
MujahadahWahai muslimah, dirimu ibarat kuntum penyeri. Sang suria pagi. Kudupnya mekar meniti hari. Mewangi bak haruman syurgawi. Usah biarkan wajahmu dipalit luka, lantaran iman tatkala leka. Taqwamu menjadi benteng diri. Angkatlah martabatmu ke puncak tertinggi. Faqir Ilallah
Lifelong Learning1986 – Kini Pendidikan Mak Abah 1991 – 1992 1993 – 1998 SK Batu Rakit 1999 – 2001 SMKA Batu Rakit 2002 – 2003 SMT Wakaf Tembusu 2004 – 2005 Kolej Matrikulasi Pahang 2005 – 2009 Uni Tun Hussein Onn Malaysia Ad-DinFavourite Blog List
|

| Buntu, Kaku dan Beku | 7:38 AM |
|
Comments (0)
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
Buntu.
Tatkala fikiran melayang jauh mengimbas kembali peristiwa di bilik darjah, pasti minda sarat berfikir tindakan dan cara yang paling berkesan dalam mengambil perhatian pelajar. Bagaimana ingin menarik perhatian pelajar yang kurang motivasi dan keinginan untuk berjaya lantaran sifat malas yang ada?
Satu cabaran yang penuh persoalan untuk dijawab.
Kaku.
Pembelajaran psikomotor berlaku tatkala anggota badan turut bertindak dalam proses pembelajaran. Mata melihat, telinga mendengar dan mulut ikut berbicara. Namun anggota lain seperti tangan dan kaki turut bertindak agar objektif tercapai. Bukan semua aktiviti pembelajaran menggunakan pendekatan psikomotor, namun apabila perlu pastilah ia membantu pelajar untuk lebih memahami sesuatu.
Beku.
Apabila segala usaha telah dilakukan, jangan biarkan semangat terhenti di situ, beku tindakan. Dalam sesuatu program, pasti satu post mortem dilakukan bagi mencari kelemahan dan kesilapan dalam segala urusan. Begitu juga dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Refleksi perlu dilakukan apabila kelas berakhir, cari kelemahan dan perbaikinya. Kelebihan yang ada digunakan sepenuhnya, tambah baik dan tingkatkan kemampuan diri.
Di samping mengaplikasi kembali ilmu psikologi yang telah dipelajari, bergurulah dengan pengalaman guru-guru lama. Pasti banyak ilmu berguna yang boleh diamalkan dan diaplikasikan dalam bilik darjah kerana realiti tidak semudah teori yang dipelajari.
Zaman berubah. Dari sebesar-besar televisyen hingga menjadi senipis TV plasma. Begitu juga peredaran masa yang berlalu merubah setiap generasi yang ada.
“Waktu mak dulu, pergi sekolah jalan kaki je. Sekarang ni dah boleh naik motosikal untuk ke sekolah.”
Begitulah kemudahan yang diberikan oleh ibu bapa hari ini bagi mengelakkan anak-anak daripada mengalami kesulitan yang pernah dialami sewaktu mereka kecil dahulu. Tidakkah anda bersyukur wahai setiap anak yang dididik oleh seorang insan bernama guru?
Belajarlah menghargai setiap saat yang ada. Syukurilah segala nikmat yang telah Allah berikan sehingga dapat anak-anak menuntut ilmu dalam suasana aman dan harmoni berbanding saudara seagama kita yang penuh kekacauan dan huru-hara di negara masing-masing.
| Positif dan Negatif | 8:40 AM |
|
Filed under:
Muhasabah Diri
|
|
Positif dan negatif. Dua perkataan berbeza yang memberi banyak erti. Mungkin membawa kita kepada dua rentetan kisah yang berbeza. Barangkali ia juga membawa kita menyoroti pahit dan manis dalam rencah kehidupan kita sebagai hamba Allah yang tidak akan sunyi daripada dugaan dan ujian.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji?" Surah Al-Ankabut: 2.
Ujian pula mempunyai pelbagai cara duganya kepada kita. Ada ujian kebahagiaan, sebagai contoh kebahagiaan pasangan suami isteri yang baru diakad nikahkan, namun diuji pula dengan kesukaran memahami hati dan jiwa masing-masing dalam menempuh kehidupan baru bersama. Ada pula yang diuji dengan harta kekayaan, namun Allah timpakan pula kemiskinan lantaran perintah zakat yang wajib ditunaikan tidak dilaksanakan.
"yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya." Surah Al-Humazah: 2-3.
