik, belum tentu benar.
Sesuatu yang benar, belum tentu baik.
Sesuatu yang bagus, belum tentu berharga.
Sesuatu yang berharga/berguna, belum tentu bagus.

Dan sebenarnya, pelbagai yang tersirat dapat diambil daripada kata-kata ini. Cukuplah dengan istilah 'berhati-hati' dalam setiap langkah atau keputusan yang diambil. Tiada pengecualian dalam kehidupan setiap makhluk, manusia akan sentiasa dibelenggu oleh emosi dan psikologi diri. Namun begitu bagi insan yang memahami erti hidup dalam kebenaran, pastinya akal yang dikurniakan Allah digunakan sebaik-baiknya. Kebenaran adakalanya pahit, tetapi buah kesabaran menahan kesakitan adalah manis. (,")

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya." Surah Al-A'raaf: 201.

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram." Surah Ar-Ra'd: 28.

Ya Allah, tunjukkanlah penglihatan ini menuju cahayaMu, bimbinglah kesesatan ini ke arah jalanMu dan pimpinlah orang yang tergelincir menuju petunjukMu..Ya Allah, sejukkan gelora hati dengan salju keyakinan dan padamkan gelojak jiwa dengn air keimanan..Ya Allah, lenyapkan segala keraguan dengan cahaya mentari di ufuk timur, hancurkan segala kebatilan yang bersarang di dalam perasaan dengan secerah sinar kebenaran..Hapuskan segala tipu daya syaitan dengan pertolongan bala tenteraMu..Ya Allah, hindarkan kami dari segala kesedihan, hilangkan kesengsaraan dan jauhkan segala kegelisahan dari jiwa-jiwa kami..Amin, ya rabbal alamin.

Pemansuhan PPSMI 5:53 PM


Beberapa hari sebelum ini, ana teringat kepada janji Menteri Pelajaran tentang pengumuman keputusan kajian pelaksanaan PPSMI pada awal Julai. Kebetulan pula, keesokannya ana mendengar berita tentang pengumuman hasil kajian tersebut. Dan semalam, tamatlah sudah penantian tentang hasil kajian yang dijalankan.

Tak perlu diulas lagi tentang apa yang telah dinyatakan. Kita semua telah mendengar dan menerima segala keputusan yang telah dibuat. Pemansuhan tiga tahun lagi. Dan tiga tahun itu cukup lama untuk apa-apa perubahan pula. Tengok dan lihat. Duduk dan perhati.

Namun begitu, ucapan terima kasih perlu diberi kerana hasil keputusan kajian pelaksanaan PPSMI ini seiring dengan keputusan hasil kajian Projek Sarjana Muda (PSM) ana, 'Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar dalam Mata Pelajaran Kejuruteraan Mekanikal'. Tiga objektif yang cuba dicapai terjawab dengan soal-selidik yang telah diberi kepada pelajar-pelajar Tingkatan Lima kursus Kejuruteraan Mekanikal yang menunjukkan penguasaan pelajar adalah kurang memberangsangkan. Tesis yang telah selesai dijilid pada tahun lepas turut dihantar ke Kementerian Pelajaran sebagai syarat kajian telah dilakukan di Sekolah Menengah Teknik. PPSMI atau PPSMTI, tetap sama syaratnya, pemansuhan pada tahun 2012.

Kerjakanlah Jika Engkau Tidak Malu 8:27 PM


Persoalan tentang punca-punca keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang menjadi barah dalam masyarakat Melayu beragama Islam sudah disebut dan dicanang beribu-ribu orang yang prihatin dengan saudara seagamanya, mungkin beratus ribu jumlahnya. Pelbagai faktor yang dikatakan punca masalah ini berlaku seperti kekurangan perhatian ibu bapa, pengaruh rakan sebaya serta media massa tidak kira media cetak atau media elektronik. Langkah-langkah penyelesaian diberi bagi mengatasi masalah tersebut namun begitu, tiada apa-apa perubahan yang berlaku melainkan peningkatan kes jenayah ataupun kerosakan akhlak yang semakin menular dan membusung. Program dan jalan penyelesaian yang dicadangkan dan digunapakai tidak berjaya. Kenapa? Mengapa?

Iman dan malu. Bukankah iman itu senipis kulit bawang. Malu itu pula sebahagian daripada iman. Sekiranya iman itu berkurang, bukankah malu juga akan berkurang? Sejak dari dahulu, kesimpulan yang ana perolehi ialah, apa jua perkara yang menyalahi hukum-hakamNya pasti berpunca daripada iman yang rapuh. Tidak ada perasaan takut kepada Allah yang Maha Melihat. "Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah..." Surah Ar-Rad : 11

Rasulullah S.A.W bersabda, "Apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki." Malu ialah perasaan yang mendesak seseorang supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala apa yang terpuji. Sumbernya adalah daripada hati atau jiwa yang sedar nilai diri yang percaya kepada pengawasan Ilahi atas gerak geri, yang menyebabkan terpelihara zahir dan batin daripada segala perbuatan dan unsur-unsur yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Malu seperti inilah yang dikatakan malu kepada Allah. Orang yang malu kepada Allah bersifat taqwa di mana sahaja dia berada. Tetapi orang yang malu kepada manusia, adalah kerana manusia. Malunya akan hilang apabila tiada manusia. Adakalanya pula, dia tidak lagi malu kepada manusia dengan kelakuannya yang durjana atau menjolok mata apabila manusia di sekitarnya adalah seperti dirinya.

Malu menurut ajaran Rasulullah adalah kebaikan semuanya. Malu tidak mendatangkan kecuali dengan yang baik dan Rasulullah sendiri adalah seorang yang pemalu yang mana malunya melebihi malu seorang gadis dalam biliknya. Hadis Rasulullah, "Bahawa apabila Allah berkehendak kebinasaan kepada seorang hamba, maka dicabut perasaan malu daripadanya. Dan tidak engkau dapati melainkan ia seorang yang benci lagi dibencikan. Setelah itu ditinggalkan pula perasaan amanah daripadanya. Dan engkau dapatinya seorang khianat lagi mengkhianati, seorang yang telah kehilangan perasaan rahmat atau belas kasihan. Kemudian itu jadilah ia seorang yang kasar lagi keras kelakuannya. Dicabut daripadanya ikatan imannya dari tengkuknya. Akhirnya engkau memandang dia bukan lagi sebagai insan (manusia) tetapi sebagai syaitan yang durjana."

Tidak malu pula bererti tidak sopan, tidak beradab, tidak berbudi pekerti dan tidak mempunyai tata tertib. Jika tidak ada semua ini, segala sesuatu boleh dibuat tanpa menghitung apa akan terjadi, malahan membiarkan sahaja apa akibatnya kelak.

Islam yang syumul amat mengutamakan peradaban baik dalam ibadat, dalam pergaulan, dalam masjid mahupun perhimpunan lain di segala tempat. Di antara peradaban itu ialah memelihara kesopanan peribadi menurut erti kata tidak menempatkan sesuatu yang memalukan atau merendahkan maruah atau mengerjakan perkara yang terlarang dan tidak sesuai dengan kedudukan diri. Ketiadaan pemeliharaan ini menyebabkan seseorang tidak lagi mempunyai nilai hidup yang sebenarnya. Apalah erti hidup andainya seseorang tidak lagi menganggap malu itu satu perasaan yang amat mempengaruhi dirinya hingga kerananya ia tidak lagi mempunyai rasa malu kepada penciptanya, Allah S.W.T dan kepada manusia dalam masyarakatnya. Wallahualam.