Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Penghujung Yang Dicari... 12:28 PM

Tarbiyah diri diiringi mujahadah pada jalan yang berliku. Bertemukah penghujung yang dicari?

Hati meronta-ronta, mencari. Kelu lidah, tidak terungkap dengan kata-kata perasaan yang mencengkam hati nurani. Sakit, betapa jauhnya rasa ini dengan rasa yang pernah hadir dahulu. Jauh sekali, namun muhasabah dan mujahadah perlu dilakukan. Wajib!

Ibn Qayyim menyebutkan, “Apabila jiwa itu mula tenteram daripada syak kepada yakin, daripada jahil kepada ilmu, daripada lalai kepada ingat, daripada khianat kepada taubat, daripada sia-sia kepada ikhlas, daripada dusta kepada benar, daripada lemah kepada cergas, daripada angkuh kepada merendah diri, daripada bongkak kepada tawaduk, daripada malas kepada bertenaga, maka ketika itulah ia telah mencapai roh tomakninah.


Diceritakan bahawa Rasulullah S.A.W mendatangi seorang pemuda yang hendak meninggal. Baginda bertanya, ‘Bagaimanakah keadaan engkau sekarang?
Pemuda itu menjawab, ‘Wahai Rasulullah, aku berharap kepada Allah S.W.T dan aku takut akan dosaku.
Rasulullah S.A.W bersabda, 'Bila dalam hati seseorang telah berkumpul dua hal itu, tentu Allah akan memberi apa yang diinginkannya dan menghindarkan dari apa yang ditakutinya.'

Jangan bersedih, beristighfarlah. Allah itu Maha Pengampun.

dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya...” Surah Huud: 3

Jalan berliku itu pasti akan terus ditempuh selagi nikmat tenaga dan nyawa terus diberi oleh yang Maha Esa. Namun pengakhirannya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui, kerana hakikatnya permulaan kepada kehidupan ini adalah hidup selepas mati!

Secebis Catatan di Bilik Darjah 11:18 AM

Cikgu, tengok Mawi ni. Suka sangat kacau saya.

Mawi, kenapa dengan awak? Ada yang tak kena ke?

Dia start dulu cikgu. Kita tak layan pun.

Dialog ini adalah perkara rutin di kelas. Saling salah-menyalahkan, saling tuduh-menuduh. Tiada semangat setiakawan, cuma mewujudkan suasana perbalahan di kelas.

Kadang-kadang kami sebagai guru hampir hilang idea untuk membantu pelajar-pelajar ini. Sedangkan, boleh dikatakan setiap pelajar itu kami ketahui latar belakang keluarga dan hidupnya. Ini bukanlah helah bela diri namun secara realitinya, kami cuma mampu menasihatkan pelajar-pelajar yang bermasalah untuk berubah ke arah kebaikan. Mereka dinasihatkan untuk memikirkan nasib diri dan keluarga sekiranya tiada ilmu di dada, sama ada duniawi dan ukhrawi.

Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” Surah Al-Ankabut: 64


Balik rumah nanti, cuba fikirkan. Muhasabah diri. Adakah anda seorang Muslim yang baik? Adakah anda seorang pelajar yang baik? Adakah anda seorang anak yang soleh dan solehah?

Persoalan-persoalan ini biasa saya tuliskan di papan hijau pada akhir kelas. Soalan-soalan dan kata-kata nasihat ini kadang-kadang lebih berkesan apabila dibaca berbanding diucapkan secara lisan. Bak kata pepatah, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Apabila saya mula menulis, pelajar-pelajar akan berkata, ‘Cikgu nak tulis apa pula tu?’.

Tanyalah kepada semua guru di luar sana, apakah yang mereka inginkan pada anak-anak murid mereka. Pasti semua akan menjawab bahawa mereka hanya ingin melihat anak-anak murid berjaya dalam hidup dan menjadi insan yang cemerlang akhlaknya.