Tetapi, beruntunglah mereka yang sentiasa ingat kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Menentukan ke atas sesuatu. Bacalah qalamullah, Al-Quran kerana di situ hati-hati yang bersih akan ditemukan. Pasti terpancar suatu aura yang berseri lantas mewujudkan seorang insan yang sentiasa gembira, redha dan pasrah kepada apa yang telah ditentukan Allah buatnya.
Bukan mudah untuk melawan hawa nafsu serta bisikan syaitan terhadap perkara-perkara yang dirasakan buruk menimpa diri. Namun, muhasabahlah diri dan tingkatkan amal ibadat. Jangan biarkan diri dirundung kesedihan dan hadapilah setiap pagi hari dengan hati yang lapang, setelah zikir diucapkan atas nikmat-nikmat Allah yang tiada taranya.
| Dugaan & Musibah | 7:37 AM |
|
Filed under:
Muhasabah Diri,
Tazkirah Diri
|
|
"Pada pendapat saya, kedua-duanya adalah perkara yang sama. Apa yang membezakannya ialah pandangan seseorang pada kalam tersebut. Contohnya, katakan A ditimpa kemalangan jalan raya. Bagi A, kejadian tersebut merupakan satu ujian buatnya bagi menyemai perasaan bersabar dan tabah dalam kehidupan. Namun begitu, mungkin pandangan B (seorang teman A) berbeza. B menganggap kemalangan tersebut sebagai satu musibah terhadap A lantaran sikapnya yang sering menyakiti hati teman-teman dan orang sekeliling."
Dialog ini sekadar satu perkongsian pendapat antara ana dan seorang sahabat lama. Ukhti tersebut meluahkan isi hatinya kepada ana, kebetulan majlis perkahwinannya pada minggu hadapan. Barangkali perasaan gementar dan risau menyebabkan dia berfikir perkara-perkara ini. Sebagai sahabat lama, sokongan dan kata-kata semangat sahaja yang mampu diberi agar dia terus melayari kehidupan sebagaimana adanya.
"...kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan..." Surah Al-Anbiyaa': 35.
"(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata 'Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un' (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali)." Surah Al-Baqarah: 156.
"Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." Surah Al-A'raf: 144.
Allah adalah satu-satunya penolong. Serahkan semua urusan kepada Allah, bertawakal kepadaNya, percaya kepada janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka kepadaNya dan menunggu dengan sabar pertolongan daripadaNya. Inilah sebahagian daripada buah keimanan yang paling besar dan merupakan salah satu daripada sifat mukmin yang paling mulia.Manusia tidak akan mampu melawan setiap bencana dan mencegah setiap malapetaka dengan kekuatannya sendiri lantaran manusia memang diciptakan sebagai makhluk Allah yang sangat lemah. Mereka hanya akan mampu menghadapi semua itu dengan baik apabila mereka bertawakal kepada Allah, percaya sepenuhnya kepada perlindunganNya dan menyerahkan semua perkara kepadaNya.
"Hasbunallah wa ni'mal wakil..." Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung...
| Fitnah Di Hati | 11:36 PM |
|
Filed under:
Muhasabah Diri,
Tazkirah Diri
|
|
"Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan hawa nafsunya." Sabda Rasulullah S.A.W.
"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan." Surah Al-Baqarah: 191

* Kesediaan hati menerimanya.
* Mendahulukan pendapat peribadi di atas hukum syarak.
* Menerima jawatan yang tidak mampu dilaksanakan.
* Sibuk berbicara tanpa bekerja.
Di antara kesan fitnah:
* Membuat manusia lupa terhadap kebenaran yang sebenarnya.
* Menipiskan agama.
* Menghilangkan akal.
* Tidak mendengar nasihat.
Di antara penyelamat dari segala fitnah:
* Tidak menuntut hak dalam urusan dunia.
* Faham terhadap agama.
* Melepaskan diri dari fitnah dan sebab-sebabnya.
* Tidak memegang jawatan dalam fitnah.
* Berdoa agar terjaga dari kejahatannya.
* Hati mengingkari fitnah tersebut.
* Beramal soleh.
| Didik Diri | 10:20 PM |
|
Filed under:
Life Notes,
Me Myself
|
|
1. Ketabahan dan kesabaran
2. Lemah lembut (ramah) dan tidak kasar
3. Hati penyayang
4. Mengambil yang paling ringan dari dua perkara selama perkara itu tidak dosa
5. Lunak dan lemah lembut
6. Menjauhi sifat marah
7. Bersikap seimbang dan pertengahan
8. Membatasi diri dalam memberi nasihat yang baik
Selepas proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berakhir, adakah perubahan berlaku? Objektif P&P dapat dilihat tercapai ataupun tidak pada tingkah laku pelajar yang dapat diukur melalui soalan atau ujian yang dijalankan oleh guru di akhir sesi P&P. Ini merupakan fakta yang nyata dan diterangkan dalam buku-buku pendidikan.
