Asma ul-Husna

Demi Masa

Hari Ini

Habib Albi

Habib Albi

Nikmat Allah

Nikmat Allah

Sahabat

Sahabat

Ukhwah

Ukhwah

Sahabat Iqra'

Sahabat Iqra'

Islam Inside

Islam Inside

Knowledge Seeker

Knowledge Seeker

Followers

Labels


Mencari Ikhlas Dalam Pentarbiyahan Diri 9:12 PM

Hakikat kehidupan tidak seperti yang kita inginkan dan jangkakan. Sebagai hamba Allah, kita wajib mempercayai qadak dan qadar seperti yang terkandung dalam Rukun Iman. Tidak semua perkara yang kita suka adalah perkara yang baik untuk kita dan juga sebaliknya. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216:

"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Alhamdulillah, ana dan sahabat-sahabat telah ditempatkan di sekolah masing-masing. Semua gembira namun menanti dengan penuh debaran tentang keadaan sekolah dan alam pekerjaan yang bakal dilalui. Ana sendiri telah berpeluang meninjau kawasan sekolah di Pasir Puteh, Kelantan selepas menerima surat pada tengah hari Sabtu, 24 Oktober lalu. First impression yang mengejutkan, barangkali semangat keterujaan ana pada waktu itu menurun sedikit setelah melihat sendiri keadaan sekolah. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Kelantan berlainan dengan SABK di negeri ana sendiri,Terengganu. Dengan bangunan lama yang sudah dicat baru hasil peruntukan pihak kerajaan, sekolah tersebut berwajah baru dengan jumlah pelajar hanya 94 orang bersama guru seramai 13 orang.

Abah memberi pelbagai kata-kata semangat tatkala melihat anaknya ini termenung di sepanjang perjalanan pulang ke rumah selepas tinjauan ke sekolah. Kegembiraan abah dan mak terserlah daripada wajah mereka apabila puteri sulung mereka ini mendapat posting di sekolah bersebelahan negeri. Tidaklah jauh seperti sahabat-sahabat yang mendapat posting jauh dari negeri masing-masing. Namun begitu, ana berjaya menenangkan kembali rasa hati dan perasaan yang berbelah bahagi setelah tinjauan tersebut. Bagaimana mahu diterangkan perasaan hati yang berkecamuk tatkala itu? Tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Mencari ikhlas dalam pentarbiyahan diri.


Inilah satu-satunya ayat yang terlintas di fikiran setelah lama berfikir, mencerna maklumat dan membiarkan kata-kata abah meresap masuk lembut menyentuh hati. Sebenarnya, kita tahu perkara itu adalah terbaik untuk kita, kerana secara asasnya Allah telah memberi yang terbaik dan mengikut kemampuan kita. Namun untuk menjadi realistik sekelip mata adalah sukar, lantaran itulah kita perlu berfikir sedalam-dalamnya, muhasabah diri. Ke mana sebenarnya hala tuju kita sebagai hamba Allah. Apakah tempat, keadaan dan prasarana menjadikan kemampuan kita terbatas? Mungkin ada kesannya, namun ikhlas yang harus dijadikan perkara utama dalam semua perkara.

Selain ada pelajar yang masih tidak tahu mengira dan membaca, ana tersentuh hati apabila terkenangkan kembali kejadian di kelas tingkatan tiga apabila ditugaskan untuk menggantikan kelas guru tersebut. Sesi taaruf yang berakhir dengan pertanyaan ana tentang baju sekolah yang berwarna-warni terjawab apabila pelajar tersebut mengatakan bahawa dia tiada baju sekolah lain. Sedih rasa hati ini, namun ana kawal perasaan tersebut dengan memohon maaf di akhir kelas dalam nada gurauan.

Rasanya terlalu banyak perkara yang berlaku dalam masa tidak sampai seminggu. Semangat berkobar-kobar untuk berjuang membantu anak didik. Teringat kata-kata guru pembimbing di SMT Tanah Merah dahulu, “Cikgu baru memang semangat dalam masa dua tiga tahun. Awak tengoklah bila dah masuk lima tahun nanti”. Kata-kata ini ana fahami. Jauh di sudut hati, ana mendoakan agar guru-guru pada hari ini terus bersemangat mendidik anak bangsa.

Realistik fikiran. Impian dan harapan yang pelbagai. Bukan mudah melaksanakan apa yang dikatakan dan diinginkan. Semoga cabaran dan dugaan sepanjang kehidupan bergelar guru tidak melemahkan semangat yang ada. Berjuanglah dalam keikhlasan mengharap redha Allah. Salam perjuangan.

Perihal Guru 3:42 PM

"Apa pendapat awak tentang guru?"


