
MujahadahWahai muslimah, dirimu ibarat kuntum penyeri. Sang suria pagi. Kudupnya mekar meniti hari. Mewangi bak haruman syurgawi. Usah biarkan wajahmu dipalit luka, lantaran iman tatkala leka. Taqwamu menjadi benteng diri. Angkatlah martabatmu ke puncak tertinggi. Faqir Ilallah
Lifelong Learning1986 – Kini Pendidikan Mak Abah 1991 – 1992 1993 – 1998 SK Batu Rakit 1999 – 2001 SMKA Batu Rakit 2002 – 2003 SMT Wakaf Tembusu 2004 – 2005 Kolej Matrikulasi Pahang 2005 – 2009 Uni Tun Hussein Onn Malaysia Ad-DinFavourite Blog List
Talk & SpeakAl-HiwarPelawat Pelayar |
Asma ul-HusnaDemi MasaHari IniKalendarHabib AlbiNikmat Allah
Sahabat
Ukhwah
Sahabat Iqra'
Islam Inside
Knowledge Seeker
FollowersFacebook BadgeLabels
|

| Terima Kasih Abah dan Mak! | 4:57 PM |
|
Comments (1)
Filed under:
Me Myself
|
|
Bertuahnya kita kerana penuh kasih sayang sejak dari kecil hingga dewasa. Kasih sayang Allah melalui segala pemberian dan nikmat yang tidak terhitung. Kasih sayang ibu bapa pula melalui tindakan melindungi dan mendidik anak-anak serta tanggungjawab lain yang tergalas di bahu setiap ibu bapa.
Kadang-kadang hati ini tertanya-tanya. Apakah akan ada seorang pelindung yang berjaya melindungi dan menjaga diri ini sebagaimana Abah bertindak?
Teringat pada kata-kata Mama, ibu sahabat tersayang tatkala kami berbicara soal teman hidup (insyaAllah, semua orang mempunyai keinginan untuk membina 'rumah dan tangga').
“Susah nak jumpa orang macam Abah.”
“Wani jangan cakap begitu. Semua orang merasakan ayah mereka adalah lelaki terbaik dalam hidup mereka, but for sure Wani takkan jumpa lelaki yang sama sikap dan sifatnya.”
Nota Hati Seorang Ayah dalam tulisan Ustaz Pahrol benar-benar menyentuh hati ini. Ingin saja dicanangkan kepada semua betapa bertuahnya diri ini, punya seorang ayah yang sangat penyayang dan melindungi. Sungguh, dalam perlindungan itu ada kebebasan namun sekatan dan batasan itu tetap ada sebagai had kawalan diri dalam melayari kehidupan sehari-hari.

“Perlu banyak meraikan.” Begitu kata Tok Wan apabila ditanya tentang tip mendidik anak perempuan.
“Meraikan bagaimana?”
“Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya.”
“Maksudnya?”
“Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan kegagalannya. Selalu ucapkan tahniah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah.”
"Kenapa Tok Wan?"
“Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan.”
“Apa tip Tok Wan untuk Sang Gembala?”
“Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah cucu kita bakal mendapat ibu yang mithali?”
“Lagi Tok Wan?”
“Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mestilah menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya!”
“Lagi Tok Wan?”
“Last but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!”
Nota Hati Seorang Lelaki, Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Sewaktu adik dirawat di hospital kerana kemalangan pada tahun lepas, Mak tetap teguh berdiri di sebalik kelembutan kasih sayangnya. Sedangkan diri ini tahu, betapa runsingnya hati seorang ibu apabila melihat keadaan anak yang dikandung sembilan bulan, dilahirkan dengan penuh susah dan payah, apatah lagi sakit menanggung perasaan duka melihat anak terlantar kesakitan. Sungguh, diri ini sangat bertuah lahir dari rahim Mak, kekuatan yang Mak ada itulah sumber kekuatan dan contoh terbaik bagi diri ini.

