Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Maal Hijrah 1430 & 2009 11:44 AM

Salam Maal Hijrah 1430 kepada semua muslimin dan muslimat. Awal Muharam kali ini menyaksikan dunia Islam yang terus mengalami pelbagai kemelut dan masalah yang melanda. Betapa kejamnya Israel yang terus-terusan melancarkan serangannya terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Terkutuk dan terlaknatlah mereka di bumi ALLAH ini! Di mana bantuan untuk anak-anak kecil, wanita dan orang tua yang merintih meminta bantuan saudara mereka di seluruh pelusuk dunia? Israel terang-terangan melakukan holocaust di bumi Islam, dan dunia hanya mampu mengutuk kejahatan dan kezaliman mereka.

Maal Hijrah 1430 ini turut menyaksikan sambutan tahun baru 2009 yang bakal berlaku tepat 12 malam nanti. Ana pasti, sahabat-sahabat yang ada menonton televisyen sewaktu cuti semester baru-baru ini ada terbaca satu iklan "Di manakah anda pada malam tahun baru nanti". Lebih kurang begitulah bunyinya. Hmm, stesen televisyen berebut-rebut menyiarkan berita tentang konsert atau apa saja sambutan tahun baru 2009 yang pastinya didatangi oleh artis-artis untuk membuat persembahan sementara menunggu detik 12 malam. Adakah mereka yang mengaku Islam melakukan ibadat yang sewajarnya sewaktu ketibaan Maal Hijrah yang baru berlalu? Doa akhir tahun dan awal tahun yang dibaca mungkin tidak meninggalkan kesan dalam jiwa dan rohani mereka.

Malaysia sendiri dihujani pelbagai perkara, isu laman blog yang menghina Rasulullah S.A.W., pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bakal berlangsung 17 Januari nanti, isu hukum hudud yang telah lama diperkatakan dan banyak lagi isu lain. Dalam Harian Metro semalam, sebuah berita jelas terpampang yang memalukan golongan pendidik, 'Asmara Guru Pelatih'. Cukup memalukan! Isu gejala sosial yang sememangnya menjadi virus yang sukar dihapuskan dalam masyarakat kita semakin menjadi-jadi. Dalam Mastika keluaran Januari 2009, banyak perkara yang diperkatakan tentang sambutan tahun baru dan kelahiran anak luar nikah. Terlalu banyak perkara yang menyesakkan fikiran, takut menyelubungi diri lantaran generasi hari inilah yang bakal mencorak generasi masa hadapan. Semoga diri kita, keluarga, masyarakat, agama dan negara kita terpelihara daripada pelbagai kebejatan yang berlaku. Wallahualam.

Sempena semester yang baru bermula semalam di kebanyakan IPTA Malaysia, ucapan selamat meneruskan perjuangan dititipkan. Kepada sesiapa yang membuat Projek Sarjana Muda (PSM) atau tesis, semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan oleh ALLAH Taala. Doakan kejayaan bersama sementelahan ana dan sahabat-sahabat bakal menjalani latihan mengajar bermula 11 Januari nanti. Good luck!

Poligami 9:54 PM

Poligami bermaksud satu sistem perkahwinan yang mana seseorang mempunyai lebih dari 2 orang pasangan hidup. Terdapat 2 jenis poligami iaitu poligini iaitu seorang lelaki yang mempunyai lebih daripada seorang isteri dan poliandri, wanita yang mempunyai lebih daripada seorang suami. Di dalam Islam, poligini yang terhad dibenarkan manakala poliandri ditegah sama sekali.

Mengapa seseorang dibenarkan mempunyai lebih daripada seorang isteri?
- Quran adalah satu-satunya kitab suci agama di dunia yang menyebut “kahwinlah seorang sahaja.” Tiada dalam kitab agama lain, sama ada Vedas, Ramayan, Mahabrat, Geeta, Talmud, atau Bible boleh ditemui batasan had jumlah isteri yang dibenarkan.

Maka kahwinlah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja.” Surah An-Nisa ayat 3.

- Sebelum al-Quran diturunkan, tiada had untuk poligini dan ramai lelaki yang mempunyai ramai isteri. Ada yang hingga beratus-ratus. Islam meletakkan had sehingga empat orang isteri dengan syarat dapat berlaku adil kepada semua isteri.

- Secara am, ada 5 perkara yang dibolehkan dan ada yang tidak boleh dalam Islam:
a. Fardhu iaitu wajib atau perlu
b. Mustajab iaitu disyorkan atau digalakkan
c. Mubah iaitu dibolehkan atau dibenarkan
d. Makruh iaitu tidak digalakkan atau disyorkan
e. Haram iaitu dilarang atau tidak dibenarkan

- Poligini ini termasuk dalam kumpulan ketiga iaitu perkara-perkara yang dibenarkan.

- Purata hayat seorang wanita melebihi lelaki. Lelaki dan wanita dilahirkan dengan anggaran nisbah yang sama. Seorang kanak-kanak perempuan mempunyai imuniti yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki. Atas sebab ini, semasa umur pediatrik lagi, terdapat lebih kematian di kalangan lelaki berbanding perempuan.

- Semasa peperangan, lebih ramai lelaki terkorban berbanding wanita. Lebih ramai lelaki mati akibat kemalangan dan penyakit berbanding wanita. Purata jangka hayat waita lebih tinggi daripada lelaki dan pada bila-bila masa jua, bilangan janda melebihi jumlah duda.

- Populasi wanita di dunia melebihi populasi lelaki. Di Great Britain, jumlah wanita melebihi jumlah lelaki sebanyak 4 juta. Wanita di Jerman pula melebihi jumlah lelaki sebanyak 5 juta. Di Russia, kaum wanita melebihi lelaki sebanyak 9 juta. Di Amerika Syarikat (AS), wanita melebihi lelaki sebanyak 7.8 juta. Yang menyedihkan, AS secara keseluruhannya mempunyai lebih dari 25 juta homoseks (gay dan lesbian). Sekiranya setiap lelaki sejati di AS hanya beristeri satu, terdapat 30 juta wanita di AS yang tidak dapat bersuami. Begitu juga dengan negara-negara lain.

- Hanya terdapat dua pilihan bagi wanita yang tergolong dalam golongan tersebut sama ada berkahwin dengan suami orang atau menjadi milik awam. Rasanya tidak perlu diperjelaskan lagi maksud milik awam tersebut. Sesiapa yang bermaruah pasti memilih yang pertama.

- Islam mementingkan kedudukan yang terhormat untuk wanita dengan membenarkan pilihan pertama dan tidak membenarkan pilihan kedua. Terdapat beberapa sebab lain mengapa Islam membenarkan poligini terhad, tetapi tujuan utamanya ialah untuk memelihara maruah wanita.