"Kalau dulu, orang-orang lama mengibaratkan guru sebagai lilin bukan? Pada pendapat saya, ia tidak lagi sesuai digunakan. Perubahan berlaku dan sebenarnya ada perkara lain yang lebih sesuai untuk dijadikan perumpamaan."

"Awak benar, pepatah guru sebagai lilin sudah tidak sesuai digunakan. Guru diibaratkan sebagai bulan di mana bulan menerima cahaya matahari, selepas itu memancarkannya ke seluruh alam sarwajagat. Begitu juga dengan guru, guru belajar dan menyampaikannya pula di dalam kelas."

Dialog ini merupakan satu perbincangan antara ana dan kenalan yang merupakan seorang guru sandaran di bumi Sabah. Pandangannya, membenarkan tanggapan ana bahawa guru tidak boleh lagi diibaratkan sebagai lilin.

Masih ana ingat sewaktu di sekolah rendah, pasti sajak-sajak yang dibacakan penuh perasaan tatkala sambutan Hari Guru menyebutkan kepentingan menghormati dan menyayangi guru. ‘Guru ibarat lilin, yang membakar dirinya untuk menerangi kita.’ Bait-bait sajak yang dibaca penuh emosi agar menyentuh hati para pendidik.


"Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." Surah An-Nur: 35


Qudwah hasanah = Suri teladan yang baik

Apa kaitan guru dengan qudwah hasanah?

Seseorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

Ini bermakna sebagai seorang guru, dia haruslah menunjukkan contoh baik yang boleh diteladani oleh pelajar-pelajarnya daripada segala aspek; akhlak, moral dan nilai-nilai murni.

Namun begitu, bertambah indahlah dunia andai guru dapat menjadi qudwah hasanah, sekaligus sebagai da’ie yang berdakwah kepada mad’unya (pelajar).

Tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar kerana mereka menyampaikan dakwah kepada lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya. Da’ie wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka.

Seperti guru juga, mereka perlu menyampaikan ilmu pengetahuan mengikut tahap kebolehan pelajar, bukan main semberono sahaja. Maka, seseorang guru haruslah mempunyai sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.

Melalui pembacaan akhirnya ana menemui satu artikel, ‘Jangan Jadi Lilin’ oleh Ustaz Hasrizal. Penjelasan yang lebih mantap dan ilmu yang tersirat banyak terdapat pada artikel tersebut. Bacalah.

Hakikatnya, adalah sukar untuk menjadi sesempurna idea dan impian. Namun begitu, langkah untuk mencapai hasrat dan impian tersebut tidak boleh dihentikan lantaran kita sebagai seorang Muslim dituntut untuk mengubah diri ke arah kebaikan.

Ikhlaskan diri dan niat kerana Allah. Selamat berkhidmat dan berjuang, wahai guru!

Guru..dalam ajarnya ada harapan, dalam tegurnya ada doa, dalam marahnya ada sayang, dalam tawa ada mesranya, dalam diam ada bijaksana, dalam tangannya kita terbina. Berbahagialah menjadi seorang guru..

Tentang Hati 3:13 PM

"Kadang-kadang rasa macam terlalu jauh dengan Allah SWT. Semua perintahNya dah dibuat tapi macam tak lengkap lagi. Kak Nur rasa macam mana?"


Dialog di atas merupakan satu persoalan yang telah diajukan oleh seorang kawan adik ana. Memandangkan keadaan yang terbatas dan beberapa kekangan sewaktu persoalan diajukan, ana hanya sempat memberi sedikit point utama.

"Semoga Wan sentiasa muhasabah diri dan istiqamah. Bagi Kak Nur, apa yang paling penting ialah hati kita. InsyaAllah, hati yang sentiasa ingat padaNya akan tenang dan tenteram, rujuk Surah Ar-Ra'ad ayat 28; "(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram."
Betul kata Wan, kita dah buat, tapi kenapa masih rasa begitu? Ini disebabkan Allah nak kita usaha lagi dalam meraih cinta dan kasih sayangNya. Kita boleh rasa, bila kita jauh denganNya. Teruskan meraih kasih sayang Allah. Allah akan ingat pada hamba-hamba yang mengingatiNya. InsyaAllah..."

Sewaktu ana membaca buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’, hanya ada dua sendi kekuatan dalam memerangi nafsu iaitu hati dan akal. Teringat pula pada perihal hati dan akal yang telah dibincangkan oleh pensyarah ana semasa alam kuliah dahulu.

Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu mengingati pesanan Sayidina Ali yang berbunyi:
"Sesungguhnya Allah S.W.T mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati. Maka hati yang paling disukai oleh Allah S.W.T ialah hati yang lembut, bersih dan cekal.

