Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Tanggal 31 Ogos 2009 8:47 AM

1 Message Received: Thanx coz take care of me...I love u...

SMS yang diterima pada tengahari 7 Ramadhan ini benar-benar membuatkan ana sebak. Alhamdulillah, Razi dibenarkan pulang ke rumah selepas 3 minggu berada di hospital. Selepas solat Jumaat, abah, Esan dan ana pergi ke hospital untuk membawa Razi pulang ke rumah. Mak yang menjaga Razi pada malam itu berkata bahawa ramai nurse yang mengusik Razi lantaran baru kelihatan senyuman di wajahnya. Razi yang dilabelkan manja di wad menjadi bahan usikan kerana 3 minggu itu telah berlalu tanpa senyuman dan kata-kata. Dia lebih banyak berdiam diri namun di akhir minggu ketiga inilah baru dia banyak bertanya soalan. Mungkin semangatnya telah ada bagi mengharungi hari-hari mendatang.

Syukur, 7 Ramadhan itu dapat kami berbuka bersama keluarga. Seronok melihat Razi yang turut sama makan dengan penuh berselera. Cuma agak banyak pantang yang harus diikuti lantaran kakinya masih disimen dan jahitan yang belum dibuka. September ini ada 4 temujanji yang perlu dihadiri bagi memastikan Razi benar-benar sihat seperti sediakala. Temujanji tersebut bagi membuka jahitan di kepalanya, memastikan matanya pulih sepenuhnya di samping imbasan x-ray untuk bahagian muka.


Sebagai seorang kakak, ana bangga dengan Razi. Alhamdulillah, dia cukup bersabar dengan apa yang telah terjadi. Dengan segala kesulitan untuk bergerak dan melakukan semua perkara yang diingini, dia tegar berhadapan dengan kekangan diri. Tahniah Razi! Razi mampu mengharungi ujian ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sekiranya 3 minggu yang lalu itu dapat Razi harungi dengan kesabaran, bersabarlah untuk sedikit masa lagi. Ingatlah firman Allah dalam ayat 6 Surah Alam Nasyrah, ”Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” Selain kalamullah Al-Quran, buku La Tahzan yang dibaca sangat membantu menyejukkan jiwa. Bait kata yang indah, memuhasabahkan diri untuk tunduk pada keesaanNya.
Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya....” Surah Ibrahim: 34.


Di ruang yang terhad ini, ingin ana ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas doa sahabat-sahabat yang setia bersama. Syukron jazilan. Hanya Allah Maha Mengetahui segala hikmah di sebalik susur galur kehidupan kita. Semoga Allah memberkati kita semua, apatah lagi di bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini. Esok sudah 11 Ramadhan 1430H. Pada 12 Ramadhan 1430H, faqir ilallah ini sudah menjangkau umur 24 tahun mengikut kalendar Islam. Kata ucapan mak pada hari lahir ana dahulu, ‘Umur hanyalah angka, laluilah setiap detik dengan penuh kesyukuran, selamat hari lahir ke-23, semoga sukses untuk selamanya.


Sebelum mengakhiri post ini, selamat menyambut kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Malaysiaku gemilang, sayangnya banyak rencah yang tidak enak dengan pelbagai isu yang berlegar-legar di ruang berita. Teks doa yang dibaca oleh Imam pada solat hajat malam tadi begitu panjang, tulus ikhlas mendoakan kesejahteraan kita, rakyat Malaysia yang tidak lekang dihimpit pelbagai masalah. Masalah kegawatan, harga bahan makanan yang meningkat, perpaduan rakyat dengan isu kepala lembu, tidak termasuk perbicaraan kes kematian Teoh Beng Hock serta kes rasuah. Kalut, kalut...

Selepas 2 Ramadhan 9:13 PM

Alhamdulillah, hari ini menginjak Ramadhan kelima. Terasa begitu pantas masa berlalu dengan masa yang begitu terisi di hospital. Alhamdulillah, Razi sudah dapat membuka mata kirinya walaupun sedikit cuma. Itu sudah mencukupi bagi kami, sebagai tanda positif pembedahan yang dilakukan selama 5 jam pada 2 Ramadhan lalu.


Selepas pembedahan berlangsung, ana yang menunggu bersama mak dan adik perempuan, Ana mengikut jururawat yang menyorong Razi di atas katil. Cukup mendebarkan apabila melihat Razi keluar dari dewan pembedahan dengan mata kirinya yang bengkak. Razi disorong ke wad baru sebelum dipindahkan ke wad asal keesokan harinya. Mak berkata, ‘orang yang menjaga Razi harus menjadi kuat, tabah’. Namun, air mata tetap tidak mampu dikawal lantaran melihatnya yang cuba menahan kesakitan.