| Kalau... | 12:16 PM |
|
Filed under:
Muhasabah Diri
|
|
Namun begitu, tidak semua perkara menjadi negatif dengan ‘kalau’. Ada perkara positif dan kebaikan yang tersirna selepas minda meninjau semula laluan liku-liku kehidupan.
"Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah, apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan." Nota Hati Seorang Lelaki, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.
"Apa agaknya yang akan terjadi kalau Alif tidak dengar cakap ibu?"
"Alif kena marah dengan ibu. Kalau ibu marah, mesti Allah pun marah pada Alif."
Kanak-kanak di usia muda sudah dapat menjawab soalan ‘kalau’. Didikan awal yang berteraskan agama sangat penting untuk kanak-kanak kerana sejak dari kecillah mereka dapat dibentuk agar memiliki hati yang suci bersih, supaya tidak lalai daripada melaksanakan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi.
"Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi." Hadis Bukhari dan Muslim.
Apa yang akan anda lakukan sekiranya mengetahui ada orang yang anda kenali tidak menunaikan kewajipannya kepada Allah? Solat tiang agama yang lima itu pun tidak mencukupi, tergamak pula meninggalkan solat Jumaat tanpa perasaan berdosa. Apa perasaan anda? Marah? Geram? Sakit hati? Apakah pula tindakan yang akan anda ambil agar mereka berubah?
Cerita ‘kalau’ ini masih belum berakhir. Barangkali ‘kalau’ itu wujud sebagai seseorang, mudah saja dipamerkan di khalayak umum.
"Kalau saya tidak melanjutkan pelajaran ke sana, pasti saya tidak akan bertemu dengan sahabat yang baik seperti dia. Mujur juga ada sahabat yang memahami dan sentiasa bersama saat susah dan senang."
"Kalau saya tidak pernah mempunyai perasaan yang satu itu, saya tidak akan jadi begini. Takut untuk terjebak kembali dalam kelekaan dan kelalaian walaupun sudah sedaya upaya menjaga diri daripada perasaan itu. Syukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk saya meraih dan mencari kembali cinta Allah yang Maha Esa."
Kalau, kalau dan kalau...
Galau di hati siapa yang tahu. Hanya Allah jua tempat berserah dan memohon pertolongan. Sesungguhnya kita milik Allah yang akan kembali juga akhirnya. Raihlah kasih sayang-Nya, dengan kesyukuran atas segala nikmat dan hikmah di sebalik segala ujian dan dugaan. Semoga kita dalam lindungan redha dan kasih sayang-Nya jua. Amin...

"Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: “KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah: “Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan." Riwayat Muslim.
| Ilmu | 9:17 AM |
|
Filed under:
Tazkirah Diri
|
|
Dalam dunia digital, ilmu merupakan faktor terpenting untuk menguasai semua bidang kehidupan. Tanpa ilmu, akan menyebabkan manusia ketinggalan dan sentiasa bergelumang dalam kerugian.
Dalam ayat di atas, Allah mengarahkan umat manusia supaya tidak mengikut membabi buta tanpa disandarkan penguasaan ilmu. Seluruh pancaindera memerlukan ilmu untuk digerakkan. Telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan hati untuk memilih, memerlukan bantuan ilmu supaya ianya menjurus ke arah kebaikan dan keredaan Allah. Oleh kerana di akhirat kelak Allah akan mempersoalkan tentang pendengaran, penglihatan dan hati di mana ianya diguna dan dilakukan, maka tidak dapat tidak, manusia perlu memanfaatkan seluruh pancainderanya untuk keredaan Allah.

Manusia akan diperalatkan oleh kawan atau lawan, apabila ianya tidak memiliki sesuatu ilmu. Perumpamaan manusia yang suka menurut atau mengikut tanpa ilmu, diibaratkan seperti lalang yang melentuk ke kiri dan kanan apabila ditiup angin. Kehidupan akan musnah apabila ditiup angin. Kehidupan akan musnah apabila individu itu tidak dapat berdikari dengan ilmunya sendiri.
| Kejutan | 5:35 PM |
|
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
Minggu ketiga Februari mencatat episod kejutan dalam kehidupan. Awal pagi itu, ana tersedar dari lena, namun dikejutkan dengan mesej yang diterima.
“Salam. Izdihar Mohd telah meninggal dunia pada pukul 10 malam tadi. Doakan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.”
Arwah merupakan pelajar yang pernah ana didik untuk beberapa bulan di SMT Tanah Merah, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Baik orangnya, berita pemergiaannya ke rahmatullah benar-benar mengejutkan. Namun begitu, siapalah kita untuk menghalang takdir, qada’ dan qadar yang telah ditentukan Allah. Allahyarham yang masih muda telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini, namun bagaimana kita yang masih tidak tahu pengakhiran kehidupan kita?