~ Teringat ana pada kenangan sewaktu berada dalam Tahun 6. Arwah guru ana ada bercerita tentang poligami dan payung emas buat si isteri yang memberi keizinan buat si suami untuk berkahwin lain. Rakan sekelas ana waktu itu bertanya, 'Nur, nak payung emas tak?' =) Cukuplah coretan ini untuk perkongsian kali ini. Terima kasih buat sidang redaksi Tinta Emas atas artikel Poligami ini. ~

Mujahadah wal Hubb 11:47 AM

Ada yang bertanya, apa maksud mujahadah tatkala ana menjadikan Mujahadah Muslimah sebagai medium untuk ana menyatakan rasa hati dan cetusan fikiran yang terlintas di minda. Ada yang bertanya, ada ke yang nak baca blog ni? Apa faedah buat blog ni? Hmm..tersenyum ana. Biarpun seintifi sedikit sumbangan yang ada pada wadah ini, ia sudah cukup membuatkan ana berasa seronok. Cukuplah sekiranya cetusan yang terlintas di hati dan minda dapat dicoretkan dan dipaparkan pada skrin maya.

Mujahadah. Ada sebab tersendiri yang menjadikan mujahadah ini menjadi nama pada blog kesayangan ini. Sifat mujahadah itu sendiri menjadikan ana kuat berpegang teguh pada tali ertinya. Berusaha melawan segala bentuk hawa nafsu yang cuba menguasai diri, itulah erti mujahadah. Dalam bidang psikologi, nama yang dipilih itu sendiri merupakan satu cerminan diri kita. Sebagai contoh, ada sahabat muslimah yang menamakan emelnya sebagai khazinatul asrar, khazanah rahsia yang tersimpan; dengan harapan dirinya menjadi seorang muslimah yang penuh dengan sifat muslimah yang solehah. InsyaAllah.

Firman Allah dalam Surah Ar-Ruum, ayat 21;
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Ayat di atas merupakan satu asbab untuk bermujahadah khususnya bagi para rijal. Hubb. Cinta. Virus yang melanda para remaja. Sememangnya perasaan untuk kasih mengasihi ini ada pada semua orang, dan setiap insan tidak akan terlepas daripada ujian perasaan yang Allah turunkan pada setiap hambaNya. Ana tertarik pada satu artikel dalam I Luv Islam, ‘Menginstall Iman Akibat Virus Merah Jambu’. Tajuknya cukup menarik bukan? Cinta diibaratkan sebagai virus berwarna pink, lembut dan indah warnanya. Dan tatkala hati dilanda cinta, bukan cinta pertama yang sememangnya dikuasa vetokan untuk Allah, maka sesiapa yang ada padanya iman dan takwa, pasti terfikir, betulkah perasaan ini? Apatah lagi apabila perasaan cinta yang berada di luar lingkup perkahwinan menyebabkan seseorang itu lalai. Solat tiada kekhusyukan kerana teringatkan pada si dia. Semoga sesiapa yang hampir dan telah terjebak bermujahadah, muhasabah diri, benarkah tindakan yang dilakukan. Muqarrabahlah (mendekatkan diri dengan Allah) supaya dapat mengekang perasaan yang lahir dalam hati itu.

Jauh ana meleret bukan? Apapun, persoalan cinta ini tidak akan tamat, kerana sentiasa ada generasi, umat Nabi Muhammad S.A.W yang lahir di muka bumi sehingga akhirat kelak.

Kadangkala kita terlupa siapa diri kita yang sebenarnya, sujud di atas tikar menyembah Ilahi, di kala selesai hilang rasa cinta Rabbani. Keredhaan yang dicari tersangkut di celah ranting kehidupan kerana hidup penuh dengan dosa dan maksiat, kosong daripada ketaatan.
~ Bicara Sufi ~

Rijal wal Nisa' 12:02 PM

Allah Maha Bijaksana kerana menjadikan makhluk ciptaan-Nya berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan dan sebagainya. Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah seperti kejadian manusia.

Allah menjadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal manakala lelaki pula 1/10 malu dan 9/10 akal. Atas kelebihan inilah Allah menjadikan kaum lelaki penjaga kepada kaum wanita sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang membawa maksud “Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita”. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki, manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah yang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman.

Begitu juga dalam apa juga masalah, Allah menyamakan dua orang wanita dengan seorang lelaki dan ini dapat dilihat dalam hal yang berkait rapat dengan hal saksi dan penyaksian. Biarpun dikatakan wanita kurang berakal namun wanita kaya dengan sifat malu kerana tanpa sifat ini tentu dapat dibayangkan bagaimana keadaan dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia tentu akan jadi tunggang terbalik.

Kebejatan 9:23 AM

Tidak tahu mengapa. Tiap kali ana ternampak atau terdengar sesuatu berkenaan ikhtilat lelaki dan perempuan, aurat atau keadaan semasa negara, pasti lidah ini dengan cepat melafazkan perkataan ‘kebejatan’. Kebejatan, kata dasarnya ialah bejat. What is the meaning of ‘bejat’? Bejat = rosak. Yes, this is the meaning of that word. Kebejatan sosial, kebejatan akhlak dan kebejatan pemikiran. Astaghfirullahal azim. Bukankah sepatutnya tasbih ini yang patut diucapkan lantaran senario yang berlaku.

Hati ini cukup resah memikirkan saudara seagama yang tersasar dari jalan yang benar. Pakaian yang tidak menutup aurat, akhlak yang tidak menggambarkan agama si penganutnya, dan kata-kata buruk yang terucap dari lisannya. Sedih yang turut terpalit di hati ini sentiasa ada tatkala melintasi keadaan yang tidak sepatutnya wujud sekiranya perintah agama Islam yang syumul dipatuhi oleh semua yang mengucap dua kalimah syahadah. Di mana pengakuan sebagai seorang Islam itu; sami’na wa ato’na (kami dengar dan kami taat)?

Teringat ana pada cerita seorang senior yang merupakan salah seorang daripada pelajar yang ke Acheh untuk program Sinar D Acheh. Dia yang telah ke sana dahulu sewaktu program yang sama menceritakan bahawa kapal yang hampir sebesar blok ana di Kolej Kediaman Perwira telah menghempap sebuah rumah yang letaknya 2 km daripada laut. Menurut cerita penduduk tempatan, rumah yang dihempap itu adalah rumah orang kaya, dan tiada langsung kesan rumah tersebut selepas kejadian tsunami 26 Dis 2006 itu. Kun fayakun; jadilah! Maka jadilah sesuatu itu. Kita sebagai orang biasa sepatutnya mengambil iktibar atas semua kejadian yang berlaku kerana setiap kejadian ini mempunyai petunjuk daripada Allah.

Dan Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda (kekuasaanNya); maka tanda-tanda (kekuasaan) Allah yang manakah yang kamu ingkari?”, Surah al-Mu’min ayat 81.

Maka apakah mereka tiada mengadakan perjalanan di muka bumi lalu memperhatikan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Adalah orang-orang yang sebelum mereka itu lebih hebat kekuatannya dan (lebih banyak) bekas-bekas mereka di muka bumi, maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka.”, Surah al-Mu’min ayat 82.