Dalam era globalisasi kini, dibimbangi mereka tidak dapat bersaing dan seterusnya tercicir dalam kehidupan. Kemiskinan terus diwarisi sedangkan mereka sebenarnya berupaya untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

"...Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." Surah Ar-Ra'd: 11


Sungguh, apabila teori ingin diaplikasikan dalam amali, segalanya akan berubah menjadi sukar dan susah. Pelbagai gangguan wujud, menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran terbantut. Motivasi dan nasihat sentiasa diberi namun benarlah, untuk mendapat sesuatu yang baik pasti sulit dan sukar. Semoga perjuangan yang baru bermula ini terus membara hingga ke akhirnya. Wallahualam.

Happy 25th Anniversary! 5:37 PM

Kagum.

Bangga.

Sesungguhnya hati ini bahagia.

Kadang-kadang perasaan sebak itu datang, lantas diiringi air mata yang bergenangan. Sungguh! Aku menjadi pengagummu yang setia. Kagum dengan cinta dan kasih sayang yang dicurahkan. Terasa jiwa kecil ini sarat dengan tulus ikhlasnya kasihmu. Alhamdulillah, Maha Suci Allah yang telah mengurniakan perasaan sehebat ini!

Jauh di lubuk hati ini tetap ada lafaz yang tersimpan. Namun cuba dizahirkan melalui kata-kata dan perbuatan. Kekoknya langkah tanpa kata-kata, sukarnya tingkah tanpa susulan bicara.

…hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” Surah Al-Israa’: 23

Nota hati ini tidak terhenti di sini. Ustaz Pahrol berkata, “Cintailah ibu bapa kerana mencari cinta Allah!

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." Surah Al-Israa’: 24


Buat Abah dan Mak, selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-25. Sudah suku abad rupanya Abah dan Mak melayari kehidupan bersama. Semoga redha dan kasih sayang Allah sentiasa bersama diiringi kebahagiaan dan keberkatan dalam nikmat serta hikmah di sebalik setiap ujian-Nya jua.

Terima Kasih Abah dan Mak! 4:57 PM

Beruntungnya kita kerana mempunyai ibu dan bapa!

Bertuahnya kita kerana penuh kasih sayang sejak dari kecil hingga dewasa. Kasih sayang Allah melalui segala pemberian dan nikmat yang tidak terhitung. Kasih sayang ibu bapa pula melalui tindakan melindungi dan mendidik anak-anak serta tanggungjawab lain yang tergalas di bahu setiap ibu bapa.

Kadang-kadang hati ini tertanya-tanya. Apakah akan ada seorang pelindung yang berjaya melindungi dan menjaga diri ini sebagaimana Abah bertindak?

Teringat pada kata-kata Mama, ibu sahabat tersayang tatkala kami berbicara soal teman hidup (insyaAllah, semua orang mempunyai keinginan untuk membina 'rumah dan tangga').

Susah nak jumpa orang macam Abah.

Wani jangan cakap begitu. Semua orang merasakan ayah mereka adalah lelaki terbaik dalam hidup mereka, but for sure Wani takkan jumpa lelaki yang sama sikap dan sifatnya.

Nota Hati Seorang Ayah dalam tulisan Ustaz Pahrol benar-benar menyentuh hati ini. Ingin saja dicanangkan kepada semua betapa bertuahnya diri ini, punya seorang ayah yang sangat penyayang dan melindungi. Sungguh, dalam perlindungan itu ada kebebasan namun sekatan dan batasan itu tetap ada sebagai had kawalan diri dalam melayari kehidupan sehari-hari.


“Perlu banyak meraikan.” Begitu kata Tok Wan apabila ditanya tentang tip mendidik anak perempuan.

“Meraikan bagaimana?”

“Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya.”

“Maksudnya?”

“Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan kegagalannya. Selalu ucapkan tahniah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah.”

"Kenapa Tok Wan?"

“Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan.”

“Apa tip Tok Wan untuk Sang Gembala?”

“Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah cucu kita bakal mendapat ibu yang mithali?”

“Lagi Tok Wan?”

“Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mestilah menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya!”

“Lagi Tok Wan?”

“Last but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!”

Nota Hati Seorang Lelaki, Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Sewaktu adik dirawat di hospital kerana kemalangan pada tahun lepas, Mak tetap teguh berdiri di sebalik kelembutan kasih sayangnya. Sedangkan diri ini tahu, betapa runsingnya hati seorang ibu apabila melihat keadaan anak yang dikandung sembilan bulan, dilahirkan dengan penuh susah dan payah, apatah lagi sakit menanggung perasaan duka melihat anak terlantar kesakitan. Sungguh, diri ini sangat bertuah lahir dari rahim Mak, kekuatan yang Mak ada itulah sumber kekuatan dan contoh terbaik bagi diri ini.


Dedikasi kepada Abah dan Mak, ibu bapa terbaik buat Nur dan adik-adik! Terima kasih yang tidak terhingga atas kasih sayang, jasa dan pengorbanan Abah dan Mak membesarkan Nur dan adik-adik. Semoga redha dan kasih sayang Allah sentiasa bersama kita jua hingga akhirnya. Amin...

Kalau... 12:16 PM

Banyak versi ‘kalau’ dalam hidup kita. Kalau itu, kalau ini. Pelbagai cerita ‘kalau’ keluar sekiranya ada sesuatu yang tidak diingini.

Namun begitu, tidak semua perkara menjadi negatif dengan ‘kalau’. Ada perkara positif dan kebaikan yang tersirna selepas minda meninjau semula laluan liku-liku kehidupan.

"Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah, apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan." Nota Hati Seorang Lelaki, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

"Apa agaknya yang akan terjadi kalau Alif tidak dengar cakap ibu?"

"Alif kena marah dengan ibu. Kalau ibu marah, mesti Allah pun marah pada Alif."

Kanak-kanak di usia muda sudah dapat menjawab soalan ‘kalau’. Didikan awal yang berteraskan agama sangat penting untuk kanak-kanak kerana sejak dari kecillah mereka dapat dibentuk agar memiliki hati yang suci bersih, supaya tidak lalai daripada melaksanakan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi.

"Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi." Hadis Bukhari dan Muslim.

Apa yang akan anda lakukan sekiranya mengetahui ada orang yang anda kenali tidak menunaikan kewajipannya kepada Allah? Solat tiang agama yang lima itu pun tidak mencukupi, tergamak pula meninggalkan solat Jumaat tanpa perasaan berdosa. Apa perasaan anda? Marah? Geram? Sakit hati? Apakah pula tindakan yang akan anda ambil agar mereka berubah?

Cerita ‘kalau’ ini masih belum berakhir. Barangkali ‘kalau’ itu wujud sebagai seseorang, mudah saja dipamerkan di khalayak umum.

"Kalau saya tidak melanjutkan pelajaran ke sana, pasti saya tidak akan bertemu dengan sahabat yang baik seperti dia. Mujur juga ada sahabat yang memahami dan sentiasa bersama saat susah dan senang."

"Kalau saya tidak pernah mempunyai perasaan yang satu itu, saya tidak akan jadi begini. Takut untuk terjebak kembali dalam kelekaan dan kelalaian walaupun sudah sedaya upaya menjaga diri daripada perasaan itu. Syukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk saya meraih dan mencari kembali cinta Allah yang Maha Esa."

Kalau, kalau dan kalau...

Galau di hati siapa yang tahu. Hanya Allah jua tempat berserah dan memohon pertolongan. Sesungguhnya kita milik Allah yang akan kembali juga akhirnya. Raihlah kasih sayang-Nya, dengan kesyukuran atas segala nikmat dan hikmah di sebalik segala ujian dan dugaan. Semoga kita dalam lindungan redha dan kasih sayang-Nya jua. Amin...


"Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: “KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah: “Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan." Riwayat Muslim.