Maha Suci Allah yang menciptakan manusia untuk berfikir cara menyelamatkan bahagian tubuh manusia yang terluka dan cedera. Semoga kepakaran insan Muslim ini menjadi mahar mereka sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak. Bayangkan kepala digerudi kerana tidak boleh bergerak walau seinci pun bagi mengelakkan kesilapan sewaktu memasukkan plat besi tersebut. Bebola mata dan sarafnya pula ditolak ke atas dengan peralatan khas bagi memberi ruang untuk proses tersebut. Tidak mampu dibayangkan oleh kami bagaimana pembedahan tersebut berlaku sewaktu diberi penerangan oleh Sister terbabit. Namun begitu, syukur alhamdulillah di atas segala nikmat dan kurniaan yang Allah berikan.

Ana bersama mak; ibu dan teman yang paling akrab. Terima kasih banyak mak atas segala jasa dan kasih sayang mak, tidak terbalas oleh Nur dan adik-adik.


Ana dan Syazana; adik perempuan kedua yang turut pulang bercuti, study untuk ujiannya di wad hospital.


Ana dan Didi; adik perempuan bongsu yang sentiasa cuba menceriakan suasana agar tiada mood sedih. Assignmentnya tidak dapat disiapkan di hospital lantaran kekangan yang ada.


Abah dan Esan; adik lelaki yang berulang-alik setiap minggu dari KIST di Kelantan untuk turut pulang menjaga Razi. Selamat hari lahir ke-20 pada 23 Ogos lalu. Terima kasih yang tidak terhingga untuk abah atas segala-galanya.


Izul & Iman yang masih menantikan kepulangan abang mereka (Razi). Mereka tidak dapat melawat lantaran arahan pihak hospital yang mengarahkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak diberi kebenaran lawatan disebabkan wabak H1N1.


Esok genap hari ke-20 Razi berada di wad. Kami masih menantikan bila Razi akan pulang, namun beginilah keadaan sehari-hari, mak abah berulang-alik melihat keadaan Razi, ana dan mak serta adik perempuan bergilir-gilir menjaganya di wad. Syukur ya Allah atas kasih sayang keluarga ini.

Ramadhan 1430H ini dilalui dengan seribu satu kelainan selepas meninggalkan bumi Johor. Namun hakikatnya, tetap diri ini dalam satu sifat yang sama. Semoga kita terus istiqamah dengan apa yang telah dilakukan dan juga semoga tingkatan iman kita meningkat selepas keluar daripada madrasah Ramadhan ini. Amin...

Ramadhan al-Mubarak 1:58 PM

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Rebutlah peluang yang ada bagi menambahkan ibadat kepada Allah kerana kita tidak tahu adakah kita akan bertemu lagi Ramadhan yang akan datang. Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik yang pernah kita lalui selama ini.

Abu Hurairah menyatakan: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. Diriwayat oleh Imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi.

Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi.

Pada Ramadhan 1430H ini, ana akan menjaga adik di wad hospital, mungkin bergilir-gilir bersama adik perempuan yang balik cuti pertengahan semester. Seperti biasa, mak dan abah akan berulang alik setiap hari bagi melihat perkembangan terkini Razi. InsyaAllah, pada Ahad ini (2 Ramadhan), Razi akan menjalani satu pembedahan bagi memasukkan plat besi pada bahagian kiri mukanya. Daripada penerangan doktor, jelas terdapat banyak tempat yang retak @ patah di mukanya selepas Razi menjalani scan sekali lagi pada bahagian itu. Doakan kesejahteraan dan keselamatan adik ana, dan semoga kita semua selamat dalam naungan kasih sayang serta redha Allah. Amin...

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak buat muslimin dan muslimat. Marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadat dan semoga kita terus istiqamah melakukannya selepas Ramadhan berakhir kelak.


~ Awalnya RAHMAH, Pertengahannya MAGHFIRAH, Penutupnya PELEPASAN DARI API NERAKA ~

Catatan dari Wad 5B 10:28 PM

Hari ini genap 10 hari Razi di wad. Malam ini ana balik bermalam di rumah dan diganti oleh adik lelaki yang pulang cuti pertengahan semester, Esan. Esok ana kembali lagi menjaganya, bergilir-gilir sehingga Razi dibenarkan pulang ke rumah. Peperiksaan percubaan PMR Razi hanya akan dibuat di rumah sementelahan abah telah mengambil kertas soalan daripada gurunya di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Terengganu.