Selain daripada apa yang telah ana coretkan ini, kata-kata dan tingkah laku pemimpin yang tidak menunjukkan nilai Islam yang sebenar turut termasuk dalam ‘list kebejatan’ ini. Mengapa susah dan sukar mengamalkan ajaran yang diturunkan dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu? Mendengar sestengah berita pun cukup membuatkan jelak dan sakit hati. Betapa sukarnya mereka memahami perintah dan maksud setiap larangan dan tegahan dalam Islam. Contohnya, isu yoga yang telah difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai haram. Sudah dinyatakan dengan jelas, terang lagi bersuluh tiga peringkat yoga yang boleh memesongkan akidah dan membawa syirik kepada Allah. Kalau pemerintah sendiri tidak memahami setiap makna dan maksud, bagaimana pula bagi rakyat yang sudah terkeliru? Astaghfirullahal azim, kebejatan ini cukup menakutkan!

Ya Allah, lindungilah kami semua daripada bala bencana dan azab api nerakaMu. Kurniakanlah kami hati-hati yang merindukan keamanan dan ketenangan dalam kehidupan berlandaskan Islam. Bantulah kami menghadapi hamba-hambaMu yang enggan menerima jalan Islam yang benar, dan berikanlah kami kekuatan, ketabahan serta kesabaran. Innallahama’ana.

Ukhwah dan Kenangan 5:25 PM

Uhibbukunna ya sahabat


Salam ceria penuh kerinduan dari bumi Terengganu. Kini ana sudah berada di rumah, bersama family tersayang. Kala ini hujan tidak berhenti mencurah ke bumi, maklumlah musim tengkujuh sudah tiba. Kesejukan yang melanda, menggigit hingga ke tulang hitam. Muhasabah diri harus sentiasa dilakukan. Hujan itu satu rahmat, panas juga satu kenikmatan. Terima ketentuan yang telah ditetapkan Ilahi dengan hati yang lapang. =)

Hmm, sepanjang perjalanan pulang ke Terengganu 25 Nov lalu, pelbagai perkara bermain di fikiran. Apa tidaknya, ana akan meninggalkan alam belajar di UTHM dan bakal melangkah ke alam lain pada bulan Januari nanti. Banyak cabaran dan ujian yang sedang menanti di hadapan tatkala bakal bergelar guru praktikal. Mampukah ana mendidik anak bangsa, membimbing dan menunjuk ajar bagi yang tidak tahu. Dalam diam, sebenarnya ana sendiri mempunyai visi dan misi apabila bakal menjalani latihan mengajar di bumi Serambi Mekah, Kelantan. InsyaAllah, keinginan dan matlamat yang terpahat dalam sudut hati ini akan cuba dilaksanakan. Doakanlah agar tercapai hasrat ini.. =) Ana teringat pesanan seorang ketua, bring Islam where ever you go, what ever you do, what ever you are. Semoga diri ini mampu untuk membawa nilai-nilai Islam dalam diri, dengan akhlak yang terpuji.
"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang maa'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh", Surah al-A'raaf ayat 199.

Dalam ana meninggalkan sahabat-sahabat yang masih berjuang di sana, Siti dan Ebah; Ejat dan Rathma terlebih dahulu meninggalkan kami. Hmm..sedihnya. Teresak-esak juga kala sesi perpisahan berlaku. Semoga ikatan persahabatan kita berlima terus erat, tanpa luntur dek masa yang berlalu. Sayangnya Wani pada kalian, hanya doa yang mampu dititipkan, semoga kita semua bahagia dan mendapat rahmat limpah kurniaNya. Jangan lupakan kenangan kita, pahit manis, senda tawa, memori bersama kekal dalam ingatan, insyaAllah.
"dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (iaitu mengadakan hubungan silaturrahim dan tali persaudaraan), dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk", Surah ar-Ra'd ayat 21.

Terima kasih sahabatku, mohon maaf juga andai ada sebarang kekhilafan yang tidak disedari diri ini. Buat teman-teman lain, syukron jazilan juga untuk segala-galanya. Ukhwah yang terbina insyaAllah tidak akan dilupakan, bertemunya kita dengan izin Allah, dan berpisahnya juga kita dalam pemerhatianNya. Perpisahan yang berlaku diredhai dengan hati yang tenang, tanpa ada sebarang perasaan terkilan atau sebagainya kerana insyaAllah, semua perkara telah dilalui dan diteladani hikmahnya.

Mujahadah 2:21 AM

Subhanallah, Maha Suci Allah


2 hari tak menulis di blog. Bukan tak dibuka, tetapi tiada idea. Buntu. Jari seakan freeze sekejap. Pelbagai aktiviti dilakukan, tambahan pula final exam baru selesai, kesibukan itu melanda. Daripada mengemas barang-barang yang berkotak-kotak, makan-makan, menikmati keindahan sunset di Senggarang, jalan-jalan satu petang =) macam-macamlah pendek kata.

"Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Namun orang-orang yang kafir berpaling dari peringatan yang diberikan kepada mereka". Surah al-Ahqaf, 3.

"Dan tidakkah mereka memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Dia tidak merasa payah kerana menciptakannya, dan Dia kuasa menghidupkan yang mati? Begitulah, sungguh, Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu". Surah al-Ahqaf, 33.

Besarnya keagungan yang Maha Pencipta. Dia berkuasa mencipta segala sesuatu. Detik matahari terbit dan terbenam walaupun dikira secara lisan; 1, 2, 3 tetap tidak mampu dikejar kala matahari hilang daripada pandangan. Kerdilnya diri terasa, lemahnya diri di sisi Pencipta. Maha Suci Allah yang mencipta sesuatu, namun adakah manusia yang ingin mengambil pengajaran?

Kita soroti kisah manusia akhir zaman ini, di kala mentari terbenam, pasangan berduaan mengambil peluang bersama-sama. Romantik kononnya. Tidak takut hukuman Allah terhadap apa yang dilakukan. Ana sering memperingatkan diri dan sahabat, apabila satu titik hitam telah bertompok di hati dan tiada usaha untuk menghilangkannya, maka dosa yang bakal dilakukan selepas itu akan dilakukan tanpa perasaan bersalah. Contoh yang paling mudah ialah ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Daripada berteman apabila bertemu lelaki untuk urusan kerja, kini berdua apabila menjadi couple. Benar, adalah satu kesyukuran apabila diri yang telah terlalai sedar kembali, balik ke pangkal jalan dan bertaubat. Taubat yang sebenar-benar taubat. Bukan main-main, harus disusuli dengan amal dan hati yang bersih, membenci maksiat yang pernah dilakukan.

Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:

  • Jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.
  • Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
  • Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.

Semoga Allah memelihara diri ini yang amat lemah dan kerdil. Mujahadah Muslimah melawan tribulasi dan mehnah kehidupan.