“Sesungguhnya Allah memiliki kekuasaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.” Surah At-Taubah: 116
| Tadbir Diri | 12:59 AM |
|
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
Kita berusaha mentadbir diri, mengurus kehidupan yang fakir di sisi Allah namun Allah jualah yang Maha Menentukan segala perancangan yang telah ditetapkan kepada kita.
Tahun 1431 Hijrah telah bermula sebelum tahun 2010 Masihi menjengah tiba. 1431H telah masuk bulan yang kedua iaitu Safar manakala 2010M baru sahaja berada di pertengahan Januari. Tetap punya perbezaan dan kelainan, bukankah begitu?
Rintis akal dan minda, terobos dalam jiwa perbezaan yang hanya sirna bagi mereka yang berfikir. Usia bertambah, namun seiringkah dengan apa yang kita tanam, apa yang bakal kita tuai di akhirat kelak?
Persoalan ikhlas dan memberi masih berlegar-legar tatkala tautan ukhwah bertemu temannya. Alhamdulillah, doa sentiasa dipanjatkan agar hati terus kekal teguh pada niatnya, tekal dan tegar walaupun ada anasir luar yang cuba membuahkan ingkar.
Manusia, sifatnya mempunyai hati yang berbolak-balik. Lantaran itulah, usaha mentadbir diri dimulai dari hati seiring akal yang tunduk akur pada kehendak raja diri, wujud daripada seketul darah.
"Dan orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka mereka (adalah) menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". Surah At-Taubah: 71
| Arah & Buat | 1:02 PM |
|
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
“Perbuatan yang semudah-mudahnya ialah mencela, kerana mudahnya selalu dikerjakan orang. Pekerjaan yang sesulit-sulitnya ialah memperbaiki diri, kerana sulitnya sentiasa ditinggalkan orang.”Kata-kata mukadimah bagi meredakan fikiran dan hati yang ligat berfikir serta berbicara tentang bagaimana langkah yang paling sesuai dalam menangani persoalan yang membelenggu diri.
Suatu hari yang agak memenatkan, bukan sahaja untuk fizikal luaran tetapi juga mental di mana otak keras berfikir jawapan sebenar kepada keadaan yang berlaku. Bukan semua perkara mudah diucapkan, apatah lagi apabila ia melibatkan orang lain yang lebih berkuasa dan punya keupayaan untuk mengarahkan sesuatu.
Sebagai pemimpin, pastinya tidak semua perkara yang diarahkan dapat memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Sudah pasti ada kata-kata yang mempertikaikan justifikasi atau arahan yang diberikan. Namun begitu, perasaan segan, takut dikatakan lebih sudu daripada kuah menjadikan sesuatu cadangan untuk mempertingkatkan hasil kualiti sesuatu perkara terbantut.
Jadi, apa yang harus dilakukan bagi orang yang menerima arahan? Arahan yang diberi dilakukan sebaik mungkin, namun pandangan yang dirasakan baik untuk mempertingkatkan kualiti sesuatu perkara terpaksa disimpan, bahkan mungkin hilang lantaran sifat manusia yang mudah lupa.
Dalam sistem pengurusan dan pentadbiran yang baik, syumul mengikut Islam, konsep musyawarah adalah yang terbaik dalam menentukan sesuatu keputusan. Lihatlah konsep musyawarah yang digunakan di mana Amirul Mukminin dilantik daripada mesyuarat jemaah Islam selepas kewafatan Rasulullah. Dapatkah para pemimpin ini mengaplikasikan perkara yang sama dalam jemaah pentadbirannya?
Jangan ikut hati dan perasaan kerana akal yang lebih utama untuk didahulukan. Fikir-fikirkan dan semaikan ikhlas di dalam hati.
| Muhasabah Diri | 9:36 PM |
|
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
"Kenapa dia sedih dan muram? Mesti ada punca dan sebab kenapa dia berubah laku."
"Dia seorang yang periang dulu, tapi sekarang dah berubah, jadi muram berpanjangan dan panas baran."
"Cuba selidik kenapa dia berubah laku. Tapi step-by-step. Bukan straight forward, tanya begitu saja. Secara psikologinya, seseorang suka berkongsi perasaannya apabila dia percaya kepada orang tersebut. Bina kepercayaan dan beri semangat padanya."
"InsyaAllah. Tapi cikgu, kenapa perasaan sedih dan muram harus ada dalam diri kita?"
"Sesungguhnya perasaan sedih itu sendiri ditiupkan oleh syaitan. Cikgu sarankan buku La Tahzan, cubalah baca. Buku itu sangat bagus, penuh motivasi untuk diri. Tapi, Al-Quran itu lebih utama dibaca kerana hati kita sendiri mendapat ketenangan daripada ayat-ayatnya. Kalau boleh, amalkan membaca Al-Mathurat kerana ada doa memohon dijauhkan daripada perasaan sedih dan resah gelisah."
“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.” Surah Ali-Imran: 139
Sekadar diskusi ringkas bersama salah seorang pelajar. Teringat ana pada pesanan seorang teman. Katanya, ‘Platform sebagai guru sangat membantu dalam dakwah sesama Islam. Guru bertindak sebagai dai’e, berdakwah kepada pelajar-pelajarnya (mad’u).’