Hari ini pengalaman baru bagi ana dalam menjaganya. Razi dibawa ke bahagian fisioterapi bagi membantunya berjalan menggunakan tongkat. Sayangnya, Razi tidak larat, penat lantaran simen di bahagian bawah kaki hingga ke pehanya terlalu berat. Namun begitu, petang tadi juga ana dapat membawanya ke bahagian ortopedik bagi menukar simennya ke bahan fiber yang lebih ringan. Alhamdulillah, pemeriksaan mata oleh doktor menunjukkan hasil yang positif. Walaupun Razi juga spectacles seperti ana, matanya tetap dapat melihat imej walaupun kabur. Sehingga kini, kami masih menantikan keputusan berkaitan tulang pipinya yang retak di mana doktor perlu memasukkan besi di bahagian itu.


Mengimbau kembali kenangan menjaganya beberapa malam di wad, ana cukup tersentuh tatkala melihatnya untuk kali pertama. Luruh air mata, terasa sedih melihat sayu wajahnya menahan kesakitan yang ditanggung. Apatah lagi tatkala dia masih tidak dapat membuang air kecil secara normal selama lebih 12 jam lantaran bergantung kepada wayar sebelum ini. Namun begitu, kesabarannya menemukan hasil. Alhamdulillah, idea Razi dengan menyuruh mak membuat bunyi seperti dia ingin membuang air kecil sewaktu kecil dahulu dapat membantunya. Syukur Alhamdulillah, dan nazarnya untuk berpuasa akan dilakukan apabila sembuh kelak, insyaAllah.

Pengalaman mengelap badannya, memberi makan, menyapukan ubat, menyediakan pelbagai keperluannya dan membantunya bertayammum benar-benar menginsafkan ana. Apatah lagi apabila mengenangkan usia mak abah yang semakin meningkat. Semoga kami menjadi anak-anak yang taat, menjaga ibu bapa hingga ke akhir usia tanpa apa-apa keluhan. Baru beberapa malam ana menjaganya, apakah pantas dan selayaknya untuk diri ini sendiri mengeluh sedangkan mak abah menjaga kami tujuh beradik tanpa rasa jemu dan bosan, penuh kasih sayang dan hikmah. Alhamdulillah, syukur ya Allah atas kurniaan segala nikmatMu yang tidak terhitung.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” Surah Ar-Rahman: 13

…Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat…” Surah Al-Baqarah: 83

Sekadar perkongsian daripada hati kecil ini, yang merasakan betapa banyaknya nikmat yang diberi Allah Maha Pencipta. Apabila terkenangkan pesakit-pesakit di bahagian fisioterapi yang tidak dapat berjalan, hanya mampu berbaring sedangkan diri ini masih punya dua kaki bagi menjalankan tugas seharian, apakah layak untuk kita meminta lebih daripada yang ada? Apakah hak dan tanggungjawab yang wajib dilakukan kepada Allah telah ditunaikan? Wallahualam.

Getar Rasa Dalam Suka Duka 9:13 PM

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Salam sejahtera penuh mesra ana hulurkan buat semua. Syukron jazilan atas kesudian bertandang ke blog ini, tiada apa yang istimewa di sini, sekadar suatu tempat curahan fikiran dan perasaan yang dilalui insan biasa lagi kerdil dan lemah di sisi Allah. Entry kali ini benar-benar tertumpu pada label ‘Me Myself’ bagi membantu ana mengucapkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat insan-insan yang banyak membantu tatkala ana menghadiri majlis konvokesyen di UTHM.

Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.” Surah Al-Fatihah: 5

Kalimah Alhamdulillah diucapkan atas segala nikmat kesihatan dan kebahagiaan yang diberi. Ujian yang Allah turunkan bagi meningkatkan tahap keimanan kepadaNya. Pada 6 Ogos, tatkala ana dalam perjalanan ke UTHM atas urusan konvokesyen, ana mendapat panggilan yang mengatakan adik kelima (Razi) mengalami kemalangan jalan raya. Terkejut yang amat, namun ana gagahkan diri meneruskan perjalanan ke UTHM. Hampir sahaja majlis itu tidak dihadiri kerana benar-benar ingin pulang melihat keadaan adik. Namun, abah tidak mengizinkan, dan mak abah sendiri tidak dapat menghadiri majlis tersebut pada 9 Ogos. Perasaan sedih tidak dapat dihindari, apatah lagi ana anak sulung, rasa tawar memandangkan tiada keluarga di majlis yang cukup bermakna buat ana.

Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” Surah Alam Nasyrah: 6

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah atas segala urusan yang dipermudahkanNya. Sahabat-sahabat yang sangat membantu, sokongan moral dan nasihat tentang perlunya sabar dan tabah. InsyaAllah, diri ini tetap sabar kerana sedar ujian ini sebagai tanda Allah sayang kepada hambaNya. Hingga ke saat ini, ana tidak berpeluang berbual panjang dengan mak lantaran bergilir dengan mak menjaga adik di hospital. Razi yang patah kaki kiri dan cedera di bahagian kiri muka masih ditahan di wad. Esok ana akan kembali menjaganya, dan mak pula pulang ke rumah bagi menguruskan 2 orang adik lagi yang masih kecil.

Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” Surah Al-Mulk: 1 & 2

Alhamdulillah, Allah mengurniakan ibu bapa yang sangat penyayang kepada kami, lembut dan mendidik dengan penuh hikmah. Hanya doa mampu diucapkan, semoga mak abah terus tabah dan sabar menghadapi ujian yang menimpa keluarga. Terima kasih mak abah, kerana menjadi ibu bapa yang terbaik buat kami!


• Buat Rathma bt Rafie, terima kasih yang tidak terhingga kerana menjadi tempat pertama buat wani sewaktu baru tiba di UTHM. Terima kasih kerana memberi semangat, sokongan dan kasih sayang sahabat. Terima kasih juga buat Mama kerana di akhir majlis kita, wani benar-benar terasa seperti mak abah turut berada bersama.
• Buat Nur-Izzati bt Abd. Jalil dan teman, terima kasih yang tidak terhingga kerana membantu wani dalam segala hal. Mujur ada sahabat yang boleh diikut ke sana ke mari. Terima kasih Ejat atas segala foto di akhir majlis kita. Dan terima kasih atas lagu ‘A Shoulder To Cry’ pada pagi 9 Ogos itu.
• Buat Syarifah Adibah bt Syed Baharom, terima kasih juga buat segala-galanya. Dan untuk Siti Hidayah bt Ahmad, maafkan wani kerana tiada langsung pertemuan kita di akhir majlis. Benar-benar rasa ralat di hati ini, namun kekangan yang ada menyebabkan wani terpaksa.
• Tidak dilupakan ucapan terima kasih buat Kak Wa dan suami kerana membantu wani dan sahabat-sahabat sepanjang di Batu Pahat.
• Dan juga ucapan terima kasih buat adik Shahril Azri yang turut membantu selain melawat adik di hospital kelmarin. Tahniah juga atas konvokesyen Jeri.
• Buat adik-adik dan teman-teman lain yang tidak disebutkan di sini, hanya Allah yang mampu membalas jasa baik dan sokongan serta pertolongan kalian. Semoga Allah merahmati kehidupan kita dunia dan akhirat. Amin...Syukur ya Allah atas segala rahmat dan kasih sayangMu...

Apabila Paderi Terpaksa Membuka Rahsia 8:47 PM

Tiada entry baru hari ini. Cuma ingin ana kongsikan satu emel yang diterima tadi daripada Yahoo! Groups Sahabat Iqra'. Subhanallah, terasa kerdil benar diri ini di sisi Allah. Maha Suci Allah yang Maha Bijaksana. Bacalah.

Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang jurudakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah S.W.T. memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan dalam sebuah perkampungan di Amerika dan melintas berhampiran sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Pada mulanya dia keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Pada saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, "Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini." Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, "Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya." Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, "Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang Muslim?" Paderi itu menjawab, "Dari tanda yang terdapat di wajahmu." Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim
itupun menerima tentangan debat tersebut.

Paderi berkata, "Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat." Si pemuda tersenyum dan berkata, "Silakan!"

Sang paderi pun mulai bertanya,

"Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya, delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya."

"Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh!
Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya?
Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam surga?
Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya?
Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!
"

"Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?"

"Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar!
Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?
"

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah. Setelah membaca "Bismillah..." dia berkata,

- Satu yang tiada duanya ialah Allah S.W.T.

- Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah S.W.T. berfirman, "Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami)." (Al-Isra’: 12).

- Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

- Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur’an.

- Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

- Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah S.W.T. menciptakan makhluk.

- Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah S.W.T. berfirman, "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang." (Al-Mulk: 3).

- Lapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah S.W.T. berfirman, "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung ‘Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.” (Al-Haaqqah: 17).

- Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa iaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin taufan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan belalang.

- Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah S.W.T. berfirman, "Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat." (Al-An’am: 160).

- Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf.

- Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mukjizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, "Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air." (Al- Baqarah: 60).

- Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

- Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah S.W.T. berfirman, "Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing." (At-Takwir: 18).

- Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus.

- Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam syurga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, "Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala." Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, "Tak ada cercaan terhadap kamu semua." Dan ayah mereka Ya'qub berkata, "Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yusuf:9)

- Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai.
Allah S.W.T. berfirman, "Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai." (Luqman: 19).

- Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Salleh dan Kambing Nabi Ibrahim.

- Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah S.W.T. berfirman, "Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim." (Al-Anbiya’: 69).

- Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Salleh, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

- Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya Wanita, sebagaimana firman Allah S.W.T. "Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar." (Yusuf: 28).

- Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata, "Apakah kunci syurga itu?"

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekhuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab
pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, "Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!"

Paderi tersebut berkata, "Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah."

Mereka menjawab, "Kami akan jamin keselamatan anda."

Paderi pun berkata, "Jawapannya ialah: Asyhadu an la ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah." Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa.


Ini merupakan sebuah artikel yang cukup bagus. Ia dapat menyedarkan kita agar membaca dan memahami isi kandungan Al-Qur’an bagi membolehkan kita menangkis tohmahan dan menjawab pertanyaan orang-orang kafir. Wallahualam.

Too Many... 11:02 PM


Majlis konvokesyen ana pada 9 Ogos ini akan mendatangkan seribu satu kenangan terakhir di bumi UTHM. Tidak sabar rasanya bertemu sahabat dan teman lama di sana. Namun, pemergian ini diiringi dengan satu perasaan sedih dan sayu mengenangkan berita tentang pembubaran Kelab Iqra'. Ana bukanlah seorang yang aktif dalam KI, namun dalam beberapa semester terakhir di sana, ana menjadi salah seorang ahli yang cuba mengikuti segala program KI.

Sewaktu semester pertama di UTHM, program pertama yang diikuti dalam KI ialah program akademik di bawah Lujnah Bimbingan, Akademik dan Kaunseling. Program pertama yang cukup manis, menemukan ana dengan kakak-kakak yang penyayang dan penuh nasihat. Terkadang terasa rugi apabila mengenangkan saat dan tika ana lebih mendahulukan gerak kerja sebagai ahli Jawatankuasa Desasiswa Pangsapuri (kini Jawatankuasa Kolej Kediaman Perwira). Namun, segala yang terjadi ada hikmahnya.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: "KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah: "Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendakiNya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan."

"Sebagaimana yang diketahui umum, kerajaan telah mengumumkan pengurangan caj pinjaman iaitu dari tiga (3) peratus kepada satu (1) peratus berkuatkuasa 1 Jun 2008. PTPTN telah mula melaksanakan Pembiayaan Pendidikan berkonsepkan Ujrah satu (1) peratus kepada pelajar-pelajar baru mulai kelulusan pada 22 Disember 2008. Manakala penawaran Ujrah kepada pelajar-pelajar lama yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 1hb Ogos 2009."
Kenyataan akhbar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN)

Sewaktu berita ini disiarkan, ana tertanya-tanya adakah batch ana akan tergolong dalam kategori ini. Namun, selepas disemak ternyata harapan ana tersasar. Semoga semua pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN akan tergolong dalam sistem baru ini kelak. Adik ana juga mendapat PTPTN dahulu tetapi kini telah mendapat biasiswa KPM. Pinjamannya cuma RM7000 tetapi penyata yang dikeluarkan telah mencapai RM7162.50. Ini kerana setiap bulan kos perkhidmatan yang dikenakan adalah RM16.25. Surat penangguhan pembayaran seperti tiada fungsi lantaran bayaran yang dikenakan semakin meningkat pada setiap bulan.

Dan hari ini, kematian akibat H1N1 telah menjangkau 6 orang mangsa. Jangkitan tempatan semakin meningkat dan ia benar-benar menimbulkan kebimbangan kepada kita semua. Ujian Allah ini menguji para saintis dan pengkaji bidang kesihatan bagi mencari penawarnya. Lihatlah, betapa besarnya kuasa Allah menciptakan, dari sekecil-kecil virus hingga ke sebesar-besar wabak.