Erti Syukur 11:06 AM

Alhamdulillah... Syukur pada Allah. Paper terakhir untuk semester 08/09 telah berakhir. Genap tiga tahun setengah di bumi UTHM. 7 semester di sini mengungkap seribu satu kenangan, bahkan mungkin tidak cukup untuk diungkap dengan kata-kata. Cukup manis ukhwah yang wujud di sini bersama-sama sahabat-sahabat. Terima kasih sahabatku; Rathma, Siti, Ebah, Ejat... Moga kenangan yang kita jalani bersama tidak dilupa, tetap subur dalam ingatan...

Buat mak abah tersayang, terima kasih yang tak terhingga. Pengorbanan, kasih sayang dan dorongan serta bantuan yang diberikan tidak akan Nur lupakan. InsyaAllah... Moga segalanya dipermudahkan Allah, agar dapat diri ini menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit buat keluarga, dan bakal anak didik pada masa akan datang. Dan untuk adik-adik tersayang, moga terus berusaha untuk menuju kejayaan.

Kau Di Hatiku
Dengan namaMu
Pemurah Pengasih Penyayang
Segala puji bagiMu
Oh Tuhan yang satu
Wahai Tuhanku
Rahmatilah kehidupanku selamanya
Wahai Tuhanku
Rahmatilah kehidupanku selamanya
Kerana di hatiku
Kau disanjungi
Yang Maha Kaya dan yang Maha Pemurah
Limpahkanlah rahmat dan sejahtera
Kerana Kau yang satu
Kau di hatiku
Ku mengharapkan keredhaan keampunan dariMu
Keikhlasan ku kepadaMu
Hanya Kau yang satu

Life Begin 7:31 AM

Minggu ini sudah minggu ketiga exam. Ada 2 paper lagi yang tinggal. Emm, banyak benar perkara yang berlaku sepanjang 2 minggu yang telah berlalu. Dengan penempatan latihan mengajar semester hadapan, tesis yang perlu dijilid, kelas ganti untuk topup kelas yang dibatalkan =) cukup manis kesibukan yang dirasai. Kelak, kesibukan di alam belajar inilah yang akan dirindui. Seperti kata-kata PA sewaktu jamuan terakhir kami, 'awak semua akan rindu waktu bersama-sama dengan kawan-kawan, the time we share together'. And actually it is true, I already miss that time, sedihnya nak berpisah dengan sahabat-sahabat, bumi UTHM dan ukhwah yang wujud. Bukan sahaja dengan sahabat-sahabat, tetapi juga dengan satu ruang tempat di Kolej Kediaman Perwira, ukhwah yang wujud dengan adik-adik melalui pertemuan di landasan menghadap Ilahi. Apapun, hidup perlu diteruskan. Perjuangan masih panjang, dan inilah permulaan kehidupan selepas bergelar pelajar. Semoga segalanya berjalan lancar, dengan izin dan limpah kurniaan Allah.

Keras Hati Membinasakan Diri 4:28 PM

Hati adalah tempat pertimbangan, tumbuhnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan keras kepala, ketenangan dan kegundahan. Hati juga sumber kebahagiaan, jika kita mampu membersihkannya, namun sebaliknya merupakan sumber bencana jika menodainya. Perbuatan kita menentukan lurus bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu bagus, maka akan bagus pula tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya."

Hati yang keras memiliki tanda-tanda yang boleh dikenali. Antaranya seperti berikut:


1. Malas Melakukan Amal Kebaikan
Malas untuk menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya, menunaikan solat tanpa ada kekhusyukan dan kesungguhan, merasa berat dan enggan, merasa berat pula untuk menjalankan ibadah-ibadah sunat. FirmanNya, ertinya, “Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah : 54)

2. Tidak Tersentuh oleh ayat Al-Quran
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, mereka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai dari membaca al-Quran serta mendengarkannya, bahkan enggan dan berpaling darinya. Sedangkan Allah Ta'ala telah memperingatkan, ertinya, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancamanKu.” (Surah Al-Qaaf : 45)

3. Tidak Tersentuh dengan Ayat Kauniyah
Tidak tergerak dengan adanya peristiwa-peristiwa yang dapat memberikan pelajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan sebagainya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak ada apa-apa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. “Dan tidakkah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahwa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?” (Surah At-Taubah :126)

4. Berlebihan Mencintai Dunia dan Melupakan Akhirat
Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu ditimbang dari sisi dunia dan material. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja. Akhirnya, dia menjadi seorang yang dengki, egois dan individualistik, bakhil dan tamak terhadap dunia.

5. Kurang Mengagungkan Allah
Hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman melemah, tidak marah ketika larangan Allah dilakukan, serta tidak mengingkari kemungkaran. Tidak mengenal yang ma'ruf dan tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

6. Kegersangan Hati
Kesempitan dada, gundah-gulana, tidak pernah merasakan ketenangan dan kedamaian sama sekali. Hatinya gersang terus-menerus dan selalu gundah terhadap segala sesuatu.

7. Kemaksiatan Berantai
Antara fenomena kerasnya hati adalah lahirnya kemaksiatan baru akibat dari kemaksiatan yang telah dilakukan sebelumnya, sehingga menjadi sebuah lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu untuk melepaskan diri.

Heart or Mind Comes First? 10:16 AM

Inilah persoalan yang diajukan lecturer ana dalam kelas terakhir kami. Kebetulan ia berkaitan dengan isi presentation sahabat ana di kelas tersebut. Ramai sahabat ana mengatakan bahawa hati adalah perkara yang pertama. Namun tidak kurang juga yang mengatakan akal dahulu. Sahabat ana yang pertama menyatakan bahawa segalanya bermula daripada niat. Ini bermakna niat yang bermula di hati merupakan permulaan untuk segala-galanya. Bagaimana seseorang memulakan niatnya? Contohnya, 'aku nak ke surau la malam ni'. Niat yang baik sahaja pun dikurniakan pahala oleh Allah, apatah lagi kalau sekiranya melakukan niat yang terlintas di hati itu. Hujah tersebut dibalas oleh sahabat yang mewakili akal di mana dia menyatakan akal adalah perkara yang pertama di mana manusia mempunyai akal dan nafsu sedangkan haiwan hanya mempunyai nafsu semata-mata. Inilah yang menyatakan kelebihan akal. Ana menambah hujah sahabat yang pertama dengan menyatakan hati adalah perkara yang perlu diutamakan kerana Islam sendiri menganjurkan umatnya untuk merawat penyakit hati. Pelbagai penyakit hati yang terselindung dalam diri seseorang seperti perasaan riak, takbur, sombong dan sebagainya yang kita tidak nampak dengan mata kasar. Hujah itu ana akhiri dengan mengaitkannya dengan hadis Rasulullah,
"...ingatlah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah, jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya, dan jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ingatlah itu ialah hati."
InsyaAllah jika seseorang itu baik hatinya, maka baiklah dirinya dan segala perbuatannya.