Namun begitu, tidak mudah sebenarnya mengubah diri seseorang. Segalanya terpulang kepada tuan empunya diri. Ingin berubah ataupun tidak. Kadangkala perubahan seseorang itu bukanlah niat ikhlas kerana Allah, namun atas keinginannya terhadap sesuatu perkara.Sekiranya segala perkara yang diajar tidak diaplikasikan, maka ilmu yang diperolehi akan hilang tanpa ada sebarang perubahan yang jelas kelihatan pada diri seseorang itu. Lantas, di mana kualiti seindah realiti positif yang harus kita cari dan gilap? Didiklah diri dan temukan hasilnya.
| Mencari Ikhlas Dalam Pentarbiyahan Diri | 9:12 PM |
|
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Alhamdulillah, ana dan sahabat-sahabat telah ditempatkan di sekolah masing-masing. Semua gembira namun menanti dengan penuh debaran tentang keadaan sekolah dan alam pekerjaan yang bakal dilalui. Ana sendiri telah berpeluang meninjau kawasan sekolah di Pasir Puteh, Kelantan selepas menerima surat pada tengah hari Sabtu, 24 Oktober lalu. First impression yang mengejutkan, barangkali semangat keterujaan ana pada waktu itu menurun sedikit setelah melihat sendiri keadaan sekolah. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Kelantan berlainan dengan SABK di negeri ana sendiri,Terengganu. Dengan bangunan lama yang sudah dicat baru hasil peruntukan pihak kerajaan, sekolah tersebut berwajah baru dengan jumlah pelajar hanya 94 orang bersama guru seramai 13 orang.
Abah memberi pelbagai kata-kata semangat tatkala melihat anaknya ini termenung di sepanjang perjalanan pulang ke rumah selepas tinjauan ke sekolah. Kegembiraan abah dan mak terserlah daripada wajah mereka apabila puteri sulung mereka ini mendapat posting di sekolah bersebelahan negeri. Tidaklah jauh seperti sahabat-sahabat yang mendapat posting jauh dari negeri masing-masing. Namun begitu, ana berjaya menenangkan kembali rasa hati dan perasaan yang berbelah bahagi setelah tinjauan tersebut. Bagaimana mahu diterangkan perasaan hati yang berkecamuk tatkala itu? Tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Inilah satu-satunya ayat yang terlintas di fikiran setelah lama berfikir, mencerna maklumat dan membiarkan kata-kata abah meresap masuk lembut menyentuh hati. Sebenarnya, kita tahu perkara itu adalah terbaik untuk kita, kerana secara asasnya Allah telah memberi yang terbaik dan mengikut kemampuan kita. Namun untuk menjadi realistik sekelip mata adalah sukar, lantaran itulah kita perlu berfikir sedalam-dalamnya, muhasabah diri. Ke mana sebenarnya hala tuju kita sebagai hamba Allah. Apakah tempat, keadaan dan prasarana menjadikan kemampuan kita terbatas? Mungkin ada kesannya, namun ikhlas yang harus dijadikan perkara utama dalam semua perkara.
Selain ada pelajar yang masih tidak tahu mengira dan membaca, ana tersentuh hati apabila terkenangkan kembali kejadian di kelas tingkatan tiga apabila ditugaskan untuk menggantikan kelas guru tersebut. Sesi taaruf yang berakhir dengan pertanyaan ana tentang baju sekolah yang berwarna-warni terjawab apabila pelajar tersebut mengatakan bahawa dia tiada baju sekolah lain. Sedih rasa hati ini, namun ana kawal perasaan tersebut dengan memohon maaf di akhir kelas dalam nada gurauan.
Rasanya terlalu banyak perkara yang berlaku dalam masa tidak sampai seminggu. Semangat berkobar-kobar untuk berjuang membantu anak didik. Teringat kata-kata guru pembimbing di SMT Tanah Merah dahulu, “Cikgu baru memang semangat dalam masa dua tiga tahun. Awak tengoklah bila dah masuk lima tahun nanti”. Kata-kata ini ana fahami. Jauh di sudut hati, ana mendoakan agar guru-guru pada hari ini terus bersemangat mendidik anak bangsa.
Realistik fikiran. Impian dan harapan yang pelbagai. Bukan mudah melaksanakan apa yang dikatakan dan diinginkan. Semoga cabaran dan dugaan sepanjang kehidupan bergelar guru tidak melemahkan semangat yang ada. Berjuanglah dalam keikhlasan mengharap redha Allah. Salam perjuangan.
| Perihal Guru | 3:42 PM |
|
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
"Apa pendapat awak tentang guru?"