Sayidina Ali juga berkata:
"Hati seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit."


Akal adalah (ciptaan Allah) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu fahaman dari ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu itu kelak ia dapat menghampirkan diri dengan Allah, mengetahui keagungan Allah serta kekuatannya. Akal seperti inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah:
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." Surah Al-Fatir: 28

Alhamdulillah, semoga kita semua sentiasa muhasabah diri mencari iman di dalam jiwa. Buat Wan, terima kasih berkongsi pandangan dan persoalan.

Tawakal Kepada Allah 4:40 PM

Tawakal adalah kesungguhan hati dalam bersandar kepada Allah untuk mendapatkan kemashlahatan serta mencegah bahaya, bersangkutan dengan urusan dunia mahupun akhirat. Ibnu Abbas ra mengatakan bahawa tawakal bermakna percaya sepenuhnya kepada Allah.

Allah berfirman dalam Surah Ath-Thalaaq ayat 2-3;
"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."

Buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, karangan Almarhum Syeikh Yathi Fakan, ada menyebutkan dalam bab ‘Saya Mestilah Muslim di Sudut Akidah’:
Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah. Sifat ini menepati seruan Allah S.W.T:
"...Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya..." Surah Ath-Talaq 65: 3

‘Kenallah Allah Pada Masa Lapang’ dalam buku Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) pula menyatakan Rasulullah meneruskan pengajaran kepada Ibnu Abbas ra, iaitu:
"Peliharalah Allah nescaya engkau dapatiNya berada di hadapan engkau, menyertai dan menolong engkau. Dan kenallah Allah pada masa lapang, nescaya Ia kenal engkau pada masa susah di kala engkau sedang mengalami perkara yang sukar."

Hati ini mengajak diri untuk bertawakal, berserah diri kepada Allah. Semoga segala usaha dan doa yang telah dipanjatkan kepadaNya dimakbulkan dan dikurniakan hasil manis di pengakhiran jalan yang penuh liku dan cabaran. Amin...

Selamat Berjuang Adikku! 5:16 PM

7 Oktober merupakan tarikh keramat bagi Razi. Inilah tarikh bermulanya perjuangan Razi dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Alhamdulillah, 27 September yang lalu, balutan fiber di kakinya telah dibuka. Namun, kesannya kelihatan di mana kaki kirinya itu membengkak. Sakit yang sampai ke tulang yang paling hitam, menyebabkannya tidak sedar langsung bilakah waktu tidurnya menahan kesakitan yang mencengkam.
Justify Full
Berdasarkan kata-kata doktor daripada temujanji-temujanji yang telah dihadiri, proses pemulihannya akan mengambil masa sehingga sekurang-kurangnya setengah tahun lagi. Selepas balutan fiber dibuka, kaki kiri Razi tetap tidak boleh digunakan kerana tulangnya masih lembut. Tongkat yang dipinjam daripada bapa saudara itulah peneman diri bagi memudahkan dirinya bergerak ke mana-mana.

Namun begitu, pertemuan dengan seorang tukang urut menjawab persoalan berkenaan kakinya yang bengkak. Rupa-rupanya ada tiga bahagian kaki kirinya yang retak, namun tidak dapat dikesan daripada imbasan x-ray di hospital. Syukur, tindakan mak abah itu sekurang-kurangnya membantu Razi bagi proses pemulihan yang akan mengambil masa.

Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal.” Surah Ali Imran: 160.

Dalam diam, hati seorang ibu tetap risau memikirkan keadaan anak yang masih bertongkat itu. Bukan mudah melawan gelodak rasa kerisauan, apatah lagi memikirkan keadaan anak yang telah dikandung lebih sembilan bulan itu. Tetapi, usaha yang dilakukan serta doa yang dipanjatkan kepada Allah membantu menenangkan hati dan jiwa.

Abah juga tetap teguh tabah berdiri, dalam tanggungjawab dan peranan sebagai seorang bapa. Ikon lelaki yang gagah, kuat dan tidak gentar dengan ujian yang melanda. InsyaAllah, kesabaran dan ketabahan yang disemai akan menghasilkan hasil pengakhiran yang amat manis.

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” Surah At-Thalaq: 3.


Doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi, semoga kesabaran dan ketabahan Razi menghadapi ujian ini terbalas jua dengan kejayaannya dalam PMR serta kehidupan yang mendatang kelak. Amin... Selamat berjuang adikku sayang!