Sahabat ana yang menjalankan kajian berkenaan kecerdasan emosi dalam PSMnya berkongsi penemuannya dalam sebuah buku yang dibaca. Dia mengatakan di barat, terdapat satu kisah di mana ada seorang pengurus yang sangat baik pada keluarga dan pekerjanya, cukup dihormati dan disayangi kerana kelembutan dan sikap baiknya terhadap orang lain. Namun begitu, dia mengalami satu kemalangan di mana besi tertusuk di satu bahagian otaknya. Hasilnya, selepas pulih daripada kemalangan itu, dia menjadi seorang yang pemarah, totally different from before. Kajian dibuat untuk melihat mengapa perkara berkenaan terjadi. Rupa-rupanya bahagian otak yang tertusuk itu telah rosak dan inilah yang menyebabkan sikap dan sifatnya berubah. Jadi, point utama yang ingin disampaikan ialah akal adalah perkara yang pertama berbanding hati. Begitu juga apabila seseorang yang bermuhasabah, melihat alam dan merasa keagungan Allah lebih baik daripada solat sunat 1000 rakaat. Sahabat yang seorang lagi mengatakan dia berpegang kepada konsep bahawa pendengaran, penglihatan dan hati akan bergabung menghasilkan pemikiran (akal) yang baik. Jadi apapun, akallah perkara yang pertama.

Lecturer ana akhirnya berkongsi ilmu yang baru diperolehinya sewaktu mendengar kuliah agama oleh seorang ustaz yang didatangkan dari UKM. Apa jawapannya? Heart or mind comes first? Lecturer ana mengaku bahawa sekiranya dia tidak mendengar kuliah tersebut, pastinya dia akan tetap mengatakan mind comes first. But the truth is, heart comes first. West twist this two things. Dalam pendidikan sendiri, kognitif dan afektif boleh diukur. Tapi bagaimana? Begitu juga dengan hati dan akal. Terkadang orang akan terkeliru, "Eh, mana satu ni? Akal ke hati?". Tetapi sesungguhnya hati adalah yang utama. Kalau kita menggunakan logik akal semata-mata, bagaimana kita mahu meyakini sesuatu kejadian yang Allah ciptakan. Hati kitalah yang merasakan bahawa ada Tuhan semesta alam, yang Maha Besar, Maha Menguasai dan Maha Mencipta segala sesuatu. Astaghfirullahal azim, kadang-kadang kita sendiri khilaf dalam memahami dan mencari jawapan sebenar.
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nyadan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan." Surah Al-Baqarah, ayat 164.

Walau bagaimanapun, hati dan akallah yang bekerjasama mewujudkan insan mengikut acuan jalan Islam yang sebenar. InsyaAllah, dengan izin Allah yang Maha Esa. Gunakan akal sebaik-baik yang mungkin, tanpa mengikut emosi dan perasaan.

Car Wash Program for Sinar D Acheh 2:08 AM

Basuh, basuh.. =)

Alhamdulillah semalam (31 hb Oktober) program 'Car Wash' bagi membantu dana untuk Sinar D Acheh 2 telah berjalan dengan lancar. Syukur pada Allah atas nikmat yang diberi, cuaca yang redup bagai melindungi kami daripada sinar panas mentari. Apatah lagi program berjalan hingga ke petang. Kenderaan staf dan pelajar tidak putus-putus tiba, bagai menyatakan keinginan untuk turut menyumbangkan sedikit sebanyak sumbangan ikhlas kepada anak-anak yatim di bumi Acheh. Umum mengetahui kejadian tsunami yang berlaku pada tahun 2006 ini telah menyebabkan kemalangan jiwa dan harta benda yang amat dahsyat di sana. Betapa besarnya keagungan Allah, apabila masjid yang didirikan dapat tetap teguh berdiri sedangkan binaan lain, tumbang rebah menyungkur di bumi. Subhanallah, Allah Maha Besar.
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?", Surah Ar-Rahman, ayat 13.

Kehadiran sahabat-sahabat ana di bumi Acheh buat kali kedua menjelang Idul Adha nanti bakal memberi sinar kegembiraan buat mereka. Alangkah beruntungnya kita di sini, bersama-sama keluarga tersayang dan kawan-kawan, bergembira dan hidup senang tanpa kesusahandan kesukaran seperti mereka di sana. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas nikmat yang diberi. Moga kita sentiasa muhasabah diri, insaf terhadap penderitaan dan kesusahan orang lain.
"Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik", Surah Al-A'raaf, ayat 56.


Kala membersihkan bahagian dalam kereta, ana terhenti seketika. Tiba-tiba terasa sedih dan sebak apabila mengenangkan semua program dan ukhwah yang terjalin akan ditinggalkan bagi meneruskan perjuangan dalam semester hadapan (latihan mengajar). Terasa sayang untuk meninggalkan segala kenangan manis dan penat berprogram. Ana cukup yakin merasakan perasaan rindu bakal bertandang di hati apabila teringatkan sahabat-sahabat; ukhwah yang terjalin cukup berbekas di hati ini.

Memori bersama =)

Corat-Coret PSM 2 1:27 PM

"Apa pun (kenikmatan) yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan apa (kenikmatan) yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Allah mereka bertawakal". ~ Surah Asy-Syura, ayat 36.

Sepanjang menjalankan kajian untuk PSM 2 (Projek Sarjana Muda), abahlah yang banyak membantu selain bimbingan daripada penyelia. Alhamdulillah, Allah memudahkan segalanya tatkala terdapat beberapa halangan dan kekangan yang memerlukan tindakan cepat dan drastik. Terima kasih yang tak terhingga untuk abah dan mak tersayang dan juga Pn Mimi..=)

PSM mengajar erti kesungguhan dalam berusaha dan membuat yang terbaik semaksima yang mungkin. Syukur ke hadrat Ilahi atas kemudahan dan kelancaran yang diberikan dalam pembentangan baru-baru ini. Mungkin senyuman yang banyak terukir di wajah kala presentation berjalan menyebabkan ana tidak berasa gentar walaupun pada awalnya, ana berasa agak bimbang. Benarlah, persediaan yang rapi amat membantu kita dalam menghadapi apa jua perkara yang berlaku. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh panel penilai dapat dijawab dengan baik, dan ada juga saat penilai sengaja menguji kefahaman dan kemampuan diri sewaktu sesi soal jawab.
Teringat ana pada sesi pembentangan PSM 1, dinilai oleh lecturer yang boleh dikatakan agak digeruni oleh kebanyakan pelajar di fakulti ana. Hmm, kini beliau sudah tiada di bumi UTHM, menyambung PhD di luar negara. Disebabkan cadangan beliaulah, ana mengambil sebuah sekolah sahaja sebagai sampel kajian kerana sekolah tersebut yang dilihat mempunyai masalah dalam pelaksanaan pengajaran Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dalam BI. Terima kasih En Badar.. =)

Ana tertarik untuk memetik sebuah nukilan hasil tulisan seorang Sahabat Iqra'.