Namun begitu, salah faham dan silap meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya menjadikan salah satu tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah terabai. Bukankah kita harus saling nasihat menasihati ke arah kebaikan, mendoakan kesejahteraan sesama saudara di samping mengeratkan ikatan silaturrahim yang telah terjalin?
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi)| Buntu, Kaku dan Beku | 7:38 AM |
|
Filed under:
Me Myself,
Muhasabah Diri
|
|
Buntu.
Tatkala fikiran melayang jauh mengimbas kembali peristiwa di bilik darjah, pasti minda sarat berfikir tindakan dan cara yang paling berkesan dalam mengambil perhatian pelajar. Bagaimana ingin menarik perhatian pelajar yang kurang motivasi dan keinginan untuk berjaya lantaran sifat malas yang ada?
Satu cabaran yang penuh persoalan untuk dijawab.
Kaku.
Pembelajaran psikomotor berlaku tatkala anggota badan turut bertindak dalam proses pembelajaran. Mata melihat, telinga mendengar dan mulut ikut berbicara. Namun anggota lain seperti tangan dan kaki turut bertindak agar objektif tercapai. Bukan semua aktiviti pembelajaran menggunakan pendekatan psikomotor, namun apabila perlu pastilah ia membantu pelajar untuk lebih memahami sesuatu.
Beku.
Apabila segala usaha telah dilakukan, jangan biarkan semangat terhenti di situ, beku tindakan. Dalam sesuatu program, pasti satu post mortem dilakukan bagi mencari kelemahan dan kesilapan dalam segala urusan. Begitu juga dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Refleksi perlu dilakukan apabila kelas berakhir, cari kelemahan dan perbaikinya. Kelebihan yang ada digunakan sepenuhnya, tambah baik dan tingkatkan kemampuan diri.
Di samping mengaplikasi kembali ilmu psikologi yang telah dipelajari, bergurulah dengan pengalaman guru-guru lama. Pasti banyak ilmu berguna yang boleh diamalkan dan diaplikasikan dalam bilik darjah kerana realiti tidak semudah teori yang dipelajari.
Zaman berubah. Dari sebesar-besar televisyen hingga menjadi senipis TV plasma. Begitu juga peredaran masa yang berlalu merubah setiap generasi yang ada.
“Waktu mak dulu, pergi sekolah jalan kaki je. Sekarang ni dah boleh naik motosikal untuk ke sekolah.”
Begitulah kemudahan yang diberikan oleh ibu bapa hari ini bagi mengelakkan anak-anak daripada mengalami kesulitan yang pernah dialami sewaktu mereka kecil dahulu. Tidakkah anda bersyukur wahai setiap anak yang dididik oleh seorang insan bernama guru?
Belajarlah menghargai setiap saat yang ada. Syukurilah segala nikmat yang telah Allah berikan sehingga dapat anak-anak menuntut ilmu dalam suasana aman dan harmoni berbanding saudara seagama kita yang penuh kekacauan dan huru-hara di negara masing-masing.
| Positif dan Negatif | 8:40 AM |
|
Filed under:
Muhasabah Diri
|
|
Positif dan negatif. Dua perkataan berbeza yang memberi banyak erti. Mungkin membawa kita kepada dua rentetan kisah yang berbeza. Barangkali ia juga membawa kita menyoroti pahit dan manis dalam rencah kehidupan kita sebagai hamba Allah yang tidak akan sunyi daripada dugaan dan ujian.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji?" Surah Al-Ankabut: 2.
Ujian pula mempunyai pelbagai cara duganya kepada kita. Ada ujian kebahagiaan, sebagai contoh kebahagiaan pasangan suami isteri yang baru diakad nikahkan, namun diuji pula dengan kesukaran memahami hati dan jiwa masing-masing dalam menempuh kehidupan baru bersama. Ada pula yang diuji dengan harta kekayaan, namun Allah timpakan pula kemiskinan lantaran perintah zakat yang wajib ditunaikan tidak dilaksanakan.
"yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya." Surah Al-Humazah: 2-3.
Tetapi, beruntunglah mereka yang sentiasa ingat kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Menentukan ke atas sesuatu. Bacalah qalamullah, Al-Quran kerana di situ hati-hati yang bersih akan ditemukan. Pasti terpancar suatu aura yang berseri lantas mewujudkan seorang insan yang sentiasa gembira, redha dan pasrah kepada apa yang telah ditentukan Allah buatnya.
Bukan mudah untuk melawan hawa nafsu serta bisikan syaitan terhadap perkara-perkara yang dirasakan buruk menimpa diri. Namun, muhasabahlah diri dan tingkatkan amal ibadat. Jangan biarkan diri dirundung kesedihan dan hadapilah setiap pagi hari dengan hati yang lapang, setelah zikir diucapkan atas nikmat-nikmat Allah yang tiada taranya.

© 2008 .: MUJAHADAH MUSLIMAH :.
Design by Templates4all
Converted to Blogger Template by BloggerTricks.com








