Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Nasihat Kebaikan 7:38 AM


* Bersyukur apabila mendapat nikmat
* Sabar apabila mendapat kesulitan
* Tawakal apabila mempunyai rencana/program
* Ikhlas dalam segala amal perbuatan
* Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan
* Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan
* Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan
* Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang
* Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan
* Jangan tamak kepada harta
* Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri
* Jangan campuri harta dengan harta yang haram
* Jangan sakiti ayah dan ibu
* Jangan sakiti anak yatim
* Jauhkan diri daripada dosa-dosa yang besar
* Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil
* Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid)
* Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyuk
* Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjemaah di masjid
* Biasakan solat malam
* Perbanyak zikir dan doa kepada Allah
* Lakukan puasa wajib dan puasa sunat
* Sayangi dan santuni fakir miskin
* Jangan marah berlebih-lebihan
* Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan
* Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah karena Allah
* Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi
* Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan
* Hormatilah setiap orang
* Jangan sombong, takbur dan besar kepala
* Berlakulah adil dalam segala urusan
* Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah
* Perbanyakkan silaturrahim
* Menutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam
* Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu
* Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur
* Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga
* Makanlah secukupnya; tidak kekurangan dan tidak berlebihan
* Hormati guru dan ulama
* Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara
* Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat
* Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita
* Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi
* Jangan membenci seseorang kerana fahaman dan pendiriannya
* Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
* Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan
* Jangan melukai hati orang lain
* Jangan berkata dusta
* Jagalah amanah dengan penuh tanggungjawab
* Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan
* Ambillah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana
* Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan
* Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa
* Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban
* Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban
* Waspadalah akan setiap ujian, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan
* Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan

Janganlah Kau Marah 7:23 AM


Baca dan hayati dua kisah pendek ini.

Kisah A: Seorang ibu memarahi anaknya yang tidak membuat kerja sekolah lantaran malas dan leka dengan rancangan kartun di televisyen.

Kisah B: Seorang bapa tidak memarahi anak lelakinya yang menghisap rokok kerana si bapa juga seorang perokok.

Analogi ini sekadar pencetus untuk kita berfikir tentang keperluan marah. Betul atau salah tindakan si ibu dan si bapa? Ana pasti semua mempunyai tafsiran tersendiri berdasarkan kisah rutin yang biasa berlaku dalam masyarakat kita ini. Si ibu patut marah kerana jika anaknya dibiarkan sahaja menonton siri kartun kegemarannya, sudah pasti kerja rumah yang diberikan oleh guru gagal disiapkan. Tetapi, betulkah tindakan si bapa yang tidak memarahi anaknya lantaran menghisap rokok? Kemungkinan, si anak akan menempelak kembali si bapa, lantaran kehilangan nilai-nilai murni di mana ibu bapa tidak lagi dihormati.

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi S.A.W: ‘Berilah wasiat kepada aku’. Sahut Nabi: ‘Janganlah engkau marah.’ Kemudian ia mengulangi beberapa kali. Sabdanya: ‘Janganlah engkau marah.’ Riwayat Bukhari.

Adapun maksud ‘Janganlah marah’ yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menurut nafsu kemarahan itu dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu marah itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat bila salah seorang kamu dalam kemarahan, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang berasa marah maka hendaklah ia berbaring atau duduk di atas bumi.”

Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seorang kamu maka hendaklah ia berwudhu.

Imam Ghazali berkata: “Kemarahan manusia bermacam-macam. Setengahnya lekas marah, lekas tenang dan lekas hilang. Setengahnya lambat marah, lambat pula redanya. Setengahnya lambat akan marahnya dan lekas pula hilangnya. Yang akhir inilah yang terpuji.

Sebagaimana telah diketahui bahawa Rasulullah mengatakan ‘Janganlah marah’, sebab kemarahan melenyapkan sama sekali akan sebenarnya orang yang lemah; lemah menguasai dirinya, lemah menghadapi suatu kelakuan yang tenang, sekalipun dia orang yang gagah dan ditakuti.

Namun begitu, mampukah kita menahan kemarahan dan melihat sahaja kemungkaran berlaku di depan mata? Saban hari kita dihadapkan dengan pelbagai kes keruntuhan akhlak dan moral; masalah pergaulan bebas, ragut, dadah, arak, rogol, liwat, dan bunuh. Bolehkah kita hidup tenang dan selamat sekiranya perkara ini berlaku dalam masyarakat kita? Adakah kita mampu berdiri di tempat kita hari ini tanpa apa-apa perlindungan? Wallahualam.

Pendidikan, Taat Ibu Bapa & Pilihan Diri 10:57 AM


Ruang lingkup pendidikan adalah untuk mencapai lima perkara pokok dalam agama iaitu untuk menjaga agama, akal, jiwa, harta dan kehormatan. Insan yang memenuhi kelima-lima keperluan tersebut akan mencapai tahap hidup yang baik. Ini bukan sahaja tercerna dalam kehidupan individu, malah akan melahirkan masyarakat yang baik dan cemerlang.

Peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak dalam alaf baru ini semakin besar dan cabarannya semakin banyak. Keadaan ini memerlukan penumpuan dan perhatian yang utama dalam hidup. Kadang-kadang harta yang banyak belum tentu dapat menikmati kebahagian hidup apabila anak tidak mendapat didikan yang betul.

Anak-anak atau remaja sendiri pada era globalisasi kini bijak menentukan arah tuju dan hala pendidikan mereka. Namun, kadang kala jalan yang dipilih tidak mendapat restu daripada ibu bapa. Pasti ada sebab musababnya, kerana ibu bapa sendiri ingin melihat semua anak mereka berjaya di dunia mahupun akhirat.

Di dunia ini, hanya ada dua yang boleh dipilih; kiri atau kanan, ya atau tidak, benar atau salah. Setiap keputusan yang melibatkan masa depan atau kehidupan harus difikirkan betul-betul, tidak boleh dianggap enteng. Fahamilah dan terimalah keputusan yang diberikan oleh ibu bapa sekiranya mereka ingin kita memilih jalan A, dan meninggalkan langkah di jalan B. Keredhaan ibu bapa juga tanda redha daripada Allah. Teruskan langkah tanpa ragu-ragu dan hadapilah segala debu atau lopak.

Sedikit komentar daripada Ustaz Zaharuddin di www.zaharuddin.net;
Berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa merupakan tuntutan fardhu ‘ain maka perbuatan mengabaikan tuntutan itu pula termasuk di antara dosa besar. Terdapat beberapa jumlah dalil syara‘ yang menegaskan mengenainya dengan jelas dan nyata. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata yang maksudnya:

"Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Muhammad S.A.W. lalu berkata: "Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?" Nabi Muhammad S.A.W. menjawab: "Mensyirikkan Allah." Dia (orang Arab itu) berkata lagi: "Kemudian apa?", Rasulullah S.A.W menjawab: "Kemudian menderhaka kedua ibu bapa ..." (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Di dalam riwayat yang lain lagi dinyatakan bahawa orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya tidak akan mendapat perlindungan pada hari kiamat. Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya :

"Tiga golongan yang tidak dipandang oleh Allah ‘Azza wa Jalla pada hari kiamat: orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang menyerupai seperti lelaki dan orang yang dayus..." (Hadits riwayat An-Nasa'ie, Al-Bazzar, al-Hakim ; Sohih menurut Albani, rujuk Ghayatul Maram , no 278, hlm 137)

Sebagai anak, kita hanya dibenarkan untuk melanggar arahan ibu bapa jika ianya berkaitan urusan maksiat, dosa dan syirik. Ini berdasarkan firman Allah :-

"Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu, kemudian hanya kepadaKulah kembalimu, maka Ku berikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." Surah Luqman : 15

Ujian dan Hikmah 5:05 PM



"Maha Suci Allah Yang di tanganNyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu." Surah Al-Mulk : 1

Maha Suci Allah yang menjadikan setiap manusia di bumi mempunyai pelbagai identiti, tidak kira warna kulit, mata, rambut atau perbezaan ras mongoloid, caucosoid ataupun negroid. Maha Suci Allah yang membolak-balikkan hati seseorang, menerima atau menolak hidayah yang pernah berbisik di lubuk hati. Maha Suci Allah yang menjadikan seseorang insan bersyukur atas segala nikmat kurniaan atau mehnah ujian sebagai tarbiyyah menjalani kehidupan.

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." Surah Al-Baqarah : 155

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji." Surah Luqman : 12

Sesungguhnya, setiap kejadian atau perkara yang berlaku itu untuk menguji keimanan kita sebagai hambaNya. Seringkali kita terfikir, kenapa terkadang seseorang itu buta hati, tidak nampak jalan lain yang telah dibukakan untuknya namun tetap terpaku di jalan yang hampir buntu. Allah Maha Mengetahui hikmah sebenar sesuatu kejadian. Jatuh dan bangun seseorang juga bergantung kepada redha ibu bapa. Tiada redha ibu bapa, tiada juga redha Allah. Murka ibu bapa, tanda murka Allah juga.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." Surah An-Nahl : 125

Percayalah kepada firman Allah dalam ayat 6 surah Alam Nasyrah, "sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." Pasti segala kesukaran dan kesulitan yang berlaku terkandung seribu satu hikmah yang menuntut hambaNya bersabar dan menilai kebaikan di sebalik apa yang berlaku.

"Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku." Surah Al-Baqarah : 152

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram." Surah Ar-Rad : 28

Pandangan Mata 10:50 AM


Sudah hampir dua bulan ana habis pengajian, alhamdulillah. Namun, kerinduan menghadiri kuliah, membuat assignment dan sebagainya sewaktu alam belajar kadangkala mencengkam jiwa. Alangkah seronoknya jika dapat belajar lagi, Rasulullah sendiri menekankan kepentingan menuntut ilmu. Jika tidak, tiada pula hadis baginda seperti ‘Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China’.

Sementelahan ana mempunyai banyak waktu lapang di rumah, inilah saatnya ana menghabiskan masa dengan membaca. Belek, belek dan baca, ana tertarik dengan buku Taman Orang-Orang Cinta & Rindu karangan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah. Buku ini dibeli sewaktu Karnival Membaca yang dianjurkan oleh library UTHM dua tahun lepas.

Pasti semua pernah mendengar kata-kata, dari mata jatuh ke hati. Tiadalah Allah menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia. Nikmat penglihatan yang diberi olehNya haruslah digunakan sebaiknya, tanpa disalahgunakan. Sayangnya, ramai yang melepaskan pandangan tanpa ada sesuatu yang menahan.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” Surah Al-Imran : 14

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.” Surah An-Nur : 30-31

Peliharalah nikmat penglihatan yang diberi, semoga dengan pandangan yang baik akan menghasilkan hati yang suci bersih. Hadis Rasulullah;
Sesungguhnya di dalam tubuh itu ada segumpal darah. Jika ia baik, maka seluruh tubuh akan menjadi baik dan jika ia rosak, rosak pula seluruh tubuh. Ketahuilah, segumpal darah itu adalah hati.”

Manfaat menahan pandangan mata:
1. Membersihkan hati daripada derita penyesalan
2. Mendatangkan cahaya dan keceriaan di hati
3. Mendatangkan kekuatan firasat yang benar
4. Membuka pintu dan jalan ilmu serta memudahkan untuk mendapatkan segala ilmu
5. Mendatangkan kekuatan hati, keteguhan dan keberanian
6. Mendatangkan kegembiraan, kesenangan dan kenikmatan
7. Membebaskan hati daripada tawanan syahwat
8. Menutup pintu neraka Jahanam
9. Menguatkan dan mengukuhkan akal
10.Membebaskan diri daripada syahwat yang memabukkan dan kelalaian yang melekakan.

Al-Quran Kalamullah 6:08 PM


Al-Quran sebagai kalam Allah. Indahnya al-Quran. Gaya uslub dan ketinggian hikmah yang tiada tandingan yang terdapat di dalam kitab ini adalah bukti yang amat jelas bahawa ianya adalah kalam suci Tuhan.

"Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir." Surah al-Hasyr ayat 21.

Pada suatu malam sewaktu penentangan kaum Quraisy terhadap dakwah Rasulullah S.A.W, ketika baginda membaca al-Quran, di luar rumah baginda terdapat tiga bayangan manusia yang datang dari arah berlainan. Orang-orang ternama Quraisy ini ingin mengetahui apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. di tengah malam itu. Abu Jahal, Sufyan bin Harb dan Akhnas bin Syarik memikirkan baginda bersendirian tanpa ada sesiapa yang melihat.

Suara Rasulullah S.A.W. yang berkumandang mengalunkan bacaan suci al-Quran telah mempesonakan mereka. Meresap menusuk mempengaruhi jiwa masing-masing hingga tanpa disedari telah menitiskan air mata, terlupa dirinya sebagai tokoh Musyrik yang selalu menentang Rasulullah S.A.W. Setelah mengusap air mata, mereka berlalu dengan senyap-senyap agar tidak ada orang yang tahu.

Apabila malam menjelang lagi, ketiga-tiga kenamaan Quraisy ini tanpa mengingati janji yang telah dibuat untuk tidak mengulangi perbuatan itu keluar menuju ke rumah Rasulullah. Bacaan Nabi Muhammad S.A.W. yang pertama kali mereka dengar telah menarik hati mereka untuk mendengarnya lagi. Namun, mereka bertemu lagi di jalan dan sekali lagi mengutuk satu sama lain atas perbuatan itu. Mereka bertiga berjanji lagi untuk tidak membuat pengintipan ke atas Rasulullah S.A.W. Tetapi, dengan kehendak Allah, pada malam ketiga setelah mendengar bacaan Rasulullah S.A.W, mereka bertemu lagi. Dalam perjumpaan kali ini mereka berjanji sesungguhnya tidak akan mengulanginya bagi mengelakkan dari diketahui oleh masyarakat mereka. Dan kali ini mereka benar-benar mematuhi perjanjian itu.

"dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri khabar gembiralah dia dengan azab yang pedih." Surah al-Jaatsiyah ayat 8.

Perhatikan... Kisah ini tidak berakhir di situ namun apa yang ingin ditekankan adalah, keajaiban kalam Allah. Meleburkan hati yang enggan mengesakan Allah.

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." Surah Yusuf ayat 111.