"Seorang rakanku yang berasal dari Kulai, Johor. Insan ini tidak dapat untuk menghadiri seminar PSM kerana penyelianya tidak membenarkannya berbuat demikian. Sekeping surat dihantar oleh penyelia kepada kedua-dua panelnya untuk menyatakan siswa ini tidak dibenarkan untuk bentang hasil projeknya. Mengapa tidak boleh bentang, sedangkan projeknya dapat dihasilkan dengan sempurna? Sumber dari penyelianya, dia hanya berjumpa dengan penyelia tiga kali sahaja dalam satu semester. Salah seorang dari kedua panel siswa ini masih lagi bertimbang rasa untuk membenarkan insan ini membentangkan projeknya. Berjaya untuk satu bahagian. Bagaimana dengan bahagian satu lagi? Markah yang dikuasai oleh panel hanya 25% sedangkan markah yang ada pada penyelia adalah sebanyak 75%. Walaupun panel membenarkan tetapi penyelia tidak membenarkan.

Dua orang lagi rakanku yang masing-masing berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan Kluang, Johor. Kedua-dua ini diletakkan di bawah satu penyelia yang sama. Penyelia berpangkat Professor. Kertas Seminar dihasilkan dengan sempurna, cuma projek mereka tidak menjadi. Satu arahan yang dimasukkan ke dalam programming, arahan lain pula yang dilaksanakan oleh robot tersebut. Apa yang penyelia mereka kata adalah “Kalau awak bentang pun, saya cuma boleh bagi awak D”. Kerana? Projek mereka tidak jadi dengan sempurna. Semester ini menyaksikan kedua-dua siswa yang berada di bawah penyelia yang sama kembali semula ke UTHM pada semester akan datang.

Ini kisah penyelia yang sanggup beri ‘D’ kepada siswa di bawah seliaannya, bagaimana jika anda ditetapkan dengan panel seperti ini? Yang akan membentangkan hasil projek anda di hadapannya? Ya! Tiga orang sahabatku, yang mana panel ini tidak mahu melihat pembentangan mereka. Mudah panelnya berkata “I Don’t want to see your scrap, I just want to see your last project”. Lalu siswa tersebut mempamerkan hasil projeknya. Ternyata tidak berfungsi. Jika anda di situasi siswa ini, apa yang anda akan lakukan? Pasti anda akan berkata “I will show you my video that have function last night” yang bertujuan untuk backup projek anda yang tidak jadi. Inilah yang dilakukan oleh siswa tersebut. Agak-agaknya, apakah yang dikatakan oleh panelnya? “I just want to see you project that was function on my eye only, I don’t want to see you video”. Kata panel ini. Apakah perasaan anda?"

Mungkin untuk fakulti pendidikan seperti ana hanya terdapat sedikit kisah seperti di atas. Satu perkongsian daripada lecturer yang ana kagumi tentang perbezaan lecturer pendidikan dan kejuruteraan;
1 + 1 = 2 (lecturer kejuruteraan ~ rigid @ tetap)
1 + 1 = 11 @ 1 kuasa dua (lecturer pendidikan ~ pelbagai @ diubahsuai mengikut kefahaman)

Subjek psikologi yang diajar kepada pelajar berteraskan pendidikan menerapkan elemen memahami emosi dan perbezaan individu. Kecerdasan manusia yang pelbagai turut menjadi satu ilmu dalam memahami kebolehan manusia yang berbagai-bagai, bukan spesifik pada satu perkara sahaja. Apa pun, inilah sebenarnya kehidupan. Ada turun naik, ada suka dan duka. Sekali di bawah, sekali di atas. Terpulang bagaimana kita melihat perkara tersebut sebagai input pengalaman kehidupan.

"Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman". ~ Surah Ali-Imran, ayat 139.

Manusia, Sebaik-baik Makhluk Ciptaan Allah 8:12 AM

Salam manis penuh keceriaan buat semua. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas nikmat umur dan kesihatan yang dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W.

Baru-baru ini sahabat ana menghadapi satu kemalangan kecil. Alhamdulillah selamat segalanya, tetapi terdapat beberapa kecederaan pada bahagian tangan dan kaki. Apa yang ingin ana bawakan ini? Mari, kita selidiki.

Cuba lihat kartun, tak kira Mickey Mouse, Pink Panther atau Ninja. Tak pun Superman yang selalu berlawan dengan raksasa besar. Kalau jatuh daripada bangunan tinggi pun tetap hidup tanpa ada kecederaan. Tetapi kita sebagai manusia, sudah pasti jika terjatuh, pelbagai kecederaan dialami. Tak kira patah kaki, tangan atau lain-lain. Luka kecil atau besar pasti akan sembuh, walaupun mengambil masa yang lama.

Inilah yang ingin ana kaitkan dengan statement di atas. Manusia, sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Pelbagai nikmat yang Allah kurniakan. Tak ternilai! Tak terucap dengan kalimah tahmid alhamdulillah yang mampu kita ucapkan tatkala berzikir menghadap Ilahi. Perhatikan seluruh tubuh badan. Mata yang cantik bersinar, hidung yang menghidu, telinga yang mendengar, dan segala nikmat yang kita gunakan setiap masa. Bayangkan satu daripada nikmat ini hilang,bagaimana agaknya kita pada waktu ini.

"Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh (ciptaanNya) ke dalam (tubuh)nya dan Dia menjadikan pendengaran,penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur". ~ Surah As-Sajdah ayat 9


"Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong); tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa". ~ Surah al-Fussilat ayat 51



Semoga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang bersyukur dan tidak kufur nikmat. Amin...

Hormat @ Respect 12:32 AM

Satu artikel yang dibaca ada mengatakan, berpeganglah kepada tiga R iaitu:

1. Rasa hormat pada diri sendiri;
2. Rasa hormat kepada orang lain;
3. Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda.

Apa yang dikatakan dengan hormat di sini? Adakah sekadar bercakap lemah lembut, bersopan santun atau bertingkah laku dan bertata tertib mengikut norma-norma masyarakat sekitar? Satu persoalan buat semua insan, tidak kira apa jua profesion yang diceburi. Hatta dalam keluarga sendiri, kita harus dan wajib hormat pada kedua ibu bapa selagi suruhan yang diberi tidak melanggar hukum syariat Islam.