"Kalau dulu, orang-orang lama mengibaratkan guru sebagai lilin bukan? Pada pendapat saya, ia tidak lagi sesuai digunakan. Perubahan berlaku dan sebenarnya ada perkara lain yang lebih sesuai untuk dijadikan perumpamaan."
"Awak benar, pepatah guru sebagai lilin sudah tidak sesuai digunakan. Guru diibaratkan sebagai bulan di mana bulan menerima cahaya matahari, selepas itu memancarkannya ke seluruh alam sarwajagat. Begitu juga dengan guru, guru belajar dan menyampaikannya pula di dalam kelas."
Dialog ini merupakan satu perbincangan antara ana dan kenalan yang merupakan seorang guru sandaran di bumi Sabah. Pandangannya, membenarkan tanggapan ana bahawa guru tidak boleh lagi diibaratkan sebagai lilin.
Masih ana ingat sewaktu di sekolah rendah, pasti sajak-sajak yang dibacakan penuh perasaan tatkala sambutan Hari Guru menyebutkan kepentingan menghormati dan menyayangi guru. ‘Guru ibarat lilin, yang membakar dirinya untuk menerangi kita.’ Bait-bait sajak yang dibaca penuh emosi agar menyentuh hati para pendidik.

"Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." Surah An-Nur: 35
Qudwah hasanah = Suri teladan yang baik
Apa kaitan guru dengan qudwah hasanah?
Namun begitu, bertambah indahlah dunia andai guru dapat menjadi qudwah hasanah, sekaligus sebagai da’ie yang berdakwah kepada mad’unya (pelajar).
Seperti guru juga, mereka perlu menyampaikan ilmu pengetahuan mengikut tahap kebolehan pelajar, bukan main semberono sahaja. Maka, seseorang guru haruslah mempunyai sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.
Melalui pembacaan akhirnya ana menemui satu artikel, ‘Jangan Jadi Lilin’ oleh Ustaz Hasrizal. Penjelasan yang lebih mantap dan ilmu yang tersirat banyak terdapat pada artikel tersebut. Bacalah.
Hakikatnya, adalah sukar untuk menjadi sesempurna idea dan impian. Namun begitu, langkah untuk mencapai hasrat dan impian tersebut tidak boleh dihentikan lantaran kita sebagai seorang Muslim dituntut untuk mengubah diri ke arah kebaikan.
Ikhlaskan diri dan niat kerana Allah. Selamat berkhidmat dan berjuang, wahai guru!
| Tentang Hati | 3:13 PM |
|
|
|
"Kadang-kadang rasa macam terlalu jauh dengan Allah SWT. Semua perintahNya dah dibuat tapi macam tak lengkap lagi. Kak Nur rasa macam mana?"
Dialog di atas merupakan satu persoalan yang telah diajukan oleh seorang kawan adik ana. Memandangkan keadaan yang terbatas dan beberapa kekangan sewaktu persoalan diajukan, ana hanya sempat memberi sedikit point utama.
"Semoga Wan sentiasa muhasabah diri dan istiqamah. Bagi Kak Nur, apa yang paling penting ialah hati kita. InsyaAllah, hati yang sentiasa ingat padaNya akan tenang dan tenteram, rujuk Surah Ar-Ra'ad ayat 28; "(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram."
Betul kata Wan, kita dah buat, tapi kenapa masih rasa begitu? Ini disebabkan Allah nak kita usaha lagi dalam meraih cinta dan kasih sayangNya. Kita boleh rasa, bila kita jauh denganNya. Teruskan meraih kasih sayang Allah. Allah akan ingat pada hamba-hamba yang mengingatiNya. InsyaAllah..."
Sewaktu ana membaca buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’, hanya ada dua sendi kekuatan dalam memerangi nafsu iaitu hati dan akal. Teringat pula pada perihal hati dan akal yang telah dibincangkan oleh pensyarah ana semasa alam kuliah dahulu.
"Sesungguhnya Allah S.W.T mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati. Maka hati yang paling disukai oleh Allah S.W.T ialah hati yang lembut, bersih dan cekal.
Sayidina Ali juga berkata:
"Hati seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit."
Akal adalah (ciptaan Allah) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu fahaman dari ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu itu kelak ia dapat menghampirkan diri dengan Allah, mengetahui keagungan Allah serta kekuatannya. Akal seperti inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah:
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." Surah Al-Fatir: 28

© 2008 .: MUJAHADAH MUSLIMAH :.
Design by Templates4all
Converted to Blogger Template by BloggerTricks.com