Perihal Perubahan 9:56 PM

The changes that we make have its effect to our life. Is it? Every action that we take has its own benefit and also disadvantages. Most of us think that the decisions that have been done were the right thing to ourselves and every people in the community. Have we thought about other perspectives of that action and changes? Have we realised that the changes is hard to do, but it is not the common things that we should neglect.

Perubahan.

Semua manusia inginkan perubahan. Tiada yang mahukan perkara yang sama sepanjang hayat mereka. Tiada yang ingin melihat diri mereka berada di takuk yang lama, samada dalam keluarga, organisasi atau komuniti.

Manusia sendiri perlu berubah, seiring dengan kematangan diri dan kedewasaan usia. Mungkin kepercayaan, keyakinan atau pendirian lama yang dipegang dahulu harus dilepaskan pergi. Tetapi, tidak bermakna ia menjadi suatu titik perubahan yang merefleksikan keseluruhan kehidupan itu. Berubahlah ke arah kebaikan, dan jangan biarkan esok hari menjadi sia-sia.

Sebenarnya perubahan itu mampu menghasilkan revolusi dalam diri. Semangat yang berkobar-kobar membuak mewujudkan impak dalam sesetengah perkara yang dirasakan harus diubah. Islam yang syumul tidak menghalang umatnya untuk mengubah nasib diri, tetapi haruslah berlandaskan syarak dalam setiap tindakan yang diambil.

...Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” Surah Ar-Ra’d: 11.

Apabila manusia berada dalam zon yang selesa, mereka akan berasa puas hati. Mereka akan menggenggamnya erat-erat, tanpa mahu melepaskannya. Zon itu adalah selamat bagi mereka, tidak perlu untuk mereka bersusah-payah mencapainya kembali. Tetapi, dalam setiap kumpulan atau organisasi itu, pasti akan ada kelompok yang berjuang untuk melakukan perubahan.

Kadangkala, pemimpin yang tua ingin berundur dari tampuk kekuasaan tetapi para pengikutnya yang setia terus menarik dirinya supaya dia tidak berundur. Apabila hal ini berlaku, lama-kelamaan organisasi menjadi organisasi yang tradisional dengan pemimpin tua. Organisasi seperti ini sering mempunyai masalah konflik dan politik dalaman. Para pegawai dan pekerjanya saling tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah antara satu sama lain. Apabila dibiarkan, organisasi seperti ini susah hendak berubah. Pemimpin yang dihasilkan bukan pemimpin yang berorientasi masa hadapan, sebaliknya melihat ke belakang. Tenaga mereka habis bagi menguruskan hal-hal yang tidak perlu. Setiap perubahan dianggap sebagai ancaman. Sesiapa yang cuba membawa perubahan tidak diberikan ruang bergerak.” Rhenald Kasali, Ph.D.

Sedikit kata-kata yang diambil daripada buku Change! Berubahlah! hasil karya Dr. Rhenald Kasali. Fikir-fikirkan perkaitan kata-kata ini dengan keadaan kita di Malaysia.

Perihal Nyamuk Dan Kita 4:41 PM


Mosquitoes are the expertise bugs for suck of blood. How the mosquitoes live by human’s blood? How the mosquitoes try to search the exact place of human body to suck the blood?


Persoalan tentang nyamuk terlintas di fikiran akibat digigit serangga ini kala senja menginjak selepas petang yang damai. Bagaimana nyamuk ini mencari-cari titik terbaik untuk menghisap darah daripada tubuh manusia? Risiko dibunuh dan ‘dilenyek sehingga lunyai’ ada untuk setiap tindakan mereka (nyamuk) yang menyabung nyawa bagi kehidupan cuma hanya beberapa kitar sahaja.

Apa perkaitan nyamuk dengan kita sebagai manusia, khalifah Allah di muka bumi ini?

"Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?" Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberiNya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik." Surah al-Baqarah: 26.

Habit nyamuk yang sedaya upaya berusaha untuk hidup perlu kita teladani. Pasti ada yang tertanya-tanya tentang objektif sebenar perihal yang ana bawakan ini. Pepatah Melayu ada mengatakan, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Genggam bara api biar sampai menjadi abu. Buat sesuatu biarlah betul-betul seperti kata Dr. HM Tuah dalam bukunya, Biar Betul-Betul.


Belajar biar bersungguh-sungguh, dalam konteks kehidupan pelajar.

Suami isteri yang melestarikan kehidupan bersama dalam mawaddah dan rahmah, tetap perlu pada usaha berterusan sepanjang hayat.

Islam jangan hanya pada nama, tetapi pada semua amalan dan akhlak kita.

Jauhnya perihal nyamuk dengan usaha bersungguh-sungguh, persoalan yang hanya berlegar-legar dalam minda diri. Mari fikir-fikirkan bersama...