Sayangnya, dalam kelompok masyarakat hari ini, terdapat golongan yang sengaja mencipta kekalutan, menempelak pendapat dan hujah orang lain tanpa memikirkan dan menghiraukan perasaan insan tersebut. Apatah lagi sekiranya insan yang ditempelak itu melakukan perkara yang benar, cuma barangkali cara atau medium yang digunakan tidak sesuai. Firman Allah:

"Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia". ~ Surah al-Israa' (ayat 53)

Jelas di sini bahawa syaitan sentiasa membisikkan kata-kata jahat, agar dapat menimbulkan perselisihan faham seterusnya perbalahan di kalangan yang bersaudara. Bukankah setiap anak Adam itu bersaudara? Sebagaimana kita mahu orang menghormati kita, sebagaimana itu juga kita perlu menghormati orang. Hormatilah pendapatnya, perkongsian idea atau apa jua yang dikatakan olehnya. Sekiranya apa yang dikatakannya tidak benar, atau terpesong dari jalan Islam, barulah ditegur dengan lembut dan penuh hikmah. Islam agama yang syumul, kelembutan juga yang bisa melenturkan kekerasan dan kedegilan.

"Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjuki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji". ~ Surah al-Haj (ayat 24).


Wallahualam. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan hambaNya yang menzalimi diri sendiri dan ahli keluarga.

Hati Ini Cinta Allah 11:17 AM


Cinta kepada Allah mempunyai makam (kedudukan) yang paling mulia dan paling tinggi. Firman Allah S.W.T.:
"..adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.." Surah al-Baqarah: 165



Manusia, sudah terjatuh baru terngadah. Apabila terjadi sesuatu yang tidak terduga, barulah menginsafi diri. Menilai kesilapan dan kelemahan diri. Maha Suci Allah, yang menerima taubat dan mendengar setiap rintihan hambaNya. Subhanallah, betapa rugi dan hilangnya nikmat cinta Allah andainya diri tidak mampu berfikir, menilai segala dosa yang telah dilakukan. Sabda Rasulullah S.A.W.:
"Tiga hal barang siapa yang ada berada di dalamnya, ia merasakan manisnya iman iaitu Allah dan RasulNya lebih ia cintai daripada apa-apa yang selain kedua-duanya. Dan ia menyintai seseorang yang tidaklah ia menyintai melainkan kerana Allah. Dan ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka"



Semoga hadis ini menjadi satu peringatan, tatkala diri lemah untuk melawan dugaan dan ujian. Ya Allah, selamatkanlah hambaMu yang lemah ini..



Taubat Seorang Hamba

Hati hiba mengenangkan
Dosa-dosa yang ku lakukan
Oh Tuhan Maha Kuasa
Terima taubat hamba berdosa
Ku akui kelemahan diri
Ku insafi kekurangan ini
Ku kesali kejahilan ini
Terimalah terimalah terimalah
Taubatku ini
Telah aku merasakan
Derita jiwa dan perasaan
Kerana hilang dari jalan
Menuju redhaMu ya Tuhan
Di hamparan ku meminta
Moga taubatku diterima

Catatan Diri 15 Syawal @ 15 Oktober 3:12 PM

Alhamdulillah..syukur pada Allah atas kurniaanNya..hari ini berjaya juga disiapkan pembetulan projek akhir..penat rasanya mengejar masa, namun hadiah yang manis selepasnya amat dihargai..hari ini juga adalah birthday sahabat tersayang..cukup sudah usia 22 tahun..moga keimanan semakin meningkat seiring dengan pertambahan usia..



    Selamat Hari Lahir, sahabatku..


  • Teman yang baik adalah umpama hujan yang menyejukkan, mentari yang menghangatkan dan cahaya yang menutupi kegelapan.
  • Keikhlasan dan kejujuran tidak boleh diukur. Kerana ia tersimpan di dalam hati. Yang sukar dijangka dan diketahui oleh orang lain. Apatah lagi kepercayaan tulus, yang juga bukan mudah untuk dilihat melalui pandangan mata. Semua hanya mampu dinilai oleh pandangan hati yang telus. Niatkan diri kita sebelum berteman kerana ia adalah permulaan kepada ukhwah yang sejati. Berdoalah kepada Allah agar dipertemukan sebuah persahabatan yang akan memanfaatkan diri. Yang akan meninggalkan memori silam yang bakal menghasilkan kebahagiaan yang kekal.
  • Belajarlah untuk menerima teman yang memperbaiki kita dan belajarlah juga bagaimana untuk menutupi kelemahan teman kita. Jadikan persahabatan itu medan perjuangan diri menuju ke jalan Allah. Berkata-kata baik dan berbudi bahasa sesama teman. Kelak nanti ia akan menguntungkan kita. Jika ada kesalahan, maafkanlah. Jika ada kelemahan, perbaikilah. Dan jika ada kebaikan padanya, contohi ia. Marilah bersama-sama meniti jambatan kejayaan.

Iman dan Musim 6:56 AM


Musimnya Iman di hati jua mampu bertukar musim. Bukan cuaca menjadi punca. Namun bagaimana kita membajanya. Iman bukan terletak pada luaran tapi tersudut kemas dalam lubuk hati. Curilah sejenak masa dari usiamu. Nilailah imanmu. Adakah alpa bila tiba kebahagiaan seketika bagai musim panas? Atau seperti musim luruh; gugur satu persatu dan akhirnya tandus? Mungkinkah bagai musim salju yang dingin dan sepi? Atau indah mewangi bak musim bunga? Tepuklah dada, tanyalah iman! Jika hari ini imanmu musim bunga. Esok lusa mungkin bertukar rupa. Namun, mari kita sentiasa berusaha, ke arah memastikan iman kita sentiasa di musim bunga. Amin!

Islam..Malaysiaku... 9:19 AM

Hari ini Utusan Malaysia menyiarkan berita tentang UMNO bahagian Cheras yang melancarkan Tabung Azan. Ini adalah impak daripada tindakan Teresa Kok yang menyaman Utusan Malaysia atas dakwaan memperkecilkan beliau secara peribadi sebagai Ahli Parlimen. Namun begitu, ana tidak berniat untuk mengulas tentang siapa yang salah atau tersilap tafsir. Apa yang ana ingin kongsikan di sini ialah, bagaimana Islam di Malaysia hari ini? Ana cukup yakin untuk mengatakan bahawa semua orang Islam (yang sedar dan cinta pada Islam) akan bangkit mempertahankan apa jua perkara yang berkaitan dengan Islam. Allah akbar! Selamatkan Islam! Sesungguhnya sebagai seorang Muslim, kita harus berusaha mempertahankan dan memperjuangkan Islam.

"Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, sungguh, mereka akan Kami tempatkan pada tempat-tempat yang tinggi (di dalam syurga), yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik balasan bagi yang berbuat kebajikan." Surah al-Ankabut, ayat 58.