Bingung dengan keadaan politik semasa. Namun 1 Ogos telah berlalu dengan peristiwa pahit bagi rakyat Malaysia lantaran perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA. Allah Maha Menentukan segala-galanya. Ya Allah, permudahkanlah dan bantulah mereka yang teraniaya. Kasihanilah mereka dan kurniakanlah rahmat kasih sayangMu.

Temuduga... 12:20 AM

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kelancaran proses temuduga bagi penempatan ana sebagai guru pada 28 Julai lalu. Doakan ana dan sahabat-sahabat dipermudahkan segala urusan dalam urusan penempatan ini. Amin… Debaran tetap terasa walaupun ini adalah pengalaman ketiga ana dalam proses temuduga. Kali terakhir adalah pada empat tahun lalu sebelum memasuki UTHM dalam kursus Pendidikan Teknik dan Vokasional ini.

Beberapa hari sebelum temuduga berlangsung, persiapan diri telah dilakukan dengan persediaan apa-apa soalan temuduga yang kemungkinan ditanya. Contohnya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang rasanya harus diketahui oleh semua yang terlibat dalam bidang pendidikan. Enam teras utama PIPP ini perlu diketahui agar segala perkara yang berkaitan dengan pendidikan dapat difahami dengan baik. Misalnya penubuhan Sekolah Kluster dan Sekolah Bestari yang berkaitan dengan teras keenam, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.


Sewaktu proses pembacaan dan ‘penghayatan’ terhadap PIPP, teras pertama PIPP iaitu membina negara bangsa menjadikan ana begitu teruja untuk mengaitkannya dengan gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Kata PM, penghayatan dan pelaksanaan 1 Malaysia dapat dijayakan sepenuhnya melalui bidang sukan. Sesuailah dengan YAKEB yang baru ditubuhkan bagi membantu atlet-atlet negara kita. Kata seorang teman, dalam proses temuduga ini kita harus mengambil pandangan daripada kedua belah pihak. Analisis data, hasilkan pandangan tersendiri. Dan benar, sokongan harus diberi dalam perkara yang mendatangkan kebaikan.

Selepas temuduga berakhir, ana berkongsi maklumat dengan sahabat dan teman agar mereka dapat bersedia dengan apa-apa soalan yang kemungkinan ditanya. Dalam berita pada malam 27 Julai itu, kebetulan PM memperkenalkan NKRA yang akan bermula pada 1 September nanti. Pada hari ana ditemuduga, ada calon yang ditanya dengan NKRA, dan soalan itu memang tidak diduga olehnya. Apa yang harus dijawab? Tawakal kepada Allah sahaja yang mampu dilakukan agar dipermudahkan segala urusan kelak. Oleh itu, persediaan harus dibuat dengan mengkaji segala perkara yang berlaku. Wajib dan harus mengambil tahu semua berita yang ada.

Sebelum post ini berakhir, ana selitkan sedikit panduan temuduga yang diolah kembali daripada artikel Ustaz Zaharuddin bertajuk Temuduga Kerja: Yang Perlu & Yang Jangan bagi sesiapa yang bakal menjalaninya. Tidak kiralah temuduga sebagai guru ataupun eksekutif lain. Good luck and all the best!


* Calon mestilah cuba mengulangkaji terlebih dahulu sedikit isi penting subjek
yang berkaitan dengan pekerjaan yang diminta.
* Calon mestilah bersedia dengan segala point yang dapat mengaitkan kerjaya yang
dipohon, walaupun ia daripada dua disiplin yang berbeza.
* Bagi soalan yang memerlukan pandangan bebas bukan fakta; keyakinan amat
penting. Keyakinan itu perlu dizahirkan melalui cara dan intonasi bercakap,
mimik muka dan sedikit pergerakan tangan.
* Calon mesti menunjukkan minat untuk menyumbang dan mempelajari jika diterima
sebagai eksekutif, tunjukkan minat dan keghairahan untuk belajar.
* Merendah diri adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam tetapi semasa temuduga
calon perlu menunjukkan dan menaikkan kebolehan diri. Bukan meninggi diri dalam
bentuk melampau dan 'over' tetapi cukup sekadar menunjukkan kedinamikan diri
dan kelayakan anda untuk jawatan yang dipohon.
* Calon perlu relaks dan kelihatan selesa semasa temuduga. Tenangkan diri dan
jangan merasakan anda dalam sebuah temuduga. Ia mudah menganggu debaran hati
dan jantung anda. Bayangkan anda sedang berbincang dengan guru sahaja.