6 Persoalan Hidup 3:23 AM

  • Suatu hari, Imam Al-Ghazali bertanya, pertama. "Apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Al-Imran:185).
  • Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab negara, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak mampu kembali ke masa lalu.Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.
  • Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga."Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu".(Al-A'raf :179). Maka kita harus menjaga hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
  • Pertanyaan keempat adalah,"Apakah yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawapan tersebut hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang AMANAH" (Al-Ahzab). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu memikul tanggungjawab setelah Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.
  • Pertanyaan yang kelima ditanya oleh Imam Al-Ghazali adalah,"Apa yang paling ringan di dunia ini?". Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali,tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah "meninggalkan solat". Disebabkan pekerjaan kita tinggalkan solat, meeting dan sebagainya.
  • Kemudian pertanyaan yang keenam dan terakhir ditanya oleh Al- Ghazali adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Al-Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah manusia ia boleh menyakiti hati dan melukai perasaan saudara sendiri.

~ Hari ini apa persoalan yang terlintas di minda? ~

~ 21 Ramadhan ~ 5:41 PM


Hari ini ada program Bengkel Sukarelawan Sinar D Acheh 2008. Kami kena cari sumbangan dan tajaan untuk program ini daripada syarikat-syarikat dan orang perseorangan. Alhamdulillah, pengalaman yang ada sebelum ini dalam mempromosikan sesuatu program @ mencari peserta luar bagi program yang dianjurkan menyebabkan ana berasa lega walaupun kemungkinan pelbagai kerenah dan persepsi manusia bakal dihadapi. Selain mempersiapkan persediaan yang sedia ada, persediaan mental perlu seiring agar dapat menghadapi apa jua kemungkinan. 'Bersatu dan Berusaha dalam Merealisasikan Sinar Kehidupan', motto kumpulan kecil kami. Apapun, esok akan bermula dengan satu tujuan, mencapahkan beberapa misi yang ingin dicapai!

~ Hari Ini ~ 7:20 AM

Alhamdulillah, syukur pada Allah atas kurniaan kesihatan dan keselamatan. Selesai ibadat khusus untukNya, inilah rutin sehari-hari; mengadap laptop kesayangan. Semalam terasa sangat banyak beban kerja yang tak selesai lagi; PSM, assignment, program. Hanya Allah Maha Mengetahui. Moga masa yang ada ini dapat digunakan sepenuhnya. Terkadang terasa ingin menangis, namun, kekuatan diri harus ada untuk melawan tribulasi kehidupan.



"Di kala engkau letih dan hilang rasa semangat, percayalah bahawa Allah tahu betapa engkau telah mencuba sedaya upaya. Apabila tangisanmu berpanjangan dan hatimu dalam kedukaan, percayalah Allah mengira setiap satu dari titisan air matamu itu. Tatkala engkau rasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu, ingatlah bahawa Allah sentiasa di sisimu. Saat engkau telah mencuba segalanya tapi tidak tahu arah tujuan, yakinlah bahawa Allah ada jalan penyelesaiannya. Apabila tiada sesuatu yang beerti buatmu, keliru dan kecewa, maka Allah adalah jawapannya.."

Semalam 6:49 AM

Semalam, 17 Ramadhan @ 17 September. Apa yang ana nak ceritakan pasal semalam? Emm, semalam ada majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama TNC UTHM. Sedih sikit sebab makanan waktu berbuka banyak tak habis. Pembaziran di depan mata. Tapi diri ini tak mampu membantu. Alhamdulillah, makanan yang selebihnya dapat dibahagikan untuk dibawa sahur. Bercerita tentang berbuka beramai-ramai pulak; makan dalam talam. Ana mengenal budaya makan dalam talam ini pun di bumi UTHM tercinta ini. Dalam program Kelab Iqra' sewaktu menjadi junior tahun satu. Bila dah tahun 4 ni, menjadi seorang senior, kakak kepada adik-adik, terasa satu perasaan yang tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Sedih sebab bakal meninggalkan adik-adik, bumi UTHM ini. Harapan cuma satu, moga ukhwah yang terbina kekal dan berpanjangan, insyaAllah.

~ Sahabat ~ 9:05 AM

"Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan merasa senang. Semakin ramai sahabat, semakin aku percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur baiknya dalam suka dan duka. Jika aku dapat, aku ingin setia padanya.."
~ Imam Syafie ~

Nuzul al-Quran 12:31 AM

  • Peristiwa Nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.
  • Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.
  • 'Nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
  • Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
    "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An’am:38)
  • Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
  • Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
    "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-‘alaq:1-5)

12 Ramadhan 1429H 7:14 AM

Alhamdulillah..hari ini 12 Ramadhan 1429H..sudah 23 tahun umur ana hari ini mengikut tahun Hijrah...alhamdulillah, syukur kepada ALLAH atas nikmat iman yang diberi, nikmat usia yang dipanjangkan, nikmat pancaindera yang dikurniakan dan pelbagai nikmat, limpah rahmat ALLAH..syukron jazilan buat mak abah, atas segala jasa, membesar, mendidik, membimbing dan pelbagai imbuhan 'me' lagi..di usia 22 tahun ini pelbagai perkara datang menyesakkan fikiran, dengan PSM, assignment, tidak termasuk program-program yang telah diatur mengikut jadual peribadi sendiri..iman dan taqwa harus dijaga dan disemai dengan amal ibadat seiring kesibukan yang dialami..teringat kata-kata ustaz ana dulu, iman ini seperti pasaran saham, ada turun naiknya..cukup terasa rugi andai Ramadhan ini tidak dibajai dengan amal ibadat kepadaNya..diri ini rindu pada hati yang suci bersih, pada alunan suara yang mengalunkan ayat-ayatNya..ya ALLAH, tetapkan hati ini pada jalanMu..

Priority?

~ Salam Ukhwah ~ 8:12 AM


Salam ukhwah ditujukan buat sahabat-sahabat..yang sentiasa dekat di hati..ikatan ukhwah yang wujud, menerbitkan rasa kasih dan sayang di antara kita..semestinya, 'Tautan Hati Sahabat' dicipta untuk menunjukkan ikatan silaturrahim antara kita..syukron jazilan buat semua sahabatku..

~Tautan Hati Sahabat~ 9:50 AM

enSeerat simpulan yang tidak terbuka
Seteguh langit tinggi menongkah dunia
Kita mengharung badai atas nama
Kasih insan bersaudara...


Antara kita tiada rahsia
Susah dan senang tetap bersama
Terpatri namamu kau takkan ku lupa…

Oh..Perjalanan kita masih jauh
Jalan nan berliku bakal kita tempuh
Imbaslah kenangan semalam
Jadi azimat penguat semangat
Menempuh masa hadapan
Harapanku kau kan bahagia selalu...

Biarlah apapun rahsia
Dan kelemahanku tetap engkau temanku
Riangnya saat kita bersama
Asyik senda dan bercerita
Walau sesekali pandangan kita berbeza
Angannya tetap serupa
Adakalanya kita juga saling terluka
Namun di akhirnya kita tetap bersama…


Mujur ada teman membantu
Sokonganmu buat inspirasi
Berpeganglah pada janji kita
Yang dibina…


Ya Tuhanku, tabahkan hatinya
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup
Limpahkanlah maghfirah dan kasih sayangmu

Agar hidupnya sejahtera di dunia dan akhirat…